Wednesday, January 13, 2010

Salah Faham Terhadap Ibnu Khuzaimah



              Artikel ini bukanlah sebuah artikel yang akan memperincikan tentang biodata Ibn Khuzaimah dan juga bukunya Sahih Ibn Khuzaimah. Ini kerana ana sedang dalam proses pengumpulan artikel-artikel ringkas biodata beberapa muhaddith lain berserta metodologi buku-buku mereka.

            Artikel ini berfokus pada salah faham terhadap Ibn Khuzaimah – terhadap bukunya dan terhadap dirinya. Salah faham ini berpunca daripada sikap sebahagian penuntut ilmu (terutama berkaitan hadith) yang tidak bersungguh-sungguh mencari maklumat berdasarkan fakta yang diyakini. Sebaliknya mereka suka mendengar cakap-cakap orang atau huraian-huraian ringkas lalu menganggapnya sebagai satu kepercayaan yang perlu dianuti tanpa soal.
            Salah faham yang dimaksudkan ialah tentang diri Ibn Khuzaimah yang dianggap ‘mutasaahil’ iaitu bermudah-mudah dalam menerima hadith. Salah faham ini menggambarkan bahawa Ibn Khuzaimah tidak menapis hadith dengan syarat-syarat yang ketat seperti al-Bukhari atau Muslim lalu beliau dengan mudahnya menerima hadith-hadith yang dhaif atau palsu sebagai sahih.
            Salah faham ini juga melibatkan buku beliau iaitu Sahih Ibn Khuzaimah. Apabila seeorang itu meyakini bahawa Ibn Khuzaimah tidak begitu ketat dalam menapis hadith, sudah pasti buku yang ditulis oleh Ibn Khuzaimah juga akan diragui. Sudah pasti kita sukar menerima buku itu kerana penulisnya telah kita anggap sebagai ‘bermudah-mudah’ atau tidak ketat dalam menapis hadith.
            Sayangnya ini adalah satu salah faham yang besar. Lebih malang lagi ia tetap dianuti dan diyakini oleh sebahagian penuntut ilmu hadith. Sedangkan di antara mereka ada yang langsung tidak pernah membaca walau sehelai muka surat buku Sahih Ibn Khuzaimah! Bahkan jika ditanya kepada mereka tentang masa atau zaman hidupnya Ibn Khuzaimah juga pasti mereka akan terkial-kial menjawabnya! Apatah lagi kalau ditanya tentang guru-gurunya atau muridnya! Kalau dah tak kenal, pasti tak cinta!
            Cukup saya katakan dengan ringkas bahawa Ibn Khuzaimah adalah tokoh hadith salaf yang hebat. Beliau berguru dengan tokoh-tokoh hadith terkemuka seperti Ishaq Ibn Rahuyah/Rahawaih, al-Bukhari dan Muslim. Beliau dianggap oleh muridnya (Ibn Hibban – 354H) sebagai ahli hadith paling hebat pernah ditemuinya. Syarat-syarat penerimaan hadith sahih yang beliau gunakan adalah menyamai manhaj ahli hadith sebelumnya daripada kalangan salaf. Beliau meninggal pada tahun 311H. Tidak cukupkah maklumat ringkas ini untuk para pembaca membayangkan kehebatan beliau? Saya tidak perlu memberikan rujukan dari manakah pendapat ini saya ambil. Kalau tak percaya, boleh rujuk sendiri di dalam buku Sahih Ibn Khuzaimah atau buku-buku tentang metodologi penulisan buku-buku hadith terkemuka.
            Cukup juga saya katakan bahawa buku beliau yang dikenali dengan Sahih Ibn Khuzaimah atau nama sebenar buku itu – Mukhtasor al-Mukhtasor...(panjang lagi namanya seperti yang disebut oleh Ibn Khuzaimah sendiri dalam buku itu), adalah antara buku yang menjadi rujukan utama sepanjang zaman. Di dalamnya dimuatkan hadith-hadith yang dipilih oleh Ibn Khuzaimah bertujuan untuk mengumpulkan hadith-hadith sahih. Beliau juga berkata bahawa beliau sekali-kali tidak akan menyebut hadith yang dhaif tanpa memberitahu kedhaifannya. Itu adalah salah satu daripada banyak ciri metodologi penulisan buku beliau yang tidak diketahui oleh mereka yang asyik memandang rendah kepada beliau dan bukunya itu!
            Tahukah anda bahawa buku Sahih Ibn Khuzaimah yang dicetak dan wujud sehingga ke hari ini hanyalah satu perempat daripada buku yang asal? Allah SWT telah mentaqdirkan buku itu hilang sejak zaman berzaman dan apa yang ada hanyalah satu perempat dan jumlah hadith-hadithnya adalah sekitar 3000 hadith.
            Namun begitu, tahukah anda bahawa dalam sejumlah 3000 hadith yang dikumpulkan dan ditemui dalam buku Sahih Ibn Khuzaimah itu, hanya sekitar 200 - 300 hadith dikritik oleh ulama moden berdasarkan kajian mereka. Di antara mereka ialah Dr. Mustafa al-A’zhami dan juga Syeikh al-Albani. Apa maksud statistik ini? Bagaimanakah kita ingin menterjemahkan keadaan ini? 200 daripada 3000?
            Pertama sekali, ia menggambarkan bahawa jumlah hadith yang dikritik sebagai dhaif oleh ulama moden itu hanyalah sekitar 7%! adakah statistik ini menggambarkan Ibn Khuzaimah seorang yang bermudah-mudah, mutasaahil dan tidak ketat syaratnya? Tidakkah jumlah ini memberi petunjuk bahawa beliau adalah seorang imam dalam hadith? 7%, bukannya 70%!
            Perkara kedua, adakah kita yakin bahawa semua kajian Dr. Al-A’zhami dan Syeikh al-Albani adalah 100% tepat? Mungkin mereka tersilap. Kenapa tidak? Mereka tidak sehebat Ibn Khuzaimah dan mereka hanyalah pengkaji moden dan bukannya mujtahid mutlaq dalam hadith! Walaupun begitu, sekiranya kita menerima kajian mereka bulat-bulat (seperti yang selalu dilakukan oleh ahli hadith Malaysia!), ia masih berada dalam jumlah 7%!
            Perkara ketiga, tahukah anda bahawa Ibn Khuzaimah sendiri mengakui bahawa beliau ada menyebut hadith-hadith yang tidak sahih dalam bukunya itu di atas banyak sebab. Namun begitu, sekadar mengulangi ayat sebelum ini, Ibn Khuzaimah telah menyatakan dengan jelas dan terang di dalam bukunya itu bahawa beliau sama sekali tidak akan menyebut hadith yang dhaif tanpa penjelasan. Apa maksud kata-kata beliau ini? Berikut dihuraikan maksud kata-kata itu:
a)      Ibn Khuzaimah kadangkala menyebutkan hadith dhaif dalam bukunya itu di atas sebab-sebab tertentu. Ia kadangkala disebutkan sekadar memberi peringatan kepada pembaca bukunya, atau sebagai maklumat sampingan. Ia tidak dianggap sahih oleh beliau. Ia berlaku pada beberapa keadaan dan tidaklah menjejaskan kedudukan buku Sahih Ibn Khuzaimah.
b)      Ketika menyebut hadith-hadith dhaif itu, Ibn Khuzaimah akan memberikan isyarat berbentuk penjelasan bahawa hadith itu dhaif. Penjelasan dan isyarat ini berlaku dalam keadaan tersurat bahkan juga dalam keadaan tersirat. Ia perlukan kepada kepakaran seorang ahli hadith untuk membaca dan memahaminya.
c)      Ini bermakna terdapat hadith-hadith yang didhaifkan oleh ulama selepas beliau sebenarnya telah pun beliau sendiri dhaifkan. Maka di manakah kehebatan kita untuk menyatakan Ibn Khuzaimah bermudah-mudah?
 
Secebis maklumat yang saya kemukakan ini bertujuan untuk memberi nasihat kepada segolongan peminat ilmu hadith yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat terutama ketika memberi penilaian terhadap seorang tokoh hadith seperti Ibn Khuzaimah.
Semoga kita dikurniakan Allah SWT sifat rajin dan berhati-hati dalam usaha kita untuk mempelajari ilmu tentang hadith. Semua orang dipersilakan belajar asalkan ada kemampuan dan mengikuti jalan yang betul. Bukan terus melompat dan tiba-tiba berada di atas puncak yang tinggi lantas mampu menilai...ini ok, ini tak ok, buku ini boleh baca, buku ini tak boleh baca, ini sahih, ini dhaif, ini bermudah-mudah, ini keras! Sedarlah wahai insan kerdil di mana kedudukanmu di sisi para imam salaf. Wallahu a’lam.

No comments: