Friday, May 11, 2012

Agama Nusairiyyah


1. PENGENALAN

1.1Takrif

Al-Nusairiyyah merupakan sebuah pergerakan Batiniyyah yang muncul pada kurun ketiga Hijrah. Pengikut-pengikut mereka terdiri daripada pelampau-pelampau Syiah yang mendakwa wujudnya unsur-unsur ketuhanan pada Ali. Mereka mendakwa cAli tidak meninggal dunia, kerana beliau merupakan tuhan atau hampir-hampir menjadi tuhan. Mereka juga bersepakat dengan al-Batiniyyah bahawa setiap syariat mempunyai sisi zahir dan sisi batin, dan batin syariat terdapat pada para imam.[1]

            Pegangan mereka bercampur dengan pegangan-pegangan yang melampau dalam kumpulan-kumpulan yang disandarkan kepada Syiah, tetapi kebanyakan mereka menyangkal perkara tersebut.  Mereka juga mengambil daripada kumpulan Saba’iyyah (yang kafir) tentang wujudnya sifat ketuhanan pada cAli, adanya sifat kekal dan beliau akan kembali semula. Mereka mengambil daripada al-Batiniyyah bahawa ada syariat zahir dan syariat batin. Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan Ithna cAsyarah, ataupun mereka sering mendakwa mereka ada hubungkait dengan kumpulan ini.

Mereka sering dizalimi oleh kaum Kurdish pada satu keadaan dan diperangi oleh golongan al-Ismailiyyah pada satu keadaan yang lain, sehingga mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka. Peristiwa ini terjadi pada akhir kurun ke enam dan awal kurun ketujuh.[2]

Di bawah Empayar Uthmaniyyah mereka dilayan dengan layanan yang teruk, dan mereka menolak untuk menerima ajaran Ahli Sunnah Wa Al jamaah. Mereka memberontak melawan Dinasti Uthmaniyyah pada beberapa kesempatan.[3]
Setelah jatuhnya Empayar Uthmaniyyah, Syria dan Lubnan berada di bawah kekuasaan Perancis. Semasa penjajahan Perancis ke atas Syria, mereka menggunakan nama Alawiyyin, untuk menyamar dan menutup hakikat bahawa mereka terdiri daripada golongan Rafidah dan Batiniyyah.[4] Perancis, ketika mereka menduduki Syria pada tahun 1920, mengiktiraf istilah ‘Alawi’, memberi autonomi kepada mereka dan kumpulan minoriti lain, dan menerima mereka ke dalam pasukan penjajah mereka. Di bawah mandat, banyak pemimpin Alawiyyun menyokong gagasan untuk membentuk negara yang berasingan untuk Alawiyyun dan cuba untuk mengubah autonomi mereka kepada sebuah negara yang merdeka. Sebuah wilayah Alawiyyun dicipta pada tahun 1925. Pada bulan Mei 1930, Kerajaan Latakia diciptakan; itu berlangsung sampai dengan 28 Februari, 1937 apabila digabungkan ke Syria.[5]

1.2       Kaitan dengan Al-Alawiyyun

Al-Alawiyyun merupakan satu kumpulan daripada Syiah Imamiyyah. Kemunculannya adalah bersamaan dengan munculnya Syiah Imamiyyah, tetapi kumpulan ini membuat hala tuju yang lain setelah kematian Imam Muhammad, Imam yang kedua belas, yang juga dikenali sebagai al-Qaim bi al-Hujjah.[6]

            Hal ini kerana mereka beri’tikad bahawa setiap Imam mempunyai pintu, seperti juga pegangan Mazhab Ithna Asyariyyah. Pintu yang pertama adalah Salman al-Farisi yang mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam semua mazhab Syiah. Hal ini kerana beliau merupakan pintu kepada Imam cAli r.a. Manakala pintu yang terakhir pula ialah Abu Syucaib Muhammad bin Nasir al-Basri al-Namiri. Beliau merupakan pintu kepada Imam yang kesebelas iaitu Imam Hasan al-cAskari. Manakala Imam yang kedua belas tidak mempunyai pintu kerana semasa beliau menerima Imamah pada tahun 260 Hijrah, beliau baru berumur lima tahun dan beliau telah menghilangkan diri ketika berumur sebelas tahun.[7]
            Maka, al-Syahrastani telah menamakan kumpulan yang melampau daripada al-Alawiyyun sebagai al-Nusairiyyah.[8] Hal ini berkemungkinan kerana jauhnya mereka daripada kumpulan al-Imamiyyah al-Jacfariyyah. Maka disandarkan kepada mereka pendapat yang mengatakan wajibnya melantik Imam daripada kalangan Ahli al-Bait dan mengatakan Imam cAli mempunyai unsur ketuhanan. Mereka beri’tikad bahawa Nabi itu dilantik pada zahir dan cAli dilantik pada batin. Mereka juga mengatakan bahawa Nabi diutuskan untuk memerangi kaum musyrikin manakala cAli diutuskan untuk memerangi golongan munafik.[9]

1.3       Asal Usul Nama al-Nusairiyyah

Muhammad bin Nasir al-Basri – telah mengaku menjadi pintu kepada Imam Hasan al-cAskari – telah mengambil alih kepimpinan kumpulan al-Alawiyyun ini. Maka, sebahagian pengkaji telah menyatakan bahawa nama al-Nusairiyyah bagi kumpulan al-Alawiyyun di Syria dan Turki yang dikenali sejak lama dahulu adalah disandarkan kepada Muhammad bin Nasir al-Basri. Hal ini kerana beliau merupakan ketua mereka yang pertama selepas berakhirnya era dua belas orang Imam. Tetapi sebenarnya nama kumpulan al-Nusairiyyah ini disandarkan kepada satu tempat di mana ahli-ahli kumpulan al-Alawiyyun ini hidup iaitu Bukit Nusairiyyah di Syria. Hal ini kerana secara tradisional pengikut Alawiyyun tinggal di gunung-gunung al-Nusairiyyah di sepanjang pantai Mediterranean Syria. Latakia dan Tartous adalah bandar utama di kawasan itu. Pengikut Alawi juga tertumpu di dataran sekitar Hama dan Homs. Namun nama asal bagi kumpulan ini adalah al-Alawiyyun.[10]

            Sebenarnya kebanyakan ahli-ahli al-Alawiyyun tidak suka dikenali sebagai al-Nusairiyyah, tetapi mereka mahu dikenali sebagai al-Alawiyyun. Memanggil mereka dengan nama al-Nusairiyyah merupakan satu penghinaan terhadap mereka. Mereka mendakwa bahawa menamakan mereka dengan al-Nusairiyyah merupakan bid’ah yang diadakan oleh musuh-musuh mazhab mereka, seperti menamakan al-Rawafid bagi kumpulan al-Imamiyyah dan al-Nawasib bagi Ahli Sunnah.[11]
1.4       Pengasas al-Nusairiyyah

Pengasas kumpulan ini ialah Abu Syucaib Muhammad bin Nasir al-Basri al-Namiri. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 270 Hijrah. Beliau sempat hidup pada zaman tiga Imam Syiah iaitu Imam cAli al-Hadi, imam yang kesepuluh, Hasan al-cAskari, imam yang kesebelas dan Muhammad al-Mahdi, imam yang kedua belas.[12]

            Beliau telah mendakwa bahawa beliau merupakan pintu kepada Imam Hasan al-cAskari. Beliau juga mendakwa bahawa beliau merupakan pewaris ilmu Imam Hasan al-cAskari, seorang hujjah dan pakar rujuk dalam Syiah selepas imam tersebut. Beliau mendakwa sifat ‘pakar rujuk’ dan ‘pintu’ masih berkekalan padanya selepas kehilangan Imam Mahdi. Apa yang lebih teruk, beliau mendakwa memiliki sifat kenabian dan menerima Risalah. Beliau juga melampau dengan terlalu memuja para Imam sehingga mengatakan bahawa mereka mencapai darjat ketuhanan.[13]

1.5       Sejarah Perkembangan, Pemimpin dan Tokoh-tokoh

Selepas Abu Syucaib, kepimpinan kumpulan ini dipegang oleh Muhammad bin Jundab.[14] Kemudian, kumpulan ini dipimpin pula oleh Abu Muhammad cAbd Allah bin Muhammad al-Jannan al-Junbulani. Beliau berasal daripada Junbula, Iran dan hidup dari tahun 235 Hijrah sehingga 287 Hijrah. Laqab beliau adalah al-cAbid, al-Zahid dan al-Farisi.[15] Beliau seorang yang mempunyai ketinggian ilmu, menguasai falsafah, seorang yang zuhud dan mengamalkan tasawwuf.[16]

Maka beliau telah mengasaskan tarekat Junbulaniyyah supaya ramai orang menyertai kumpulan ini. Bermula dari sini, unsur-unsur kesufian mula meresap ke dalam mazhab al-Alawi. Semenjak itu, mereka mnghimpunkan tiga akidah penting iaitu al-Tasyayyuc, al-Ictizal dan al-Tasawwuf. Namun, pendapat yang sahih adalah pengaruh tasawwuf telah lama meresap ke dalam kumpulan al-Alawiyyun sebelum itu, tetapi tasawwuf dengan makna yang luas dan riadah-riadahnya hanya dikenali pada zaman al-Junbulani.[17]

Beliau kemudiannya berhijrah ke Mesir dan di sana beliau telah  menyebarkan dakwahnya kepada al-Khasibi. Beliau ialah Husain bin cAli bin al-Husain bin Hamdan al-Khasibi, lahir pada tahun 260 Hijrah. Beliau berasal dari Mesir, namun telah berhijrah bersama dengan guru beliau iaitu cAbd Allah bin Muhammad al-Junbulani dari Mesir ke Junbula. Beliau kemudiannya memimpin kumpulan ini selepas kematian gurunya pada tahun 287 Hijrah.[18]

Selepas itu beliau meninggalkan Junbula dan berhijrah ke Baghdad. Selepas tinggal beberapa lama di Baghdad, beliau meninggalkannya dan menetap pula di Halab. Tujuan beliau ke Halab adalah untuk berdekatan dengan dengan Saif al-Daulah al-Hamdani, dengan harapan semoga beliau mendapat sedikit kekuatan dan bantuan daripada Saif al-Daulah, yang beraliran Syiah dan menyintai Ahli al-Bait dengan tidak berlebihan.[19]

Beliau sempat hidup pada zaman pemerintahan Daulah al-Hamdaniyyah di Halab dimana pada ketika itu tertubuhnya dua pusat pentadbiran al-Nusairiyyah. Dua pusat pentadbiran itu adalah di Halab yang dipimpin oleh Muhammad cAli al-Jali dan yang kedua di Baghdad yang dipimpin oleh cAli al-Jasari. Namun pusat pentadbiran al-Nusairiyyah di Baghdad telah musnah selepas Baghdad diserang oleh Hulagu Khan, manakala pusat pentadbirannya di Halab telah dipindahkan ke al-Ladhaqiyyah dan kepimpinannya telah diambil alih oleh Abu Sacd al-Maimun Surur bin al-Qasim al-Tabrani. Beliau hidup dari tahun 358 Hijrah sehingga 427 Hijrah.[20]

