Showing posts with label Maqasid. Show all posts
Showing posts with label Maqasid. Show all posts

Tuesday, November 17, 2009

Tsa’labah : Ahli Badar Yang Teraniaya

  
Cerita tentang Tsa’labah seringkali kita dengar terutamanya bila isu tentang zakat dibincang. Kisah ini diceritakan dalam kelas-kelas pengajian, ceramah ugama malah juga di mimbar-mimbar khutbah Jumaat.

Ceritanya begini:

Tsa’labah ialah seorang muslim yang taat di mana beliau tidak pernah meninggalkan sembahyang jemaah lima waktu bersama nabi s.a.w.  Beliau amat miskin sehingga terpaksa balik  ke rumah lebih awal untuk berkongsi kain dengan isterinya. Lantaran kemiskinan yang melampau, beliau meminta supaya nabi s.a.w. mendoakannya supaya diberi kekayaan. Nabi s.a.w. pada mulanya enggan mendoakan Tsa’labah atas alasan kekayaan akan mejadi fitnah kepadanya , tetapi setelah didesak, baginda s.a.w. pun mendoakannya. Berkat doa nabi s.a.w., kambing yang dipelihara Tsa’labah membiak dengan banyak dan cepat.

Kesibukan menguruskan ternakannya  menyebabkan beliau mulai  cuai dalam ibadatnya. Pada mulanya beliau tertinggal satu dua sembahyang jemaah tetapi akhirnya beliau lansung tidak berjemaah. Untuk mengembangkan ternakannya  beliau berpindah ke kawasan pendalaman dan hubungannya dengan muslimin yang lain terputus.

Nabi s.a.w. menghantar utusan untuk mengutip zakat tetapi beliau enggan mengeluarkan zakat malah memperlekehkan kewajipan itu. Sebelum kewafatan nabi s.a.w. beliau merasa insaf dan bertaubat serta ingin mengeluarkan zakat  kepada nabi s.a.w. tetapi ditolak. Selepas kewafatan nabi s.a.w. beliau berjumpa dengan Khalifah Abu Bakar r.a. untuk mengeluarkan zakat tetapi ditolak oleh Abu Bakar atas alasan beliau tidak dapat menerima zakat itu kerana Rasulullah s.a.w. tidak menerima zakat sa’labah semasa hidup baginda.. Begitu juga di zaman permeritahan Sayyidina Umar al-Khattab r.a.

Akhirnya beliau mati dalam keadaan kufur!

Persoalannya :
Siapakah Tsa’labah ini?
Mengapa seseorang yang menyesali perbuatannya dan ingin bertaubat tidak diterima taubatnya?

Tsa’labah yang diceritakan di sini sebenarnya adalah salah seorang dari mereka yang menyertai peperangan Badar. Sebagaimana dimaklumi, ahli Badar telah dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w.  Dengan kenyataan ini tidak timbul soal  keingkaran dan seterusnya mati dalam kekufuran. Riwayat ini adalah bermotif jahat untuk memburukkan sahabat r.a. Bila diteliti, di antara mereka yang mengaitkan Tsa’labah dengan perbuatan derhaka ini ialah Ali bin Zaid.  Seorang yang dituduh sebagai penganut Syiah oleh majoriti ulama’ rijal. Sesuai dengan fahaman Syiah yang sentiasa mencari peluang untuk memburukkan sahabat r.a. ( yang sebenarnya untuk menyerang peribadi Rasulullah s.a.w. juga) , cerita ini adalah salah satu senjata yang nampaknya tepat pada sasaran dan kini , ulama-ulama ahli Sunnah pula mengambil tempat mempopularkan hikayat karut ini.

Persoalan kedua, mengapakah Rasulullah s.a.w. menolak taubat dari seorang mukmin yang telah menyesali kesalahannya. Bukankah Rasulullah s.a.w. bekerja tanpa henti untuk menarik manusia kepada Islam dan mengingatkan mereka supaya sentiasa bertaubat. Dan adalah tidak masuk akal untuk mengatakan Rasulullah s.a.w. merajuk kerana tidak ditaati bila baginda memerintahkan untuk dipungut zakat pada pertama kalinya.

Penyebaran riwayat ini perlu dihentikan . Kepada sesiapa yang terlanjur meriwayatkannya  samada melalui tulisan, ceramah atau lain-lain diharap dapat membetulkan fakta ini kepada  audien masing-masing.


Sesungguhnya kepercayaan dan kecintaan kepada sahabat r.a. adalah di antara paksi tertegaknya agama ini kerana melalui  merekalah al-Quran dan sunnah  kita dapati hari ini.

Monday, November 16, 2009

Benarkah Umar Membunuh Anaknya?

Terdapat beberapa buah buku yang tersebar meluas dalam masyarakat yang menceritakan kisah Sayyidina Umar r.a. kononnya telah membunuh seorang anak perempuan dan menanamnya hidup-hidup, seperti sebuah buku berjudul “Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga”  oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd (1984), m.s. 50-51.  Dua artikel berkenaan cerita ini telah  disiarkan dalam akhbar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk kanak-kanak di ruangan BESTARI (Harakah, 18 Disember 1998) dan satu lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama ILHAM ( Harakah, 30 Nov 1998) . Kedua-duanya mengandungi cerita yang sama dengan sedikit perbezaan ibaratnya.

Jika cerita seperti itu disiarkan oleh musuh Islam, tentu sekali tiada maksud lain bagi mereka melainkan untuk memburuk-burukkan imej Sayyidina Umar r.a. yang merupakan sahabat karib Rasulullah s.a.w. dan khalifah agung umat Islam.

Jika cerita seperti ini disebarkan oleh mereka dari kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah, pada pandangan penulis,  ada dua kemungkinan yang mendorong mereka untuk menyebarkannya.

Pertama, kerana jahil dan kedua, adalah kerana menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a. berada di zaman jahiliah.

Apa yang peliknya andaikata semasa zaman jahiliah itu, Sayyidina Umar r.a. telah melakukan demikian! Selain dari itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam dengan kemampuannya  yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk peribadi manusia sehingga manusia yang sekejam Sayyidina Umar r.a. itu pun telah menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam kemudian apabila memeluk Islam?
Bagi penulis, tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia kerana telah pun terbukti melalui banyak riwayat-riwayat yang sahih tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar r.a. ini? Apakah kedudukannya? Adakah ia memang berasas atau hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?

Alangkah berguna kepada para pembaca sekiranya penulis-penulis buku dan artikel-artikel ini mengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang ramai itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.

Kisah ini tidak akan dapat ditemui dan dikesan walaupun bayangnya di dalam kitab-kitab hadis atau kitab-kitab sejarah yang muktabar! Tentu sekali ianya direka oleh musuh Islam tetapi sungguh malang sekali apabila kita sebagai umat Islam menerima apa saja yang disogokkan dalam cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah s.a.w. telah pun bersabda yang bermaksud,  “Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa sahaja yang didengarnya.” ( Hadis Riwayat Muslim)

Tujuan penulis mengkaji semula dan membetulkan artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup Rasulullah s.a.w. Juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. kerana mereka adalah cermin agama Islam.

Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bahagian terpenting daripada kisah Sayyidina Umar r.a. menanam hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disebarkan dalam akhbar  sebagaimana di atas).

 Begini ceritanya…..

“...Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang digalinya. Ia menangis. Umar tidak menghiraukannya….Umar menutupkan mata dan terfikir, “ Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau dilahirkan sebagai perempuan?” Ia menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil. “ Umar, jangan jadi pengecut,” Tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali ditelinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kisah ini selain tidak terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan muktabar, ia juga bercanggah dengan kaedah dirayah yang dipakai oleh ulamak Islam dalam menilai sesuatu cerita.
 
Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:

1)                          Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan membuktikan seorang pun daripada kabilah Quraisy menanam anaknya hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a membunuh anak perempuannya.

2)                          Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah kabilah Bani Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka kerana anak-anak itu. (Muhammad Tayyib dan Najjar di dalam kitab Al-Qabasu AL-Waddah’, muka surat 78 Zakaria Basyir dalam Meccan Crucible, muka surat 24). Sebagaimana adanya riwayat menyebutkan Qais bin Hasyim seorang pemimpin kabilah Bani Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku menanam hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman Jahiliah.


