Saturday, February 6, 2010

Salah Faham K.H. Sirajuddin Abbas Terhadap Ibn Taimiyah

Kertas kerja ini telah dibentang dan dikulliahkan di beberapa masjid di Perlis, di Selangor, di Johor, di 
Pulau Pinang dan di Pertubuhan Muhammadiyah Singapura.  Pada mulanya kertas kerja ini ditulis, dibentang dan dikulliahkan atas permintaan beberapa orang ulama Perlis yang membantah tuduhan Sirajuddin Abbas di dalam bukunya “Iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah”.  Yang mana di dalam buku tersebut termuat beberapa fitnah, tuduhan yang tidak berasas, palsu, keterlaluan dan liar terhadap Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah
  Kemudian kertas kerja ini dikulliahkan semula di Singapura dan dibeberapa negari di Malaysia atas permintaan beberapa individu yang terlibat dengan kegiatan dakwah Islamiyah sama ada yang terdiri dari ahli-ahli jawatan kuasa masjid, pertubuhan atau badan NGO. 
  Antara tujuan kertas kerja ini diterbitkan ialah untuk membantu memperbaiki kesilapan serta kekeliruan pandangan kebanyakan masyarakat Islam Nusantara terhadap akidah dan sejarah hidup Ibn Taimiyah.
Semoga kertas kerja yang serba ringkas ini mampu memberi jawapan secara ilmiyah kepada mereka yang selama ini mempersoalkan atau tersalah anggap terhadap akidah Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, kerana pada hakikatnya beliau amat berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengikut manhaj ulama Salaf as-Soleh.
بِسْـــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اِنَّ الْحَمْدَ للهِ ، نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شَرُوْرِ اَنْفُسِنَا ، وَمِنْ سَيِّئَاتِ اَعْمَالِنَا ، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَمُضِلَّ لَهُ ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَهَدِيَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ . 
{يَااَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتَنَّ اِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ} . اَمَّا بَعْدُهُ:
Salah Faham K.H. Sirajuddin Abbas
Terhadap Ibn Taimiyah Dalam Bukunya
“Iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah”
            Kertas kerja ini, bukanlah bertujuan untuk memperkata kan biodata atau kesilapan isi kandungan buku "Iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah" tulisan K.H Sirajuddin Abbas, kerana tidak ramai dari kalangan umat Islam Nusantara mengenali beliau.  Malah beliau langsung tidak dikenali oleh umat Islam antarabangsa.  Namun, Ibn Taimiyah rahimahullah yang menjadi sasaran tuduhan dan fitnah Sirajuddin pula sebaliknya, khidmat dan perjuangan Ibn Taimiyah dengan pedang dan pena untuk membela Islam sangat dikenali dan diketahui oleh para ulama serta sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia, sama ada di dunia Islam atau bukan Islam.  Oleh yang demikian, tulisan ini hanya bertujuan mengkoreksi dan menyanggah tuduhan serta fitnah Sirajuddin terhadap Syeikhul Islam Ibn Taimiyah.  Namun, bukanlah pula tujuan penulis untuk mengajak  para pembaca supaya fanatik atau ghulu kepada Ibn Taimiyah.  Penulis memulakan tulisan ringkas ini dengan membawakan sedikit biodata Ibn Taimiyah rahimahullah:
Ibn Taimiyah adalah seorang ulama besar, mujahid (berjuang dengan pedang, tulisan dan jiwa raganya), mujaddid (refomis) dan diberi julukan sebagai Syeikhul Islam oleh para ulama Salaf as-Soleh.  Nama penuh beliau ialah Taqiyudin Abul Abbas Ahmad as-Syeikh Syihabudddin Abi al-Mohsin Abdulhalim ibn Syeikhul Islam Majdudin Abil Barakat Abdussalam Ibn Abi Muhammad Abdullah bin Abi al-Qasim al-Khadar bin Muhammad bin al-Khadar bin Ali bin Abdullah Ibn Taimiyah al-Harrani yang dinasabkan kepada Al-Harran di Negeri Syam.[1]
Ibn Taimiyah dilahirkan di Harran pada 590H.  Menghafal al-Quran al-Karim, mendalami hadis dari pamannya Fahruddin dan beberapa orang ulama sehingga menjadi penghafal hadis (Ahli Hadis).  Belayar mencari ilmu hingga ke Bagdad ibu negeri Khalifah Abbassiyah pada tahun 603H dan wafat pada 672H. di Bagdad.[2]
Ibn Taimiyah diiktiraf keilmuannya oleh para ulama Islam di serata dunia sehinggalah ke hari ini. Menghasilkan ratusan kitab yang tidak dipertikaikan dan mendapat pujian dari az-Zahabi rahimahullah"Setiap hadis yang tidak diketahui oleh Ibn Taimiyah maka dia bukanlah hadis".[3]  Di segi ilmu, beliau menerima dan mengguna pakai dalam fatwa-fatwanya ilmu-ilmu dari kesemua ulama Salaf terutamanya dari imam mazhab yang empat, dari pembesar hadis seperti Bukhari, Syafie, Tabari, al-Asbahani, al-Lalakai, Ibn Khuzaimah[4] (dan yang lain-lainnya).
Keilmuan Ibn Taimiyah terbukti telah diiktiraf (diakui kebenarannya) oleh para ulama Nusantara termasuklah oleh pakar-pakar rujuk Pusat Islam Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).  Sebagai contoh:
1.     Prof. Dr. Abdulfatah Harun Ibrahim dari Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM sebagaimana yang terdapat dalam  nukilan takhrij hadis daripada Ibn Taimiyah dalam risalah "Martabat Tujuh Tajjali (Penampakan) Allah Melalui Tujuh Martabat (Lapisan).  Risalah ini diterbitkan oleh JAKIM.  Lihat cetakan pertama. l998. Hlm. 4.
2.     Risalah Mengenal Hadis Maudhu' oleh penel Bahagian Penyelidikan Islam, Jakim. Cetakan pertama. l998. Hlm 55-71. Wan Subki Wan Salleh. Kolej JAIPETRA,  Kelantan dalam artikel "Usaha-Usaha Ulama Mendedahkan Hadis Palsu".
3.     Al-Hadis al-Qussos, susunan Ibn Taimiyah dijadikan sebagai kitab rujukan dalam membongkar hadis-hadis palsu yang terbesar di kalangan umat Islam (Risalah:  Mengenal Hadis Maudhu' oleh Penel Bahagian Penyelidikan Islam, JAKIM. Cetakan pertama. l998. Hlm. 20.
4.     Anak murid Ibn Taimiyah yang terkenal seperti Ibn Kathir dan Ibn Qaiyim al-Jauzi diiktiraf sebagai ulama tafsir dan akidah oleh masyarakat Islam Malaysia.  Contohnya:  Prof. Madya Dr. Huda @ Udah bin Mohsin, UKM menukil dalam rujukan nota kakinya dari kitab tulisan Ibn Qaiyim al-Jauzi.  Lihat: "CONTOH-CONTOH HADITH PALSU".  Hlm. 43.
            Sememangnya penulis merasakan amat berkewajipan dan perlu menulis, membentang dan mengenengahkan kertas kerja ini lantaran permintaan dari beberapa orang yang telah membaca buku K.H Sirajuddin Abbas: "Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah".  Terutama para ulama dari Negeri Perlis yang amat peka dengan mereka yang memusuhi dan ingin menghancurkan amalan dan akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh.  Mereka meminta agar penulis mengkoreksi beberapa kesilapan K.H Sirajuddin Abbas tentang fitnah dan tuduhannya terhadap pejuang sunnah iaitu Syeikhul Islam Ibn Taimiyah yang dimuatkan di dalam buku beliau.  
Di dalam kertas kerja ini, penulis mencuba sedaya upaya membetulkan tuduhan dan fitnah tersebut. Diharap para Muslimin/Muslimat terutama yang mengikuti kulliah atau menghadiri pembentangan kertas kerja ini serta para pembaca yang budiman dapat sama-sama membuka minda dan berlapang dada dengan rasa keikhlasan supaya mendapat manfaat dari pengkoreksian ini.

Tuduhan K.H. Sirajuddin (1)
K.H. Sirajuddin dengan mudah menghukum sesat Syeikhul Islam Ibn Taimiyah mungkin lantaran ketidak fahaman, belum membaca atau tidak meneliti dengan cermat kitab-kitab Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, sehingga penjelasan beliau yang berdasarkan al-Quran, hadis, athar yang sahih serta fatwa para ulama muktabar bahawa Tuhan mempunyai muka, tangan, mata, rusuk dan bersemayam (istiwa), semuanya itu tidak pernah mencernai lubuk hati K.H. Sirajuddin, lantas beliau menyesatkan Ibn Taimiyah dan pastinya menyesatkan juga semua ulama Salaf as-Soleh yang sefahaman dengan Ibn Taimiyah. 
            K.H. Sirajuddin juga menyesatkan Ibn Taimiyah kerana beliau menyatakan bahawa Tuhan (Allah) berada di langit atau bertempat, boleh ditunjuk dengan anak jari ke atas, Tuhan mempunyai jari, mempunyai tangan, mempunyai tumit kaki, mempunyai tangan kanan, mempunyai nafas, turun-naik dan Tuhan itu "masa".  Bersebab dari kenyataannya ini maka K.H. Sirajuddin menamakan Ibn Taimiyah sebagai kaum Mujassimiyah atau Musyabbihah yang sesat.[5]
Penjelasan (1)
Pada hakikatnya bukan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah seorang sahaja yang menyatakan bahawa Tuhan mempunyai muka, mempunyai tangan, mempunyai mata, mempunyai jari, berada di langit (bertempat) serta mempunyai sifat-sifat lain yang paling sempurna dan layak bagiNya, oleh itu beliau tidak boleh dihukum sesat oleh K. H. Sirajuddin dan oleh mereka yang terpengaruh dengan fahaman K.H. Sirajuddin.
Dalam hal ini, fahaman, pegangan dan amalan Ibn Taimiyah adalah berdasarkan fahaman para sahabat, tabi'in, tabi’ut at-tabi’in dan semua para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, kerana kenyataannya beliau bersefahaman, sependapat dan seakidah dengan mereka.  Antara mereka yang jelas semanhaj (sefahaman dan seakidah) dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah ialah:
         (1).  Imam al-Auza'ii yang dianggap Imam ahli Syam di zamannya.  Beliau telah menegaskan:
كُنَّا وَالتَّابَعُوْنَ مُتَوَافِرُوْنَ نَقُوْلُ : انَّ اللهَ عَلَى عَرْشِهِ وَنُؤْمِنُ بِمَا وَرَدَتْ بِهِ السُنَّةَ مِنْ صِفَاتِ اللهِ تَعَالَى.

"Kami dan para Tabi'in semuanya menetapkan dengan kesepakatan qaul kami bahawa: Sesungguhnya Allah di atas 'ArasyNya dan kami beriman dengan apa yang telah dinyatakan oleh Sunnah berkenaan sifat-sifat Allah Taala".[6]
(2). Imam Abu Hasan Al-Asy'ari rahimahullah, yang dikenali sebagai Imam Ahli sunnah wal-Jamaah, beliautelah menegaskan bahawa al-Quran bukan makhluk dan diturunkan oleh Allah yang berada di langit dan beliau seterusnya menjelaskan:
"Allah mempunyai sifat, mempunyai tangan, bersemayam di atas ArasyNya dan mempunyai muka.  Al-Quran itu Kalamullah bukan makhluk dan al-Quran diturunkan dari langit".[7]

         (3). Imam as-Syafie rahimahullah menjelaskan (sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Talib setelah beliau ditanya tentang sifat Allah):

وَاَنَّ لَهُ يَدَيْنِ بَقَوْلِهِ عَزَّ وَجَلَّ (بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوْطَتَانِ) وَاَنَّ لَهُ يَمِيْنًا بِقَوْلِهِ عَزَّ وَجَلَّ (وَالسَّمَوَاتُ مَطْوِيَات بِيَمِيْنِهِ) وَاَنَّ لَهُ وَجْهًا بِقَوْلِهِ (كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ اِلاَّ وَجْهَه)...وَاَنَّ لَهُ قَدَمًا بِقَوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ (حَتَّى يَضَعَ عَزَّ وَجَلَّ فِيْهَا قَدمَهُ)... وَاَنَّ لَهُ اُصْبُعًا بِقَوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (مَا مِنْ قَلْبٍ اِلاَّ هُوَ بَيْنَ اُصْبُعَيْنِ مِنْ اَصَابِعِ الرَّحْمَن).... نُثبِتُ هَذِهِ الصِّفَات وَنَنفِي التَّشْبِيْه كَمَا نفِى ذَلِكَ عَنْ نَفْسِهِ تَعَالَى ذِكْرُهُ فَقَالَ (لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ).

"Dan bagiNya dua tangan sebagaimana firmanNya:  (Tidak demikian), tetapikedua-dua tangan Allah terbuka.  BagiNya tangan sebagaimana firmanNya: Dan langit digulung dengan tangan kananNya.  Allah mempunyai wajahsebagaimana firmanNya:  Setiap sesuatu akan binasa kecuali WajahNya. Baginya kaki sebagai sabda Nabi saw: Sehinggalah Dia meletakkan wajah dan KakiNya.  Dia Mempunyai jari sebagaimana sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam:  Tiadalah hati itu kecuali antara jari-jari dari jari-jari Ar-Rahman (Allah).  Kami menetapkan sifat-sifat ini dan menafikan dari menyerupakan sebagaimana dinafikan sendiri oleh Allah sebagaimana difirmankan:  (Tiada sesuatu yang semisal denganNya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat)".[8]

Beliau (Imam Syafie) seterusnya menjelaskan:

"Dan Allah Ta'ala di atas 'ArasyNya (Dan 'ArasyNya) di langit".[9]

Imam Syafie seterusnya menjelaskan lagi:

"Kita menetapkan sifat-sifat (Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh al-Quran dan yang warid tentangNya dari sunnah, kami menafikan tasybih (penyerupaan) tentangNya kerana dinafikan oleh diriNya sendiri sebagaimana firmanNya (Tiada sesuatu yang semisal denganNya)".[10]

Imam Syafie telah menjelaskan juga tentang turun naiknya Allah:

وَاَنَّهُ يَهْبِطُ كُلَّ لَيْلَةٍ اِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا بِخَبَرِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

"Sesungguhnya Dia (Allah) turun setiap malam ke langit dunia (sebagaimana) menurut khabar dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam".[11]
Imam Syafie dan Ibn Taimiyah, mereka berdua ada kesepakatannya dalam meyakini tentang turun-naiknya Allah.  Mereka berlandaskan kepada sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:

يَنْزِلُ رَبُّنَا اِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا كُلَّ لَيْلَةٍ حِيْنَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرِ فَيَقُوْلُ : مَنْ يَدْعُوْنِي فَاَسْتَجِيْبَ لَهُ ، مَنْ يَسْاَلُنِيْ فَاعْطِيْهِ ، مَنْ يَسْتَغفرُنِيْ فَاَغْفِرلَهُ.

"Tuhan kita turun ke langit dunia pada setiap malam apabila sampai ke satu pertiga dari akhir malam, maka Ia berfirman: Sesiapa yang berdoa akan Aku perkenankan, sesiapa yang meminta akan Aku tunaikan dan sesiapa yang meminta keampunan akan Aku ampunkan".[12]

(4).  Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah ketika ditanya tentang bagaimana untuk kita mengetahui di mana Allah?  Beliau menyatakan:

وَقِيْلَ لِعَبْدِ اللهِ بْنِ الْمُبَارَكِ : كَيْفَ نَعْرِفُ رَبَّنَا ؟ قَالَ : بَاَنَّهُ فَوْقَ السَّمَآءِ السَابِعَةِ عَلَى الْعَرْشِ

"Ketika ditanyakan kepada Abdullah bin al-Mubarak:  Bagaimana kita boleh mengetahui di mana Tuhan kita?  Beliau menjawab:  Dengan mengetahui bahawa Dia di atas langit ketujuh di atas Arasy".[13]
            Di sebuah hadis sahih, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam mengakui dan menerima penjelasan seorang hamba bahawa Allah itu di langit, tetapi kita tidak tahu bagaimana K.H Sirajuddin boleh menolak hakikat dan kenyataan hadis sahih ini:
قَالَ مُعَاوِيَةُ بْنُ حَكَمُ السُّلَمِي : وَكَانَتْ لِيْ جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِيْ اُحُدٍ وَالْجُوَانِيَةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَاِذَا بَالذِّئْبِ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا وَاَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِيْ آدَمَ اَسَفَ كَمَا يَاْسِفُوْنَ . لَكِنَّيْ صَكَكْتُهَا صَكَّةً فَاَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ . قُلْتُ يَارَسُوْلَ اللهِ اَفَلاَ اَعْتِقُهَا ؟ قَالَ : اِئْتِنِيْ بِهَا . فَقَالَ لَهَا : اَيْنَ اللهُ ؟ قَالَتْ : فِى السَّمَاءِ . قَالَ : مَنْ اَنَا ؟ قَالَتْ : اَنْتَ رَسُوْلُ اللهِ . قَالَ : اَعْتِقُهَا فِاِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.

"Berkata Muawiyah bin Hakam as-Sulami:  Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwainiyah.  Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya.  Sedang aku termasuk seorang anak Adam kebanyakan.  Maka aku mengeluh sebagaimana mereka. Kerananya wanita itu aku pukul dan aku marahi.  Kemudian aku menghadap Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku.,  Aku berkata:  Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya"  Jawab Rasullullah:  Bawalah wanita itu ke sini.  Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu.  Di mana Allah"  Dijawabnya:  Di langit.  Rasullullah bertanya lagi:  Siapa aku" Dijawabnya:  Engkau Rasullullah.  Maka baginda bersabda:  Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah".[14]
            Dalam satu riwayat hadis mutaffaq 'alihi, bahawa Allah itu "ad-Dahr" atau"masa".  Namun, bagaimana K.H. Sirajuddin Abbas menafikannya.  Sabda Rasulullah ini:
لاَ تَسُبُّوْا الدَّهْرَ فَاِنَّ اللهَ هُوَ الدَّهْرُ.
"Janganlah kamu maki ad-dahr (masa), kerana sesungguhnya Allah itu adalah Masa"[15]

Tuduhan K.H. Sirajuddin (2)
Tanpa fakta yang konkrit dan betul K.H. Sirajuddin cuba menuduh dan terus memfitnahkan bahawa beliau (Syeikhul Islam Ibn Taimiyah) terpengaruh dengan fahaman kaum Musyabbihah dan Mujassimiyah yang sesat, kerana kononnya Ibn Taimiyah menyerupakan Tuhan dengan makhlukNya.  Tuduhan dan fitnah K.H. Sirajuddin ini telah mempengaruhi ramai kaum muslimin yang jahil tentang siapakah Syeikhul Islam Ibn Taimiyah yang sebenarnya. Tuduhan dan fitnah ini telah ditangkis dan diperbetulkan oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Penjelasan (2)
Pada hakikatnya, boleh dianggap mustahil untuk ditolak dan  dinafikan bagi sesiapa yang mengkaji kesemua kitab-kitab yang memperkatakan tentang akidah hasil tulisan Ibn Taimiyah, yang mana ternyataIbn Taimiyah amat menentang dan memerangi dengan keras, tegas dan serius semua fahaman sesat termasuklah Musyabbihah dan Mujassimah.  Ini dapat dibuktikan melalui tulisannya sebagimana dinyatakan oleh beliau sehingga berulang kali:
مِنَ اْلاِيْمَانِ بِاللهِ : اَلاِيْمَانُ بِمَا وَصَفَ بِهِ نَفَسَهُ مِنْ غَيْرِتَحْرِيْفِ فِى كِتَابِهِ ، وَبِمَا وَصَفَ بِهِ رَسُوْلَهُ مِنْ غَيْرِ تَحْرِيْفِ وَلاَ تَعْطِيْل وَغَيْرِ تَكْيِيْفِ وَلاَ تَمْثِيْلِ بَلْ يُؤْمِنُ بِاَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ (لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ).

"Beriman kepada Allah ialah beriman dengan apa yang disifatkannya sendiri (oleh Allah) tanpa tahrif (tidak merubah lafaz dan maknanya) mengikut sebagaimana di dalam kitabNya, mengikut sebagaimana disifatkan oleh RasulNya tanpa tahrif, ta'til (meniadakan sifat Ilahiyah, mengingkari keberadaan sifat-sifat tersebut pada ZatNya), tanpa takyif (diperbagaimana) dan tanpa tamsil (memisalkan dengan makhluk), sebaliknya beriman bahawa Allah Subhanahu wa-Ta’ala (Tiada sesuatu yang semisal denganNya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat)".[16]
            Sebenarnya Ibn Taimiyah telah mengklasifikasikan Musyabbihah dan Mujassimah sebagai golongan yang kufur dan sesat.  Maka bagaimana K.H. Sirajuddin menamakan Ibn Taimiyah sebagai kaum Musyabbihah dan Mujassimiyah?  Ibn Taimiyah pernah berkata tentang golongan yang berjaya (selamat ke syurga) dan menolak golongan sesat seperti golongan Musyabbihah:
"Fahaman (yang selamat ialah) yang pertengahan, bukan golongan Jahmiyah yang menta'til (sifat Allah) dan bukan juga golongan ahli tamsil seperti Musyabbihah".[17]
            Penjelasan Ibn Taimiyah ini tidak dapat dinafikan oleh mereka yang rajin meneliti dan mengkaji kitab-kitab tulisan beliau.  Tetapi K.H. Sirajuddin telah membuat tuduhan melulu kerana beliau tidak meneliti kitab Syeikhul Islam ini yang ratusan jumlahnya.

Tuduhan K.H. Sirajuddin (3)
Menurut kenyataan dan tuduhan K.H. Sirajuddin bahawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah menentang imam yang empat, sombong, menuduh para ulama semuanya penganut khurafat dan bid'ah.  K.H. Sirajuddin  mengaitkan nenek dan bapa Ibn Taimiyah dengan kesilapan Ibn Taimiyah yang direka-reka oleh musuh Islam dan akhirnya K.H. Sirajuddin menuduh Ibn Taimiyah sombong hanya kerana tidak pernah berhenti memerangi bid'ah dan khurafat.
Penjelasan (3)
            Kalau orang-orang yang berfahaman seperti K.H. Sirajuddin mampu meneliti dan mengkaji semua kitab-kitab hasil tulisan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, pasti mereka merasa malu kerana pada hakikatnya Ibn Taimiyahlah salah seorang yang telah mempertahankan, memperjuangkan dan mengimarahkan (menghidupkan) semula ajaran-ajaran sebenar para Imam yang empat.  Para pengikut mazhab-mazhab tersebut hanya mendakwa mengikut mazhab yang diakuinya, tetapi rata-rata hanya bertaklid, menerima dan mengamalkan pendapat para ulama yang menasabkan ajarannya kepada mereka (imam mazhab yang empat), sedangkan pada hakikatnya mereka bukan bermazhab dengan sang Imam kerana terlalu banyak meninggalkan, menentang dan melanggar fatwa si Imam.
            Contohnya, pengikut mazhab Syafie bermati-matian mengaku sebagai bermazhab dan bertaklid dengan Imam Syafie, tetapi ternyata (seperti Sirajuddin salah seorang dari mereka) tidak secara langsung dan mungkin tanpa disedarinya telah menentang Imam Syafie.  Misalnya, Imam Syafie dan Imam Ibn Taimiyah menentang khurafat tariqat sufi falsafi, tasawuf dan tariqat kebatinan sebagaimana kenyataan dari Imam Syafie:
اَلتَّصَوُّفُ مَبْنِيٌّ عَلَى الْكَسَلِ وَلَوْ تَصَوَّفَ رَجُلٌ اَوَّلَ النَّهَارِ لَمْ يَاْتِ الظُّهْرَ اِلاَّ وَهُوَ اَحْمَقُ.

"Tasawuf dibina di atas kemalasan, jika sekiranya seseorang itu menganut tasawuf di awal siang (pagi), tidak akan sempat sampai ke waktu Zuhur, dia sudah jadi bodoh (biul/goblok)".[18]

مَنْ يَدِيْنُ بِهَذَا (التَّصَوُّف) فَهُوَ زِنْدِيْقٌ اَوْ بِتَعْبِيْرٍ اَدَقٍّ صُوْفِيّ فَالصُّوْفِيُّ مَرَادِفَةٌ لِكُلِّ مَا يُنَاقِضُ الاِيْمَان الْحَق.

“Sesiapa yang menganut agama ini (sufi) maka dia seorang yang zindik atau dengan kata lain dia adalah sufi yang zindik, maka fahaman sufi samalah seperti setiap fahaman yang menentang keimanan yang hak”.
Imam Syafie amat benci kepada kezindikan sufi lalu beliau berkata:
“Saya lari meninggalkan Kota Basrah kerana di sana terdapat golongan zindik (sufi/tasawuf), mereka mengerjakan sesuatu yang baru yang mereka sebut dengan tahlilan”.
            Berkata Hasan al-Basri rahimahullah:
أما عَلِمْتَ اَنَّ اَكْثَرَ اَصْحَابُ النَّارِ اَصْحَابُ اْلاَكْسِيةِ ؟ (اَلتَّصَوُّفِ).
"Tidakkah engkau ketahui sesungguhnya kebanyakan penghuni neraka ialah penganut sufi/tasawuf?".[19]
                Tidakkah K.H. Sirajuddin dan mereka yang sefahaman dengannya dapat menerima hakikat kenyataan Imam Syafie ini.  Imam Syafie dengan tegas mengharamkan akidah dan pengamalan sufi/tawasuf?

Tuduhan K.H. Sirajuddin (4)
Seterusnya menurut tuduhan K.H. Sirajuddin Abbas:  Seolah-olah ia (Ibn Taimiyah rahimahullah) mengatakan bahawa ia sahajalah yang berpegang kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul, sedang ulama-ulama yang terdahulu daripadanya dianggap penganut khurafat dan bid'ah.
Penjelasan (4)
Tuduhan K.H. Sirajuddin yang keterlaluan ini sama sekali tidak berasas, kerana kitab-kitab besar hasil tulisan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah terutamanya yang terhimpun dalam kitab seperti "Majmu' Fatawa" yang berjumlah 37 jilid dipenuhi dengan nukilan qaul-qaul (fatwa-fatwa) para ulama terdahulu seperti Syafie, Maliki, Hanafi, Hambali dan termasuklah dari para ulama muktabar dari kalangan ulama akidah, ahli tafsir dan para ulama hadis.  Sesiapa yang telah membaca dan merujuk kepada kitab-kitab Ibn Taimiyah tidak akan menafikan hakikat dan kenyataan ini.
K.H. Sirajuddin ternyata membuat tuduhan dan fitnah sebelum mengenal, mengetahui, memahami dan memutalaah (mengkaji) kitab-kitab akidah hasil tulisan Syeikh Ibn Taimiyah.  Ini adalah suatu kesilapan dan aib yang besar.  Amat perlu kita ketahui bahawa apabila seseorang ulama menegah dan banyak memperkatakan kemungkaran bid’ah dan kefasikan yang berlaku di zamannya, ini bukanlah bermakna  semua ulama di zaman itu telah dibid’ahkan atau dianggap fasik oleh ulama tersebut.  Maka itulah sebenarnya yang dilakukan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah.

Tuduhan K.H. Sirajuddin (5)
K.H. Sirajuddin menuduh bahawa Ibn Taimiyah memaklumkan perlawanan (penentangannya) kepada orang-orang Islam yang menganut dan bertaqlid dalam furu' syariat kepada mazhab yang empat. Kononnya menurut K.H. Sirajuddin lagi bahawa ia (Ibn Taimiyah) menganjurkan agar setiap orang berijtihad sendiri.
Penjelasan (5)
Pada hakikatnya bukan Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyah seorang sahaja yang melarang orang yang berakal, berilmu, beriman dan bertakwa dari bertaqlid buta kepada mana-mana Imam mazhab yang ada, tetapi semua ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh termasuk Imam Syafie, Maliki, Hanafi, Hambali, Sufiyah ath-Thauri dan yang lain-lainnya semua mereka melarang dari bertaqlid buta.  Mereka telah menjelaskan:
قَالَ اْلاِمَامُ الشَّـافِعِيُّ رَحِمَهُ اللهُ تَعَالَى : كُلُّ مَا قُلْتُ وَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِلاَفُ قَوْلِيْ مِمَّا يَصِحْ ، فَحَدِيْثُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَوْلَى وَلاَ تُقَلِّدُوْنِيْ.

"Berkata Imam Syafie rahimahullah Ta'ala:  Setiap apa yang telah aku katakan dan ada perkataanku itu yang bertentangan dengan (hadis) yang sahih, maka hadis Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah lebih diutamakan dan janganlah kamu sekalian bertaqlid denganku".[20]

وَقَالَ اَيْضًا : مَنْ قَلَّدَ مُعَيَّنًا فِى تَحْرِيْمِ شَيْءٍ اَوْ تَحْلِيْلِهِ وَقَدْ ثَبَتَ فِى الْحَدَيْثِ الصَّحِيْحِ عَلَى خِلاَفِهِ وَمَنْعِهِ تَقْلِيْدِ عَنِ الْعَمَلِ بِالسُّنَّةِ فَقَدْ اتِّخَذَ مَنْ قَلَّدَهُ رَبًّا مِنْ دُوْنِ اللهِ تَعَالَى.

“Imam as-Syafie berkata lagi:  Sesiapa yang bertaqlid pada sesuatu dalam pengharaman sesuatu atau penghalalannya sedangkan telah nyata hadis sahih yantg bertentangan dengannya dan menegah dari bertaqlid kerana diperintahkan (diwajibkan) beramal dengan sunnah, maka dia telah mengambil orang yang ditaqlidkan itu sebagai Tuhan selain Allah Subhanahu wa-Ta'ala".[21]

قَالَ اْلاِمَامُ اَحْمَدُ بْنُ حَنْبَل رَحِمَهُ اللهُ تَعَالَى : لاَ تُقَلِّدْ دِيْنَكَ اَحَدًا مِنْ هَؤُلاَءِ مَا جَاءَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخُذْ بِهِ ، ثُمَّ التَّابِعِيْنَ بَعْدَ الرَّجُلِ فِيْهِ مُخَيَّرٌ.

"Berkata Imam Ahmad bin Hambal: Dalam agamamu janganlah engkau bertaqlid dengan sesiapapun dari mereka-mereka.  Apa yang datang dari nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam maka ambillah olehmu, kemudian ambil dari para tabiin, adapun orang-orang yang sesudahnya diberi pilihan sama ada diambil atau ditinggalkan".[22]

قَالَ اْلاِمَامُ اَحْمَدُ : لاَ تُقَلِّدُونِيْ وَلاَ مَالِكًا وَلاَ اَبَا حَنِيْفَةً وَلاَ الشَّافِعِي وَلاَ اْلاَوْزَعِيْ وَلاَ الثَوْرِيِّ رَحِمَهُمُ اللهُ تَعَالَى  وَخُذْ مِنْ حَيْثُ اَخَذُوْا.

"Janganlah kamu bertaqlid kepadaku, janganlah bertaqlid kepada Malik, Abu Hanifah, Syafie, Auzaii dan Thauri rahimahumullah Ta’ala.  Ambillah dari mana (atau sebagaimana) mereka mengambil".[23]

قَالَ ابْنُ حَزَمُ : اِنَّ الْفُقَهَاءَ الَّذِيْنَ قلدُّوْا مبطلوْنَ لِلتَّقْلِيْدِ وَاَنَّهُمْ نُهُوْا اَصْحَابَهُمْ عَنْ تَقْلِيْدِهِمْ ، وَكَانَ اَشَدُّهُمْ فِى ذَلِكَ الشَّافِعِي.

"Berkata Ibn Hazam:  Sesungguhnya para fukaha yang menjadi ikutan mereka membatalkan pentaqlidan kepada mereka dan sesungguhnya mereka menegah para pengikutnya dari bertaqlid kepada mereka.  Dan yang paling kuat menentang (perbuatan bertaqlid) ialah as-Syafie".[24]

وَقَالَ عَلِيُّ حَسَنُ  بْنُ عَبْدُ الْحَمِيْد : وَمَنْ لَمْ يُفرِق التَّقْلِيْدِ لَمْ يَكُنْ لِعِلْمِهِ كَثِيْرُ فَائِدَةٍ.

"Berkata Ali Hasan bin Abdul Hamid:  Sesiapa yang tidak meninggalkan taqlid maka pada ilmunya tidak akan memberi banyak faedah".[25]

قَالَ سَنَدُ بْنُ عَنَانُ رَحِمَهُ اللهُ : اعْلَمْ اَنَّ مُجَرَّدَ اْلاِقْتِصَارِ عَلَى مَحْضِ التَّقْلِيْدِ لاَ يَرْضَى بِهِ رَجُلٌ رَشِيْدٌ وَاِنَّمَا هُوَ شَاْنُ الْجَاهِلِ الْبَلِيْدِ اَوْ الْغَبِيِّ الْعَنِيْدِ.
     
"Berkata Sanad bin Anan rahimahullah:  Ketahuilah sesungguhnya hanya dengan mengambil jalan mudah sehingga mendorong bertaqlid adalah tidak digemari oleh seorang lelaki yang bijaksana.  Sesungguhnya (bertaqlid) adalah cara seorang yang bodoh lagi bebal dan si tolol yang keras kepala".[26]

اَجْمَعَ النَّاسُ عَلَى اَنَّ الْمُقَلِّدَ لَيْسَ مَعْدُوْدًا مِنْ اَهْلِ الْعِلْمِ وَاَنَّ الْعِلْمَ مَعْرِفَةُ الْحَقِّ بِدَلِيْلِهِ.

"Manusia telah sepakat bahawa para muqallid tidak terhitung sebagai kalangan ahli ilmu, bahawasanya ahli ilmu mengenali kebenaran melalui dalilnya".[27]
                Kalau dibaca kitab-kitab hasil tulisan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, tidak akan terdapat walaupun satu kenyataan atau kaul dari Ibn Taimiyah yang menganjurkan agar semua orang berijtihad terutamanya orang awam yang tidak berilmu.  Malah Ibn Taimiyah mensyaratkan beberapa syarat kepada mereka yang mahu berijtihad sebagaimana juga yang disyaratkan oleh Imam Syafie rahimahullah dan para imam yang lain, maka bagaimana K.H. Sirajuddin boleh membuat tuduhan palsu seperti ini?

Tuduhan K.H. Sirajuddin (6)
Menurut tuduhan dan fitnah K.H. Sirajuddin Abbas yang seterusnya bahawa kononnya Syeikh Ibn Taimiyah telah mengatakan:
 "Duduknya Tuhan di atas ‘Arasy sama dengan duduknya Ibn Taimiyah di atas kursinya dan turunnya Tuhan dari langit sama seperti turunnya Ibn Taimiyah dari mimbar dan Tuhan itu dilihat (di sebelah) atas, boleh ditunjuk dengan anak jari ke atas”.
Penjelasan(6)
            Tuduhan K.H. Sirajuddin sebagaimana yang diungkapkan di atas diulang berkali-kali, seolah-olah supaya ianya diberi perhatian oleh pembaca.  Namun, K.H. Sirajuddin tidak berhati-hati dan tidak ilmiyah dalam penukilannya sehingga menjadi tuduhan palsu dan fitnah yang keterlaluan serta diada-adakan. Apa yang diketengahkan oleh beliau hanyalah tuduhan yang merujuk kepada buku "Rahlah Ibnu Bathuthah".
            Menurut K.H. Sirajuddin (kononnya) Ibnu Bathuthah mendengar dan melihat sendiri kejadian Ibn Taimiyah berkata dan melakukan sebagaimana yang didakwakannya, iaitu: "Turunnya Tuhan sama seperti turunnya beliau dari mimbar".
            Ada dua alasan yang kuat untuk membantah, menolak dan membatalkan tuduhan K.H Sirajuddin yang penuh dengan penipuan dan fitnah ini, iaitu:
Pertama:  Memang Ibn Taimiyah sehingga ke hari ini masih dituduh sebagai Penyerupa Allah dengan makhlukNya atau Mujassimah, sedangkan terlalu banyak bukti penentangan Ibn Taimiyah terhadap kaum Musyabbihah dan Mujassimiyah sebagaimana penolakan beliau terhadap golongan Qadariyah, Jahmiyah, Muktazilah.[28]  Amat mustahil orang yang menentang kaum-kaum yang sesat seperti Ibn Taimiyah akan menerima fahaman sesat yang sangat ditentang dan dibencinya. 

         Sebenarnya Ibnu Bathutah tidak pernah mendengar malah tidak pernah menghadiri majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh Ibn Taimiyah.  Menurut catitan sejarah, sampainya Ibnu Bathuthah di Damsyik pada hari Khamis 9hb Ramadan 727H.  Ibn Taimiyah dimasukkan ke penjara Damsyik pada awal bulan Sya'ban ditahun yang sama (727H).  Tercatit dalam sejarah bahawa Ibn Taimiyah wafat pada malam Ithnin 20hb Zulqaidah 728H.

Timbul persoalan, bagaimana Ibnu Bathutah boleh melihat Ibn Taimiyah menyampaikan ilmu di atas mimbar Jamek dan boleh mendengar majlis ilmunya sedangkan setibanya Ibnu Bathutah di Damsyik Ibn Taimiyah telah dimasukkan ke dalam penjara?[29]

         Kedua: Ibn Taimiyah tidak pernah menyampaikan ilmunya di atas mimbar Jamek sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Bathutah: "Aku menghadiri majlisnya pada hari Jumaat, dia sedang menyampaikan ilmunya di atas mimbar Jamek". Malah Ibn Taimiyah tidak pernah berkhutabah di atas mimbar walaupun Ibnu Bathuthah mendakwa:  "Dia turun dari tangga-tangga mimbar".  

Ketiga:  Kebiasaannya Ibn Taimiyah hanya duduk di atas kerusi semasa beliau menyampaikan pelajarannya.

Keempat:  Sebenarnya Ibnu Bathutah tidak pernah menulis tentang pelayarannya dengan tangannya sendiri.[30]
            K.H. Sirajuddin tidak teliti dalam tuduhannya kepada Ibn Taimiyah, contohnya beliau menuduh Ibn Taimiyah menyerupakan istiwa Allah sebagaimana duduk bersilanya beliau, sedangkan sama sekali tidak terdapat di dalam kitab-kitab Ibn Taimiyah yang memaknakan istiwa sebagaimana yang didakwa oleh K.H Sirajuddin.
Dalam hal ini K.H. Sirajuddin tidak menyedari malah beliau menolak kenyataan dan fatwa para ulama Salaf as-Soleh bahawa Allah itu bertempat sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyah.
            Para ulama Salaf sepakat/sependapat dan seakidah dengan Ibn Taimiyah iaitu: "Allah bersemayam di atas ArasyNya dan ArasyNya berada di atas langit".  Ini bermakna Allah bertempat iaitu di langit sebagaimana penjelasan para ulama Salaf as-Soleh yang berikut ini:
(1).  Berkata al-Imam Abu Hanifah rahimahullah:  "Sesiapa mengingkari sesungguhnya Allah berada di atas langit, maka sesungguhnya dia telah kafir.  Adapun terhadap orang yang tawaqquf (diam) dengan mengatakan: Aku tidak tahu apakah Tuhanku di langit atau di bumi?  Berkata al-Imam Abu Hanifah:  Sesungguhnya dia telah kafir kerana Allah telah berfirman:  Ar-Rahman di atas Arasy al Istiwa"[31].

(2).  Berkata Al-Imam Malik rahimahulla: 
"Allah berada di atas langit sedangkan ilmuNya di tiap-tiap tempat (di mana-mana), tidak tersembunyi sesuatupun daripadaNya"[32]

(3).  Berkata al-Imam as-Syafie rahimahullah:  "Sesungguhnya Allah di atas ArasyNya dan ArsyNya di atas langit"[33]

(4).  Berkata al-Imam Ahmad Bin Hambal rahimahullah:  "Benar!  Allah di atas Arasy-Nya dan tidak sesiapapun yang tersembunyi daripada pengetahuanNya"[34]

(5).  Athar Imam Ibnu Khuzaimah pula menjelaskan:  "Barangsiapa tidak menetapkan Allah Ta'ala di atas ArasyNya dan Allah istiwa di atas tujuh langitNya, maka ia telah kafir dengan Tuhannya".[35]

(6).  Athar Syaikhul Islam Abdul Qadir al-Jailani rahimahullah menjelaskan:  "Tidak boleh mensifatkanNya bahawa Ia berada di tiap-tiap tempat. Bahkan (wajib) mengatakan: Sesungguhnya Ia di atas langit (yakni) di atas Arasy sebagaimana Ia telah berfirman:  Ar-Rahman di atas Arasy, Ia beristiwa.[36] Dan patutlah memutlakkan sifat istiwa tanpa takwil, sesungguhnya Allah istiwa dengan ZatNya di atas Arasy. KeadaanNya di atas Arasy disebut pada tiap-tiap kitab yang Ia turunkan kepada tiap-tiap Nabi yang Ia utus tanpa (bertanya): Bagaimana caranya (Allah istiwa di atas Arasy-Nya)?"[37]

(7).  Berkata al-Imam Abul Hasan al-Asy`ari rahimahullah:  "Di atas langit-langit itulah Arasy, maka tatkala Arasy berada di atas langit-langit Allah berfirman:  Apakah kamu merasa aman terhadap Zat yang berada di atas langit?  Sesungguhnya Ia istiwa (bersemayam) di atas Arasy yang berada di atas langit dan tiap-tiap yang tinggi itu dinamakan 'As-Sama (langit), maka Arasy berada di atas langit. Bukanlah yang dimaksudkan di dalam firman: Apakah kamu merasa aman terhadap Zat yang berada di atas langit?  Bukan di seluruh langit! Tetapi ArasyNya yang berada di atas  langit."[38]
            Dari hujah-hujah di atas amatlah jelas, bahawa larangan mentakwil terhadap sifat-sifat Allah oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, ianya nyata disepakati oleh seluruh ulama muktabar dari kalangan Imam-Imam mazhab fikeh dan akidah yang antara mereka ialah Maliki, Hambali, Hanafi, as-Syafie, Abu Hasan al-Asy’ari, Ibn Khuzaima dan lain-lainnya tetapi malangnya ditentang habis-habisan oleh K.H. Sirajuddin Abbas dan orang-orang yang sehaluan dengan beliau.
(8).  Berkata pula Imam Ibnu Khuzaimah (dari kalaangan ulama as-Syafieyah):
"Kami beriman dengan khabar dari Allah Jalla wa-'Ala sesungguhnya Pencipta kami Ia beristiwa (bersemayam) di atas ArasyNya.  Kami Tidak mengganti/mengubah kalam (firman) Allah dan kami tidak akan mengucapkan perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada kami sebagaimana (perbuatan kaum) yang menghilangkan sifat-sifat Allah seperti golongan Jahmiyah yang pernah berkata: Sesungguhnya Dia istawla (menguasai) ArasyNya bukan istiwa! (bersemayam). Maka mereka telah mengganti perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada mereka, ini menyerupai perbuatan Yahudi tatkala diperintah mengucapkan:  Hithtatun (Ampunkanlah dosa-dosa kami), tetapi mereka mengucapkan (mengubah): Hinthah (makanlah gandum)! Mereka (kaum Yahudi) telah menyalahi perintah Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi maka seperti itulah (perbuatan kaum) Jahmiyah".[39]
            Dikhuatiri orang-orang yang mengubah Kalam Allah telah mewarisi perangai, perbuatan dan sikap orang-orang Yahudi.  Yang paling ditakuti pula jika ditimpakan nasib yang sama sebagaimana nasib  yang menimpa kepada kaum Yahudi di akhirat kelak, Na’uzubillah!  Oleh itu, jauhilah sikap, perbuatan dan akidah Yahudi kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia tergolong dari kaum itu”.
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْب ، ثَبِّتْ قَلْبَنَا عَلَى دِيْنِكَ وَطَعَاتِكَ
“Wahai Yang Membolak-balikkan hati!  Tetapkanlah hati kami di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu”.

[1].   Lihat:  Al-Fatawa al-Kubra, Jld. 1. (muqaddimah).  Qaddama lahu wa-'arrafa bihi:  Muhammad Makhluf.  Dar al-Ma'rifah. Beirut.
[2].   Ibid.
[3].   Lihat:  Muqaranah baina al-Gazali wa Ibn Taimiyah. Hlm. 22. Dr.Muhammad Rasyad Salim. Cetakan. 1395H -1975M.  Ad-Dar as-Salafiyah.
[4].   Ibid. 
[5].   Lihat:  Keterangan Sirajuddin dalam bukunya  "I'itiqad AhlussunahWal-Jamaah"  hlm.  262-263.
[6].  Lihat:  Fathul Bari. Jld. Hlm. 406. Ibn Hajar al-Asqalani.  Dar Ihya at-Turath al-Arabi.  Beirut.
[7].  Lihat:  Iktiqad Aimatul hadis (اعتقاد ائمة الحديثhlm. 50-51.  Ismaili.
[8].  Lihat:  Iktiqad Aimmah al-Arba'ah Abi Hanifah wa Malik wa as-Syafie wa Ahmad.  Hlm. 46-47. Cetakan pertama. 1412 -1992. Darul'Asimah Saudi Arabia.
[9].  Lihat:  Iktiqad Qimmah al-Arba'ah, Abi Hanifah, Malik, Syafie wa-Ahmad.  Hlm.  40.
[10].Ibid.  Hlm.  42.
[11].Ibid.  Hlm.  47.
[12].H/R Bukhari (1141), Muslim (758), Abu Daud (4733), Turmizi (4393),Ibn Majah (1366) dan Ahmad (1/346).
[13].Lihat:  As-Sunnah.  Hlm. 5.  Abdullah bin al-Imam Ahmad.
[14].H/R Muslim dan Abi Daud.
[15].H/R Bukhari dan Muslim.
[16].Lihat:  Syarah al-Akidah al-Wasitiyah.  Hlm.  17-19,  Ibn Taimiyah.Cetakan ketiga. al-Maktabah as-Salafiyah, Madinah al-Munawarah.Saudi Arabia.
[17].Lihat: Mujmal Iktiqad Aimatus Salaf.  Hlm.  86,  Dr. Abdullah binAbdulmuhsin at-Turky. Cetakan pertama. 1413 -1993.  Muassasah ar-Risalah.  Beirut.
[18].Lihat:  Bahaya Tarikat sufi/Tasawuf Terhadap Masyarakat. Hlm. 30. Rasul Dahri.  Cetakan pertama. 1998.  Malaysia. Lihat:  Talbisu al-Iblis. hlm. 159.  Ditahqiq dan ditashih oleh paraulama al- Azhar as-Syarif kali kedua pada 1368H. Dar al-Kutub al-Ilmiyah.  Beirut.
[19].At-Tasawuf.  Hlm 21.  Dr. Mustafa Hilmi.  Dar ad-Dakwah.  Al-Iskandariah.
[20].Lihat: اعلام الموقعين (17) Ibn Qaiyim al-Jauzi.
[21]:Lihat:  Hal Muslim Mulzimun biittiba'i Mazhabun Mu'ayanun minalMazhaabil al-Arbah. Hlm. 69. Muhammad Sultan al-Maksumi
[22]:Lihat:  Masail al-Imam Ahmad.  Diriwayatkan oleh Abu Daud. Hlm.277.
[23].Ibid.
[24].Lihat:  Al-Ahkam fi Usul al-Ahkam.  (118).  Tahqiq oleh AhmadMuhammad Syakir.  Cetakan kedua. Dar al-Afaq al-Jadidah.  Beirut.
[25].Lihat:  'Audah Ila Sunnah.  Hlm.  36.
26.   Lihat:  Hal Muslim Mulzimun Fiitiba'i Mazhabun Mu'aiyan MinMazhabil  Arba’a.  Hlm. 70. Muhammad Sultan al-Maksumi.
[27].Lihat:  Hal Muslim Mulzamun Fiittiba'i Mazhabun Mu'ayan MinalMazahabil Arba’.  Muhammad Sultan al-Maksumi.
[28].Lihat:  Syarah Hadis Nuzul.  Hlm. 2. Zahir as-Syawisy.  Cetakankelima.  1397H-1977M.  Al-Maktab al-Islami. Beirut.
[29].Ibid.  Hlm.  2.
[30].Ibid.
[31].Lihat:  Mukhtasar al-Ulum, Hlm. 137.  Imam Az-Zahabi.  Tahqiq al-Albani.
[32].Ibid.  Hlm. 140.
[33].Ibid.  179.
[34].Ibid.  188.
[35].Lihat:  Ma'rifah Ulum al-Hadis.   Hlm.  84.  Riwayat yang sahih, dikeluarkan oleh al-Hakim. 
[36].Surah Taha, 5.
[37].LIhat:  Fatawa Hamwiyah Kubra.  Hlm. 84.
[38].Lihat:  Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah.  Hlm.  48.
[39].Lihat:  Kitabut Tauhid fi ithbatis Sifat.  Hlm. 101.  Ibnu Khuzaimah

4 comments:

Unknown said...

Buka link di bawah :
http://al-ghari.blogspot.com/2010/06/fatwa-rasmi-al-azhar-university-ibnu.html

Musa Mohamad said...

oh..ana rasa lebih baik enta membaca fatwa2 ulama dunia daripada kenyataan yang di putar belitkan oleh Zamihan..Vedio tu pun xjelas sgt..kalau anda boleh berbahasa arab & melihat penuh vedionya sudah pasti anda berpandangan sebaliknya..ana berpengan sebagaimana pandangan Dr Yusof al-Qardhawi dan lain2

abo_humaira' said...

الله اكبر ولله الحمد...artikel yang sangat ilmiah untuk pembenci2 Ibn Taimiyah dan mereka yang berpegang dengan manhaj salaf.....semoga mereka diberi hidayat oleh Allah dengan asbab artikel ini...

abo_humaira' said...

الله أكبر ولله الحمد...artikel yang penuh dengan nilai2 ilmu...sangat sesuai dibaca dengan hati terbuka oleh pembenci2 Ibn Taimiyah dan pendukung manhaj salaf...semoga artikel ini asbab hidayat untuk mereka...