Namun begitu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa al-Khasibi telah memainkan peranan yang berbahaya dalam menyebarkan fahaman al-Alawiyyah dan menolak untuk bersatu dengan al-Ismaciliyyah. Beliau telah mengelilingi daerah Khurasan dan Dailam. Dari sini beliau menjadi seorang tokoh yang cemerlang dalam al-Alawiyyun.[21]

Beliau seorang yang pakar dan banyak menulis dalam persoalan mazhab ini sehingga digelar Syaikh al-Din. Antara karya peninggalannya adalah al-Hidayah al-Kubra, Asma’ al-Nabiy, Asma’ al-A’immah, al-Ikhwan dan al-Ma’idah.[22]

Sesetengah ahli sejarah telah mengatakan bahawa beliau seorang yang melampau dan mempunyai pegangan ‘penjelmaan’ dan ‘kelahiran semula’. Namun kitab al-Hidayah al-Kubra merupakan sebuah kitab berharga yang mengandungi dasar-dasar penting al-Alawiyyah, yang pada asalnya tidak mengandungi unsur-unsur yang melampau. Buktinya adalah, al-Khasibi telah mendedikasikan kitab tersebut kepada Saif al-Daulah al-Hamdani yang terkenal dengan pandangannya yang sederhana dalam Syiah. Andainya kitab itu mengandungi shubhat dan idea yang melampau, mestilah Saif al-Daulah tidak memperkenankan kitab tersebut. Adapun kitab-kitab lain, maka didapati bahawa banyak tangan telah mengubahnya dengan menambah-nambah padanya dan membuang daripadanya perkara-perkata tertentu. Maka terdapatlah idea-idea yang melampau di dalam kitab-kitab tersebut. [23]

Apa yang lebih menarik adalah beliau juga telah mengarang sebuah kitab dalam bahasa Parsi kepada cAdad al-Daulah al-Buwaihi yang bertajuk Rasat Basya yang bermaksud Kun Mustaqiman. Maka dengan sebab itu golongan al-Alawiyyun dikaitkan dengan cAsad al-Daulah dengan nama Rasat Basya.[24]
           
Beliau telah meninggal di Halab dan kuburnya terkenal di sana. Beliau telah meninggalkan banyak karya tentang mazhabnya, dan syair-syair yang memuji Ahli al-Bait.[25]

            Setelah kematian al-Khusaibi, kepimpinan al-Nusairiyyah telah berpindah tangan kepada beberapa orang pemimpin yang tidak begitu popular dan tidak begitu dikenali keperibadian mereka. Antaranya adalah Muhammad bin cAli al-Jali, Abi Sacid al-Maimun al-Tabrani yang terkenal dengan laqab Syaikh al-Diyanah al-cAlawiyyah dan ketua Tarekat al-Junbulaniyyah. Nama lain dalam kepimpinan al-Nusairiyyah ini juga ialah Abu Hasan al-Tursusi al-Saghir yang tekkenal sebagai seorang yang kuat beribadat, banyak berpuasa dan seorang yang zuhud. Selain itu, pemimpin mereka juga adalah Abu Hasan al-Tursusi al-Kabir.[26]

1.6       Al-Nusairiyyah Sekarang

Golongan al-Nusairiyyah sekarang tinggal di pergunungan Nusairiyyah di Azakiah dan mereka tersebar ke bandar-bandar di Syria. Mereka juga boleh didapati di kawasan-kawasan lain di Turki dan Albania dan dikenali sebagai al-Baktasyiyyah. Ada juga yang tinggal di Iran dan Turkistan dan mereka dikenali sebagai al-cAliyy al-Ilahiyyah. Selain itu, ramai juga antara mereka yang tinggal di Lubnan dan Palestin.[27]

1.7       Pandangan Ahli Sunnah Terhadap al-Nusairiyyah

Golongan Ahli Sunnah menganggap mereka telah terkeluar daripada Islam dan tidak sah untuk melakukan muamalah dengan mereka kerana mereka merupakan golongan yang mempunyai idea yang melampau dan pandangan-pandangan yang pelbagai. Ulama Muslimin juga bersepakat dengan mengatakan tidak boleh menikahi golongan ini, tidak boleh memakan sembelihan mereka, tidak boleh menyembahyangkan mayat mereka dan tidak boleh dikuburkan mereka bersama-sama dengan orang Islam.[28]

            Ibn Taimiyyah berkata: “Golongan yang dikenali sebagai al-Nusairiyyah ini, mereka adalah terdiri daripada al-Qaramitah al-Batiniyyah. Mereka lebih kafir daripada Yahudi dan Nasrani, bahkan lebih kafir daripada kebanyakan orang musyrikin. Keburukan mereka lebih besar daripada keburukan orang kafir yang memerangi Islam seperti Tatar dan lain-lain...Mereka sentiasa memusuhi Muslimin dan mereka bersama-sama Kristian memerangi Islam. Dan antara musibah terbesar angkara mereka adalah mereka menolong Tatar memerangi Muslimin. Tatar dapat memasuki negara Islam dan membunuh khaifah di Baghdad dan lain-lain sultan Islam dengan pertolongan mereka.”[29]

2.         USUL DAN FIKRAH AL-NUSAIRIYYAH

Apabila telah berlalu beberapa zaman, sebahagian daripada golongan al-Nusairiyyah telah kembali kepada akidah yang betul. Namun sebahagian yang lain telah menjadikan golongan yang kembali kepada akidah yang benar ini sebagai sebab untuk mereka terus menjauhi daripada Islam dan sebahagian lagi menjadikan sebab untuk mendekati Islam. Maka, golongan yang memilih untuk menjauhi Islam ini telah jatuh ke dalam pengaruh jahiliyyah. Hal ini kerana sebahagian mereka telah terpengaruh dengan Majusi dan sebahagian lagi telah terpengaruh dengan Triniti Kristian. Ada juga yang terpengaruh dengan fitnah yang dibawa oleh Abd cAllah bin Saba’.[30]

2.1       Ketuhanan cAli

Golongan al-Nusairiyyah mempercayai ketuhanan cAli dan mengatakan ia hanya menampakkan zahirnya pada Jasad seperti Jibril pernah menyerupai beberapa orang lelaki.[31] Kumpulan ini telah mendatang dalil tentang ketuhanan cAli bin Abi Talib dengan membaca ayat al-Quran dalam surah Yasin:
}§øŠs9urr& Ï%©!$# t,n=y{ ÏNºuq»yJ¡¡9$# uÚöF{$#ur AÏ»s)Î/ #n?tã br& t,è=øƒs Oßgn=÷WÏB 4 4n?t/ uqèdur ß,»¯=yø9$# ÞOŠÎ=yèø9$# 
Tetapi mereka telah menukarkan huruf Jar (على) kepada perkataan cAli (علي) dengan maksud bahawa cAli adalah Tuhan. Mereka juga telah mengatakan bahawa qiraat ini merupakan qiraat yang sahih dan asli kepada ayat tersebut, tetapi Uthman r.a telah menukarkan huruf (علي) kepada (على) semasa pengumpulan al-Quran dahulu.[32]
            Selain itu, sebahagian daripada dalil tentang ketuhanan cAli adalah seperti yang terdapat dalam kitab-kitab golongan ini yang mengatakan bahawa cAli telah mengutuskan Jabir bin Yazid al-Jucfi untuk menunaikan keperluannya. Apabila ia telah sampai ke tempat yang ditujuinya, ia melihat cAli bin Abi Talib duduk bersemayam di atas kerusi daripada cahaya dan Nabi Muhammad berada di sebelah kanannya dan Salman al-Farisi berada di sebelah kirinya. Kemudian, Jabir telah menoleh ke belakang, dan ia nampak perkara yang sama. Kemudian ia melihat ke kanannya, maka ia melihat perkara tersebut juga. Kemudian, ia memandang ke langit dan malaikat-malaikat di atasnya sedang bertasbih dan bersujud kepada cAli.[33]

Mereka membuat pengakuan tentang ketuhanan Ali (sebagaimana agama kristian yang mempertuhankan Isa) dan juga pemimpin-pemimpin selepas Ali. Mereka juga menganggap Saidina Ali berada di awan (sebagai Tuhan). Apabila awan itu berada di atas mereka, mereka akan mengucapkan salam :
السلام عليك يا ابا الحسن                      
Bermaksud :
Sejahtera ke atas engkau wahai Abu Al-Hassan”[34]

Mereka berkata juga. Mereka berkata lagi, sesungguhnya Salman Al-Farisi adalah pesuruh Saidina Ali.[35]
           
Pengarang kitab al-Bakurah al-Sulaimaniyyah telah menyatakan tentang lima belas surah yang didedikasikan kepada cAli yang mengikut kepercayaan mereka adalah makna ataupun tuhan. Surah-surah tersebut mempunyai nama yang pelbagai. Ada yang dinamakan seperti nama surah di dalam al-Quran seperti al-Fath dan al-Sujud yang hampir sama dengan al-Sajdah. Ada juga yang dinamakan dengan nama-nama yang tidak berkaitan dengan nama-nama surah di dalam al-Quran seperti al-Hijabiyyah, al-Bait al-Macmur, al-Jabal dan al-Syahadah.[36]
            Surah-surah dimulakan dengan satu atau dua ayat al-Quran, kemudian ia akan menyeleweng kepada memuliakan cAli. Sebagai contoh, dalam surah al-Jabal, ia dimulakan dengan ayat al-Quran al-Karim:
yÎgx© ª!$# ¼çm¯Rr& Iw tm»s9Î) žwÎ) uqèd èps3Í´¯»n=yJø9$#ur (#qä9'ré&ur ÉOù=Ïèø9$# $JJͬ!$s% ÅÝó¡É)ø9$$Î/ 4 Iw tm»s9Î) žwÎ) uqèd âƒÍyêø9$# ÞOŠÅ6yÛø9$# ÇÊÑÈ   ¨bÎ) šúïÏe$!$# yYÏã «!$# ÞO»n=óM}$# 3 !$oY­/u $¨YtB#uä !$yJÎ/ |Mø9tRr& $oY÷èt7¨?$#ur tAqߧ9$# $oYö;çFò2$$sù yìtB šúïÏÎg»¤±9$# ÇÎÌÈ
Kemudian golongan al-Nusairiyyah menambahkan:[37]


Apabila diteliti tentang pola yang terdapat dalam lima belas surah ini berkaitan dengan akidah, fikrah dan uslub, akan didapati bahawa ia merupakan buah fikiran ulama-ulama mereka yang tidak berilmu. Maka sangat perlu bagi menambah baik kualiti bahasa Arab yang fushah dalam kitab-kitab ini.[38]
           
Contoh yang lain adalah surah al-Fath. Surah al-Fath ini adalah surah kelima dan seperti biasa ia dimulakan dengan surah al-Fath di dalam al-Quran, kemudia ia melencong kepada memuja cAli.[39]


2.2       Mempercayai Konsep Triniti

Semua aliran Syiah kecuali Zaidiyyah mempercayai bahawa Saidina ‘Ali adalah khalifah pertama yang layak. Walau bagaimana pun, Nusairiyyah telah pergi lebih jauh dan mempercayai bahawa Saidina ‘Ali adalah salah satu penjelmaan. Mereka mencipta triniti yang terdiri daripada cAli, Muhammad dan Salman al-Farisi. Daripada perkara tersebut, mereka membuat satu rumuz yang terdiri daripada tiga huruf iaitu (ع م س).

            Triniti ini ditafsirkan dikalangan mereka sebagai makna, nama dan pintu. Makna bermaksud yang ghaib secara mutlak iaitu Allah yang dirumuzkan dengan huruf (ع). Nama pula bermaksud rupa atau wajah yang zahir bagi makna dan dirumuzkan dengan huruf (م). Pintu pula merupakan jalan untuk sampai kepada Makna dan dirumuzkan dengan huruf (س).[40]

            Mereka mempercayai cAli telah mencipta Muhammad, Muhammad telah mencipta Salman al-Farisi dan Salman al-Farisi telah mencipta anak yatim yang lima iaitu:

2.2.1    Miqdad bin al-Aswad: Ia adalah tuhan manusia dan menjadi wakil cAli.

2.2.2    Abu Dhar al-Ghiffari: Wakil yang mengatur planet-planet dan bintang-bintang.

2.2.3    Abdullah bin Rawahah: Wakil bagi menjalankan angin dan mencabut nyawa manusia.

2.2.4    Uthman bin Mazcun: Wakil bagi mengatur pergerakan anggota badan dan penyakit manusia.

2.2.5    Qunbur bin Kadan: Wakil bagi meniupkan roh ke dalam jasad manusia.[41]



2.3       Perayaan

Akidah mereka yang melampau telah dipengaruhi oleh dua unsur iaitu unsur-unsur Kristian seperti mempercayai triniti dan unsur Islam. Oleh itu, mereka telah menyambut beberapa perayaan Kristian disamping menyambut perayaan Islam. Disamping itu juga, sebagai tambahan, mereka juga merayakan perayaan-perayaan Parsi yang masuk ke dalam masyarakat mereka melalui beberapa orang Parsi yang yang mempunyai pengaruh dalam pembentukan asas akidah mereka.[42]

            Berhubung dengan perayaan ini, mereka telah merayakan hari Krismas, perayaan tahun baru, Aid al-Barbarah, al-Ghattas, dan lain-lain. Perayaan-perayaan Parsi pula, mereka merayakan al-Mahrajan dan al-Nairuz. Perayaan al-Nairuz dirayakan pada hari keempat daripada Nisan, iaitu awal tahun Parsi.[43]

Manakala perayaan-perayaan Islam, mereka menyambut Aidil Adha pada 12 Zulhijjah, Aid al-Ghadir yang jatuh pada 18 Zulhijjah, perayaan Aid al-Ghadir al-Thani yang jatuh pada 9 Rabi’ul Awwal, Malam Nisfu Syaaban, Aid al-Firasy iaitu malam dimana cAli telah tidur di tempat tidur Rasulullah SAW menggantikan baginda. Maka tidak syak lagi bahawa golongan ini telah terkesan dengan pengaruh Kristian dan Majusi. Mereka juga merayakan hari Asyura pada 10 Muharram sempena memperingati kesyahidan Hussain.[44]

Selain itu mereka merayakan hari al-Mubahalah ataupun hari al-Kasa’ pada 9 Rabiul Awwal untuk memperingati peristiwa dakwah Nabi SAW kepada orang Nasrani Najran untuk bermubahalah. Mereka juga meraikan hari Dalam pada 9 Rabiul Awwal untuk merayakan pembunuhan Umar bin al-Khattab, kerana mereka gembira dengan pembunuhan itu.[45]



2.4       Mempercayai Penjelmaan Roh

Salah satu akidah mereka yang sesat adalah kepercayaan tentang penjelmaan iaitu Allah menjelma untuk kali terakhir menjadi cAli, sebagaimana Ia pernah menjelma sebelum itu – mengikut akidah mereka – menjadi Habil, Syith, Sam, Ismacil, Harun dan Syamcun. Allah juga telah memilih Rasul bagi setiap pusingan sebagai juru cakap mengikut tertib bermula daripada Adam, kemudian Nuh, Ibrahim, Musa dan cIsa.[46]

            Mereka mempercayai bahawa cAli merupakan tuhan pada batin dan Imam pada zahir. Beliau tidak beranak dan tidak diperanakkan. Beliau juga tidak mati dan tidak dibunuh. Selain itu beliau tidak makan dan tidak minum. Maka mereka beri’tikad bahawa cAli telah memilih Muhammad, dan Muhammad itu berhubung dengan cAli sebagaimana malam yang terpisah daripada siang.[47]

Mereka mempercayai Tanasukh (penjelamaan semula roh) yang mana roh baik itu akan menjelma dan berada di bintang-bintang. Manakala roh yang jahat akan berada di dalam tubuh-tubuh haiwan yang jijik (sebagaimana agama Hindu dan Budha). Sesiapa yang menafikan cAli akan dihukum dengan di jelmakan semula sebagai binatang.
           
Sesungguhnya Syaikh Salman bin cAli bin Hasan  yang hidup pada kurun yang lalu di satu perkampungan bernama al-Darsuniyyah di kawasan Antakiah telah merumuskan akidah kumpulan ini, dengan katanya:

            Ketahuilah wahai anakku, bahawa langit itu merupakan zat cAli bin Abi Talib dan ia merupakan syurga batin selain daripada syurga Ma’wa seperti dijelaskan oleh al-Quran yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Sungai pertama adalah sungai arak yang berwarna merah, dan ia merupakan al-Sayyid al-Isim iaitu Muhammad maka dilihat langit yang hijau. Sungai kedua adalah sungai susu yang berwarna putih, dan ia merupakan penjelmaan pintu – iaitu Salman al-Farisi – maka ia dilihat berwarna putih. Sungai ketiga merupakan sungai madu yang berwarna kuning dan ia adalah malaikat iaitu planet-planet yang dilihat berwarna kuning. Sungai keempat adalah sungai air, kerana kita melihatnya sebagai air...Dan ketahuilah juga bahawa matahari itu merupakan Muhammad, dan setiap nabi menjelma di alam bermula daripada Adam sehingga Muhammad. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khasibi dengan katanya: “Kalau mereka semua berjumlah seratus ribu sekalipun, mereka akan kembali menjadi satu dengan tidak sengaja. Ketahuilah juga bahawa bulan itu adalah Salman al-Farisi, dan planet-planet yang ada merupakan malaikat-malaikat yang diciptakan sebelum terciptanya alam. Mereka semua tergolong dalam tujuh peringkat, yang satu berada lebih atas daripada yang lain. Yang paling besar antara mereka adalah al-Miqdad iaitu Planet Zuhal, dan namanya adalah Mikail. Manakala Abd cAllah bin Rawahah al-Ansari pula adalah planet Marikh dan ia adalah Izraill, malaikat yang mencabut nyawa. Dalil kepada perkara tersebut adalah bintang menjadi lenyap daripada tempatnya apabila dicabut roh alam. Uthman bin Mazcun al-Najasyi pula adalah planet Zuhrah dan namanya adalah malaikat Dardiya’il. Manakala planet Utarid pula adalah Qunbur bin Kadan al-Dausi dan namanya adalah malaikat Silsiya’il.”[48]
           
Kumpulan ini juga mendakwa bahawa cAli telah menjelma menjadi lembu Bani Israil, seperti mana beliau telah menjelma menjadi unta Nabi Salih. Dan mengikut pendapat sebahagian daripada golongan ini, cAli juga telah menjelma menjadi anjing Ashab al-Kahfi.[49]

2.5       Mempercayai Astrologi

Walaupun Nabi Muhammad s.a.w melarang astrologi tetapi golongan Nusairiyyah mempercayainya.[50]
Bunyi guruh adalah suara Saidina Ali dan petir itu adalah ketawanya. Oleh yang demikian, mereka memuliakan awan itu. Mereka juga meyakini bahawa suara guruh di langit adalah suara cAli yang berkata: “Wahai hamba-hambaku, kenalilah aku, dan janganlah kamu meragui aku.”[51]

            Berkenaan dengan sifat Ketuhanan yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, maka cAli juga memiliki sifat demikian. Manakala Hasan dan Husain hanyalah dua orang anaknya pada zahir sahaja.[52]

            Mereka juga berpendapat bahawa cAli tinggal di bulan, dan ada yang berpendapat bahawa bulan itu sendiri adalah cAli. Maka ada antara mereka yang menjadikan bulan sebagai sembahan mereka.  Sesetengah daripada mengatakan bulan adalah cAli, langit adalah cAli dan matahari adalah Muhammad.[53]

            Dari segi pengibadatan, golongan al-Nusairiyyah terbahagi kepada empat iaitu yang menyembah langit, menyembah matahari senja, menyembah bulan dan menyembah angin. Bagi mereka, keempat-empat unsur ini adalah merupakan cAli.[54]

            Mereka juga terpengaruh dengan falsafah Plato dan banyak menerima pendapat-pendapat Plato dalam ajaran mereka. Mereka juga membina asas mazhab mereka atas falsafah Majusi.[55]

2.6       Kerahsiaan

Nusairiah cuba menjadikan ajaran dalaman mereka dan ritual mereka sebagai rahsia. Antara prinsip Nusairiah ialah agama merupakan suatu yang amat rahsia di mana agama itu tidak dapat di ajar kepada kaum wanita kerana wanita itu tidak dapat menjaga rahsia. Manakala bagi kaum lelaki pula, mereka tidak layak melaksanakan tugas agama sehingga mereka mencapai umur 17 tahun.[56]

2.7       Pentafsiran Ajaran Islam

Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mengerjakan solat lima waktu, puasa di bulan ramadhan, zakat dan juga mengerjakan haji adalah di percayai hanya sebagai simbol dan tidak perlu diamalkan. Nusairiah mempunyai dua lagi rukun iaitu jihad dan mentaati Saidina ‘Ali. Mereka tidak mengerjakan solat Jumaat dan tidak mengambil berat soal bersuci.[57]

Mereka juga tidak berpuasa di bulan Ramadhan sebaliknya mereka menyambut perayaan-perayaan Kristian. Mereka juga tidak mengiktiraf ibadat Haji di Makkah. Mereka berkata mengerjakan Haji ke Makkah adalah kufur dan ia adalah amalan menyembah berhala. Mereka juga tidak memiliki masjid umum, bahkan mereka hanya bersolat di rumah sahaja. Hal ini kerana mereka membaca dalam solat bacaan-bacaan khurafat.[58]

Ajaran Islam boleh ditafsirkan secara batin. Oleh yang demikain tidak perlu di ambil secara zahirnya. Namun begitu, syurga dan neraka bagi mereka adalah tanda keduniaan, manakala solat lima waktu merupakan lambang-lambang bagi nama iaitu :

2.7.1    Ali lambang bagi waktu Subuh.

2.7.2    Al-Hassan lambang bagi waktu Zohor.

2.7.3    Al-Hussin lambang bagi waktu Asar.

2.7.4    Muhsin lambang bagi waktu Maghrib.
2.7.5    Fatimah lambang bagi waktu Isyak. [59]

2.8       Menghalalkan Arak

Golongan ini juga mereka menghalalkan arak.[60]

3.         PENDIRIAN AL-NUSAIRIYYAH TERHADAP HADITH DAN SUNNAH

3.1       Mereka tidak menjadikan al-Sunnah sebagai usul dalam pegangan mereka.

3.2       Mereka merendahkan martabat Nabi Muhammad SAW dengan meninggikan martabat Ali.

3.3       Mereka menyalahi hadith Nabi yang melarang menggunakan astrologi.

3.4       Mereka menyelewengkan tatacara ibadat yang diajarkan oleh Sunnah.

3.5       Mereka menolak dan mengkafirkan seluruh para sahabat. Oleh itu, sebarang periwayatan daripada para sahabat adalah tidak diterima.
3.6       Mereka mentafsirkan ajaran Islam dengan tafsiran yang menyeleweng dan tidak mengikuti apa yang telah diwariskan daripada Nabi SAW, para sahabat dan Salaf al-Saleh.

4.         PERBANDINGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DENGAN NUSAIRIYYAH

Golongan Ahli Sunnah wal Jamaah ini timbul sebagai reaksi atau tindak balas terhadap golongan yang telah lama wujud sebelum itu yang menyeleweng dari Iktiqad Islam yang sebenarnya. Ahli Sunnah wal Jamaah adalah golongan yang mengimani semua rukun Islam dan rukun Iman. Ini bermaksud ia amat bertentangan dengan pandangan Nusairiyyah.[61]

Antara prinsip  Ahli Sunnah wal Jamaah ialah mereka meyakini bahawa iman merupakan ucapan hati dan iman dapat betambah dengan melakukan ketaatan dan berkurang dengan melakukan maksiat. Ahli Sunnah wal Jamaah juga mempercayai bahawa setiap kebaikan dan keburukkan itu adalah ketentuan Allah.

Pada umumnya, golongan Ahli Sunnah wal Jamaah mengkafirkan bagi mereka yang mengingkari sifat-sifat Allah. Ucapan yang dianggap kufur terhadap Kitabullah, Sunnah dan Ijma’ ialah perkataan kufur yang di ucapkan secara mutlak sebagaimana hal itu jelas dan nyata dalam pensyariatan. Keimanan itu termasuk hukum-hukum yang datang dari Allah dan Rasulnya. Tidak ada seorang pun yang patut menghukum berdasarkan sangkaan dan hawa nafsu mereka.

Musuh-musuh Islam ada dua golongan iaitu orang-orang kafir dan kaum munafik. Oleh itu, Allah memerintahkan untuk berjihad membanteras kedua-dua golongan tersebut. Kaum munafik yang melakukan bid’ah dengan menyeru hal-hal yang bertentangan dengan Kitabullah dan mereka mencapuradukkan untuk di sebarkan kepada khalayak umum tanpa menjelaskannya kepada mereka.[62]

Antara perbandingannya lagi ialah mengikut Ahli Sunnah wal Jamaah, para ulama Islam bersepakat merumuskan bahawa segala ruh manusia tidak akan berpindah-pindah dari satu tubuh ke satu tubuh yang lain, selepas keluarnya dari tubuh. Menurut ketetapan ini juga, tidak wujud Tanaasukh iaitu penjelmaan ruh yang menjelma dalam tubuh-tubuh tertentu. Mengikut pendapat Ahli Sunnah wal Jamaah juga, sesungguhnya tidak akan wujud seorang Nabi disamping Nabi Muhammad s.a.w dan tidak akan lahir lagi Nabi selepas kelahiran beliau.[63]
Namun begitu, bagi setiap manusia mereka telah di kurniakan akal fikiran dan juga tenaga supaya ia berikhtiar dan berusaha mencari kebaikan dan menjauhkan diri dari segala bahaya dan kejahatan yang menyesatkan. Maka kepercayaan  Ahli Sunnah wal Jamaah ialah setiap yang terjadi itu adalah ketentuan sejak azali lagi. Disamping itu, manusia juga berperanan untuk mengubah nasib mereka kerana mereka telah diberi akal fikiran dan tenaga untuk berfikir dan berusaha bagi mendapat keredhaan Allah.[64]

BIL
AHLI SUNNAH
AL-NUSAIRIYYAH
1
Mengimani semua rukun Islam dan rukun Iman
Tidak mempercayai rukun Islam dan menambah rukun Iman
2
Meyakini bahawa iman merupakan ucapan hati dan iman dapat betambah dengan melakukan ketaatan dan berkurang dengan melakukan maksiat
Mengabaikan persoalan iman dan mencampuradukkan dengan akidah-akidah yang sesat
3
Mempercayai bahawa setiap kebaikan dan keburukkan itu adalah ketentuan Allah
Mempercayai bahawa Ali berkuasa atas segala sesuatu
4
Mengkafirkan bagi mereka yang mengingkari sifat-sifat Allah
Meletakkan sifat Allah kepada Ali
5
Segala ruh manusia tidak akan berpindah-pindah dari satu tubuh ke satu tubuh yang lain
Mempercayai konsep pemindahan roh
6
Tidak wujud Tanaasukh iaitu penjelmaan ruh yang menjelma dalam tubuh-tubuh tertentu
Mempercayai penjelmaan roh
7
Tidak akan wujud seorang Nabi disamping Nabi Muhammad s.a.w dan tidak akan lahir lagi Nabi selepas kelahiran beliau
Wujudnya imam-imam yang mempunyai darjat yang lebih tinggi daripada Nabi

RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.

Abullah Al-Qari Bin Haji Salleh. 1989. Penilaian Semula Syi’ah dari Kacamata As-Sunnah dan Kata Sepakat Ulama’. Kota Bharu: Penerbit Asa Kenali.

Mohd Yusuf Ahmad. 1980. Perkembangan Mazhab-Mazhab Ilmu Kalam Dalam Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Muhammad bin Hammad. 1418H. Al-Mausucah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa-Ahzab al-Mucasirah. cet 3. jil. 1. Riyadh: Dar al-Nadwah al-cAlamiyyah.

Muhammad Qurdi ‘Ali. 1971. Khatit Al-Syam. Jil 5.

Mustafa al-Syakcah. 1996. Islam bila Mazhab. cet. 11. Kaherah: al-Dar al-Misriyyah al-Lubnaniyyah



[1] Muhammad bin Hammad, al-Mausucah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa-Ahzab al-Mucasirah, hlm. 393.
[2] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 325.
[3] en.wikipedia.org/wiki/Alawi, 16 Ogos 2010.
[4] Op.cit., Muhammad bin Hammad, hlm. 393.
[5] en.wikipedia.org/wiki/Alawi, 16 Ogos 2010.
[6] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 322.
[7] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 322-323.
[8] Ibid., hlm. 332.
[9] Ibid.
[10] Ibid., hlm. 323.
[11] Ibid.
[12][12] Muhammad bin Hammad, al-Mausucah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa-Ahzab al-Mucasirah, hlm. 393.
[13] Ibid.
[14] Muhammad bin Hammad, al-Mausucah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa-Ahzab al-Mucasirah, hlm. 393.
[15] Ibid.
[16] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 323.
[17] Ibid.
[18] Ibid., hlm. 324.
[19] Ibid.
[20] Op.cit., Muhammad bin Hammad, hlm. 393.
[21] Op.cit.
[22] Ibid.
[23] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 324.
[24] Ibid., hlm. 325.
[25] Ibid.
[26] Ibid.
[27] Muhammad bin Hammad, al-Mausucah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa-Ahzab al-Mucasirah, hlm. 398.
[28] Ibid., hlm. 397.
[29] Ibid., hlm. 396 – 397.
[30] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 332.
[31] Muhammad bin Hammad, al-Mausucah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa-Ahzab al-Mucasirah, hlm. 395.
[32] Op.cit., Mustafa al-Syakcah, hlm. 334.
[33] Ibid., hlm. 334 – 335.
[34] Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh, Penilaian Semula Syi’ah dari Kacamata As-Sunnah dan Kata Sepakat Ulama’, 1989, hlm. 60.
[35] Muhammad Qurdi ‘Ali, Khatit Al-Syam, 1971, hlm. 260, Jil 5.
[36] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 335 – 336.
[37] Ibid., hlm. 336.
[38] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 337.
[39] Ibid., hlm. 337 – 338.
[40] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 332.
[41] Muhammad bin Hammad, al-Mausucah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa-Ahzab al-Mucasirah, hlm. 395.
[42] Op.cit., Mustafa al-Syakcah, hlm. 332.
[43] Ibid.
[44] Ibid.
[45] Op.cit., Muhammad bin Hammad, hlm. 397.
[46] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 333.
[47] Ibid.
[48] Ibid., hlm. 334.
[49] Ibid., hlm. 335.
[50] Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh. Penilaian Semula Syi’ah dari Kacamata As-Sunnah dan Kata Sepakat Ulama’. 1989. Hal 62.
[51] Mustafa al-Syakcah, Islam bila Mazhab, 1996, cet. 11, hlm. 335.
[52] Ibid.
[53] Ibid.
[54] Ibid.
[55] Muhammad bin Hammad, al-Mausucah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa-Ahzab al-Mucasirah, hlm. 397.
[57] Op.cit., hlm. 395.
[58] Ibid., hlm. 395 – 396.
[59] Abullah Al-Qari Bin Haji Salleh. Penilaian Semula Syi’ah dari Kacamata As-Sunnah dan Kata Sepakat Ulama’. 1989. Hal 61.
[60] Muhammad bin Hammad, al-Mausucah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa-Ahzab al-Mucasirah, hlm. 395.
[61] Mohd Yusuf Ahmad. Perkembangan Mazhab-Mazhab Ilmu Kalam Dalam Islam. 1980. Hal 1.
[62] Muhammad Abdul Hadi Al-Mishri. Manhaj dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. 1994. Hal 129-130.
[63] Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh. Penilaian Semula Syi’ah dari Kacamata As-Sunnah dan Kata Sepakat Ulama’. 1989. Hal 72.
[64] Mohd Yusuf Ahmad. Perkembangan Mazhab-Mazhab Ilmu Kalam Dalam Islam. 1980. Hal 16.