Disana terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari kalangan Bani Tamim juga telah menyelamatkan ramai anak perempuan daripada dibunuh oleh ibu bapa mereka kerana takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak perempuan. Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, datuk kepada Al-Farazdaq seorang penyair Arab yang terkenal dan Zaid bin Amar bin Nufail.

Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan daripada kedua ibu bapanya kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang ( At Thabarani dalam Al Mu’jamu’ Al Kabir, jilid 8 m.s.  77). Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakat sekeliling yang menyengutukan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari  kebenaran dan sedapat  mungkin cuba mengesan serta mengamalkan saki baki peninggalan agama Nabi Ibrahim. Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibubapanya lalu memelihara mereka hingga dewasa. Kemudian dia akan membawa anak-anak perempuan itu kepada kedua ibubapanya lalu berkata kepada mereka , “ Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini, kamu boleh mengambilnya atau kalau kamu tidak mahu kepada anak perempuan kamu ini biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” ( Bukhari, jilid 1 , m.s. 540)

Zaid bin Amar bin Nufail bukan sahaja  keluarga Sayyidina Umar r.a malah beliau adalah sepupu Sayyidina Umar r.a.  Adik perempuan Sayyidina Umar r.a menjadi isteri kepada anaknya Sa’id dan anak perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar r.a. sendiri.

 Takkanlah keluarga yang terkenal dalam usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh ibubapa mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menonjol dan yang terpenting daripada mereka sendiri melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anaknya sendiri.

3)                          Setelah Mekah dibuka, Rasulullah SAW. Berbai’ah dengan perempuan-perempuan mukmin. Diantara ucapan baginda SAW ialah:

“ Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.”

Hindun tiba-tiba berkata, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”

Peristiwa itu tercatat di dalam kitab-kitab hadis dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci. Kata-kata Hindun ini menunjukkan kabilah Quraisy tidak terlibat dengan adat yang keji ini. Sabda Rasullullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa kabilah Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu,  Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud,
“ Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka paling menjaga kedudukan dan harta benda suaminya”.

Apa ertinya pujian Nabi s.a.w terhadap sifat penyayang mereka terhadap anak-anaknya sekiranya mereka juga seperti kabilah-kabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak-anaknya?

Anak-anak Sayyidina Umar r.a yang lahir sebelum Islam semuanya hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.

4)                          Dalam tradisi Arab, seorang yang dikurniakan dengan anak
                 sulungnya seperti Kuniah Nabi kita s.a.w ialah Abu Qasim, Kuniah     Sayyidina Umar r.a   ialah Abu Hafsin merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a. yang sulung ialah  Sayyidatina Hafsah.

5)                          Perlu juga diperhatikan bahawa disepanjang hayatnya, berapa ramaikah isteri Sayyidina Umar r.a dan juga hamba sahayanya di samping anak daripada mereka itu?

Kerana sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar r.a Imam Ibn Jauzi dan lain-lain menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar r.a. dan anak-anaknya di samping  hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah:

I)                  Zainab bt Maz’un

Zainab adalah saudara perempuan Uthman b. Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan dan saudara sesusu dengan Nabi s.a.w. Dengan Zainab ini Sayyidina Umar r.a telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.

ii)                 Atikah bt Zaid b. Amar b. Nufail
Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Iyadh
iii)               Isteri yang ketiga ialah Jamilah bt Tsabit b. Aflah
Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim
iv)               Ummul Hakkam bt Al-Harith b. Hisham
Daripadanya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.
v)                 Ummul Kulthum bt Jarwal b. Malik
Daripadanya beliau mendapat dua orang anak perempuan bernama Ubaidullah dan Zaid Al Akbar
vi)               Ummul Kulthum bt Ali b. Abi Talib
Daripadanya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid Al Asghrar dan Ruqayyah.
vii)             Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan
Luhayyah juga Sayyidina r.a telah mendapat anak. Daripada Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan daripada Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman Al Autsar dan Abdul Rahman Al Asghrar.
Jadi, anak-anak Sayyidina Umar r.a adalah seperti berikut:

LELAKI
1)     Abdullah
2)     Abdul Rahman Al Akbar
3)     Abdul Rahman Al Autsar
4)     Abdul Rahman Al Asghrar
5)     Zaid Al Akbar
6)     Zaid Al Asghrar
7)     Ubaidullah
8)     ‘Aasim
9)     ‘iyadh

PEREMPUAN:

1)     Hafsah
2)     Ruqayyah
3)     Fatimah
4)     Zainab
Daripada isteri pertamanya Zainab bt Maz’un, Sayyidina Umar r.a mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah b. Umar dan Abdul Rahman Al Akbar.Hafsah adalah anak sulungnya daripada Zainab bt Maz’un, sebab itulah beliau dikurniakan dengan Abu Hafsin.

Pada ketika beliau memeluk islam, beliau mempunyai hanya tiga orang anak ini sahaja. Kalau begitu anak yang manakah ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar r.a? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar r.a betul-betul bencikan atau tidak suka kepada anak perempuan, kenapa pula dia memakai kuniah Abu Hafsin?

Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, adakah logic Sayyidina Umar r.a baru mengetahui identity anaknya samada lelaki atau perempuan setelah anak itu berumur 4 tahun?

Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh imam Daarini di dalam sunnahnya,atau mungkin ia pura-pura terkeliru.

Riwayat itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah Saw lalu berkata, “wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang Jahiliah,kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan.Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya dan ia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga, saya memegang tangannya dan menolaknya masuk ke dalam telaga. Ucapan terakhir yang terkeluar dari mulutnua ialah “ ayah!”

Mendengar ceritanya itu Nabi saw menangis. Orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi saw berkata kepada orang itu, “ kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah saw.” Nabi bersabda, “orang ini datang bertanyakan sesuatu yang lebih dari itu,” seraya baginda Rasulullah saw berkata kepada orang itu, “ceritakan sekali lagi kisah itu” orang itu pun mengulangi sekali lagi kisah itu sehingga Rasulullah saw menangis sehinnga basah janggutnya.

Kemudian Nabi saw bersabda, “perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman jahiliah telah dihapuskan oleh Allah swt dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulakan amalan-amalan yang lain” ( sunnah Daarini,jilid 1. ms 3)

Ini adalah satu kisah seorang yang tidak diketahui siapa orangnya,apa namanya? Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar r.a. padahal cerita inipun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak disabitkan kerana Wadhin merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80H dan wafat pada 149 H,sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain lain diatasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya!

Dalam istilah ilmu hadis, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqati’, kerana perawi diatasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulamak Rijal Hadits tentangnya. Imam Bukhari,Muslim dan Nasa’I tidak mahu menerima riwayatnya. Ibnu Saad berkata, “ dia seorang yang daif.” Abu Hatim berkata, “ sesetengah riwayatnya baik tetapi setengah yang lain sangat buruk.” Jauzajani berkata, “riwayat-riwayatnya adalah lemah” ( Mizan Al I’tidal, jilid 4. ms 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahawa, “ingatannya sangat teruk”.

Bila riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan tidak disebutkan dengan jelas namanya kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyididina Umar r.a.? Tentu sekali perbuatanseperti ini tidak pernah dilakukan kecuali oleh musuh-musuh Islam. 


Thursday, November 5, 2009

Bahaya Bid`ah

Hikmah Pensyariatan


            Di dalam Islam, sesuatu hokum Syariah di fardhukan berdasarkan kepada 5 dasar utama yang perlu di jaga iaitu :
i-                    Agama.
ii-                  Nyawa.
iii-                Harta.
iv-                Maruah.
v-                  Keturunan.
Di dalam tulisan sy pada kali ini saya hanya ingin mengjelaskan tentang tuntutan menjaga agama iaitu bahagian yang pertama kerana menjaga agam adalah perkara yang sebesar-besar perkara di dalam kehidupan seseorang islam.


Jikalau kita meninjau di dalam kitab Qadhawa al-Muasoroh di dalam membincangkan bab menjaga agama, sudah pasti yang terdapat di dalam bab ini dua perkara :-


1-      Murtad iaitu yang kembali kepada kekafiran setelah Islam.
2-      Orang yang melakukan Bid`ah iaitu melakukan sesuatu yang baru di dalam agama setelah sepurnanya wahyu.

Murtad


Riddah atau murtad telah saya jelaskan maksubnya diatas, firma Allah taala :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ


Maksudnya :” Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah Lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui “. Al-Maidah 54.


Manakala sabda Rasulullah s.a.w :
من بدل دينه فاقتلوه
Maksudnya :” Sesiapa yang berpaling daripada Agamanya, maka bunuhlah “. ( Di riwayat Jamaah kecuali Imam Muslim ).


Maka telah jelas bahagian pertama di dalam bab menjaga agama bahawa orang yang murtad yang tidak ingin bertaubat maka wajib dijatuhkan hukuman bunuh keatasnya.

Mubtadik` ( orang yang melakukan Bid`ah )


Di dalam bahagian ini saya akan cuba bincangkan tentang perkara ini secara seringkas boleh, kerana ianya merupakan sesuatu perbahasan yang panjang di kalangan ulama.


Kenapakah golongan ini mesti dihapuskan di dalam menjaga agama? Ini adalah bersesuaian dengan firma Allah taala :


الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِإِثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya :” Pada hari Ini Telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan Telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan Telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa Karana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang “. Al-Maidah 3.


Telah jelas kepada kita bahawa agama Islam telah sempurna berdasarkan ayat diatas, maka sudah tentu mereka yang melakukan perkara Bid`ah telah melakukan sesuatu penambahan dan seterusnya mengingkari bahawa Risalah yang dibawa oleh Baginda Rasulullah s.a.w telah sempurna. Ini bermakna sesiapa yang ingkar kepada rasul sama dengan ingkarnya kepada Allah dan balasannya sudah pasti Api neraka yang panas membinasakan, sabda Rasulullah s.a.w :


أوصيكم بتقوى الله والسمع والطاعة وإن عبدا حبشيا فإنه من يعش منكم بعدي فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء المهديين الراشدين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة


Maksudnya :” Aku berwasiatkan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah, dengarlah dan taatlah, dan sesungguhnya wahai hamba Allah, kerana sesungguhnya sesiapa di kalangan kamu hidup selepas aku akan mendapati perselisihan yang banyak, maka wajib keatas kamu mengikut sunnahku dan sunnah Khulafa` ar-Rasyidin al-Mahdiyyin berpenganlah dengannaya dan gigitlah dengan gigi gerham kamu dan beringatlah dengan perkara baru yang di ada-adakan (di dalam agama), kerana sesungguhnya setiap yang di ada-adakan itu adalah Bid`ah dan setiap yang Bid`ah itu sesat “. ( Sahih di riwayatkan oleh Muslim, Abu Dawwud, Nasae`dan Ibnu Majah dengan lafaz Abu Dawwud ).


Sabda Rasulullah s.a.w :


ومن عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد
Maksudnya :” Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak daripada perkara kami sesungguhnya tertolak “. ( Riwayat Bukhari & Muslim).


من أحدث في أمرنا هذا ما ليس فيه فهو رد


Maksudnya :” Sesiapa yang melakukan sesuatu yang baru bukan daripada perbuatan ( amalan ) kami ini, bukan yang kami lakukan sesungguhnya tertolak “. ( Riwayat Bukhari & Muslim).


Telah jelas dalil kepada kita tentang urusan agama yang mana kita tidak boleh taklid tanpa mengetahui apakan sesuatu amalan itu benar-benar datang daripada Rasulullah s.a.w atau tidak. Sebabnya bagi saya, penyebaran hadis palsu di kalangan masyarakat melayu dan para Ustaz sukar hendak di bendung lagi. Ini juga disebabkan para ilmuan Islam di Malaysia dan kepulauan melayu umumnya tidak mahu bergangjak daripada kembali kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w, sehingga urusan adat dikatakan sebagai agama dan ada juga yang lebih menduka citakan lagi mereka mencipta hadis-hadis palsu atau mengutipnya daripada sumber yang tidak muktabar.


Sabda Rasulullah s.a.w
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Maksudnya :” Sesiapa yang mendustakan keatas Aku dengan sengaja, maka sedia tempat tinggalnya didalam neraka “. ( Mutawatir, Mutafaqun Alaihi ).


Sudah tentu kita ingin sekali menjauhkan diri kita daripada bermahligaikan api neraka, disebabkan kebimbangan inilah saya menulis risalah ringkas ini semoga mendapat manfaat bersama dan sudah pasti bila rumahnya disitu, maka disitulah kehidupannya.