Sunday, November 30, 2008

Rintangan Dlm Perjuangan 5

RINTANGAN PERJUANGAN DALAM KEHIDUPAN PENDAKWAH

Oleh :

Ustaz Fathi Yakan

1.3- Bagaimana kita menghadapi pendengki :

Adapun sikap yang perlu diambil oleh para Da’ie Muslim apabila berhadapan dengan orang yang menaruh perasaan hasad dengki ialah sentiasa bersabar menunaikan solat, berlindung diri dengan Allah Subhanahu Wata’ala dari kejahatan orang lain dan bencana prasangka dan hasad-dengki mereka.

Hendaklah ia menguasai dirinya dari sifat amarah atau membalas dengan berbagai helah dan tipu daya dengan tidak mengikut cara dan akhlak sebagai seorang Mukmin. Kalaulah para Da’ie Muslim rela menurut jejak langkah perbuatan mereka yang buruk itu, nescaya ia akan setanding pula dengan mereka. Dengan demikian jatuhlah nilai akhlak dan agamanya, di samping tercemarlah pula ciri-ciri yang membezakannya, dengan orang-orang jahat. Yang lebih utama dan elok dilakukan umpamanya, ialah menyumbangkan apa-apa yang baik yang dapat disumbangkan kepada masyarakat. Segala penanggungan dan penderitaan serahkanlah sahaja kepada Allah Subhanahu Wata’ala Yang Maha Mengetahui. Tidak ada yang luput dan pengetahuanNya baik di langit maupun di bumi. Allah Subhanahu Wata’ala tidak pernah alpa terhadap perbuatan golongan yang zalim.

Para Pendakwah Islam hendaklah berbeza dari makhluk Allah Subhanahu Wata’ala yang lain dengan ciri akhlak yang baik. Sesungguhnya akhlak yang baik ialah buah dan risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ini bersesuaian dengan apa yang sabda baginda:

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

Maksubnya :” Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlat yang mulia “. ( Diriwayatkan oleh imam Ahmad no.8595 dan di Sahihkan al-Albani dalam sallasilah sahihah no. 45 )

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pada suatu ketika kami duduk bersama Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam, tiba-tiba beliau bersabda:

Sekarang akan muncul seorang lelaki ahli syurga menjenguk kalian.” Tiba-tiba muncullah seorang lelaki Ansar. Pada esok harinya dalam kesempatan yang sama. Rasulullah s.a.w pun berkata seperti itu juga, lantas muncullah orang lelaki yang sama seperti semalam. Pada hari ketiga, Nabi pun berkata demikian juga, lalu muncul lelaki hari pertama tersebut juga. Apabila Rasulullah s.a.w beredar, ‘Abdullah Amar pun mengekori lelaki tersebut. Beliau mengatakan kepadanya: “Saya telah bergaduh dengan bapa saya dan saya bersumpah tidak mahu bersamanya selama tiga hari. Kalau saudara sudi menumpangkan diri saya dalam tempoh itu nescaya saya akan turut saudara pulang.” “Baiklah, saya sudi, “jawab lelaki itu. Anas r.a meriwayatkan bahawa Abdullah menceritakan yang beliau tinggal bersama lelaki tersebut selama tiga malam tetapi tidak pernah melihatnya bangun sembahyang malam.

Cuma apa yang diihatnya ialah apabila lelaki tersebut bertukar kedudukan di tempat tidurnya, ia sentiasa menyebut nama Allah taala dan bertakbir, sehinggalah akhirnya ia bangun menunaikan Solat Fajar. Abdullah menambah: “Aku tidak pernah mendengar lelaki tersebut berkata kecuali dengan perkataan yang baik sahaja.” “Apabila berselang tiga malam maka aku pun hampir-hampir meremehkan amalannya, kata Abdullah. Selepas itu aku pun berkata kepadanya: “Wahai hamba Allah, sebenarnya antara aku dan bapaku tidak ada apa-apa sengketa dan pergaduhan. Cuma aku telah mendengar Rasulullah s.a.w menyebut perihal dirimu sebanyak tiga kali. Beiau berkata: “Sekarang tampil menjengol seorang ahli syurga “. Tiap-tiap kali orang yang muncul itu ialah saudara. Lantaran itulah saya ingin menumpang di rumah saudara untuk melihat apakah amalan saudara supaya dapat saya contohi. Tapi saya tidak nampak saudara melakukan apa-apa amal yang besar” “Apakah yang menyebabkan saudara mencapai martabat seperti yang diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w itu. Jawab lelaki itu: “Tidak ada apa-apa yang saya lakukan selain dari apa yang telah saudara lihat. Kata Abdullah, “Ketika saya berpaling dan beredar lelaki tersebut memanggil saya dan berkata lagi: “Tidak ada apa-apa yang saya lakukan, kecuali, apa yang telah saudara lihat. Cuma saya tidak pernah menyimpan dalam hati saya hasrat menipu orang lslam yang lain atau rasa dengki terhadap sesiapa, lantaran inilah yang telah meningkatkan martabat saya.” ( Diriwayatkan oleh imam Ahmad dengan syarat Bukhari dan Muslim ).

Seorang Da’ie memang amat memerlukan kepada hati yang sihat. Akan tetapi ia hendaklah sentiasa bersikap waspada. Ia memerlukan akhlak yang lurus dengan kesedaran. Ia harus kuat dan tidak dapat ditawan oleh sifat marah sehingga kecundang; melakukan perbuatan yang lumrah dilakukan oleh para juhala’ dan orang yang rendah peribadinya. Ia hendaklah yakin bahawa Allah taala yang Maha Mengetahui segala rahsia akan menguruskan segala-galanya.

Sebagaimana firmanNYA didalam surah al-Mujadilah ayat 7 :

Tidakkah Engkau memikirkan, Bahawa Sesungguhnya Allah mengetahui Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi? tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah Yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah Yang keenamnya, dan tiada Yang kurang dari bilangan itu dan tiada Yang lebih ramai, melainkan ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. kemudian ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa Yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu “.

Begitulah Allah taala sangat mengetahui setiap apa yang terdapat didalam hati seseorang hambanya.

Ringkasan oleh :

Ibnu Mohamad

No comments: