Wednesday, January 13, 2010

Aurat

AURAT LELAKI DAN PEREMPUAN:
SATU JALINAN HUKUM

Oleh : Mohd Azhar bin Abdullah
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)

FASAL 1
KONSEP AURAT MENURUT SYARA’

1.2             Definisi Aurat

Aurat bersasal daripada kalimah Arab iaitu ‘awr yang bermaksud sesuatu yang kurang, aib, dan keji. Orang arab menuturkannya sedemikian kerana keji apabila dilihat atau terbuka. Lanjutan itu, Ibn Manzur1 memberikan maksud aurat setiap sesuatu yang memalukan bila zahir atau dilihat termasuk jika dilihat juga oleh malaikat ataupun jin.2 Pertuturan bahasa Melayu mengertikan aurat sebagai tubuh yang tidak boleh dilihat atau wajib ditutup (menurut hukum syara’), kemaluan dan telanjang.3

Al-Khatib al-Syarbini4 mendefinisikan aurat menurut bidang fiqh pula;

"تُطلق العَوْرَة عَلى مَا يَجِبُ سَتْرَه فى الصّلاة وعلى ما يَحَْرُمُ النَّظَرُ إليه"
Dikehendaki dengan aurat ialah setiap bahagian yang wajib ditutup
 dalam solat dan haram melihat bahagian tersebut.

Memahami pengertian di atas menjelaskan bahawa maksud aurat di sisi pandangan fuqaha’ ialah menggabungkan dua elemen, iaitu;

1. Bahagian wajib ditutup dalam solat
2. Haram melihat bahagian tersebut

1.3             Hukum Dan Hak pelaksanaan Menutup Aurat

Ulama telah bersepakat menutup aurat adalam WAJIB  bagi setiap mukallaf samada mereka lelaki atau wanita mengikut syarat-syarat tertentu. Tiada seorangpun daripada mukallaf terkecuali dari melaksanakan perintah ini. Kewajiban menutup aurat ini bersandarkan al-Quran dan Hadith, antara firman Allah s.w.t;5

Ÿwur šúïÏö7ム£`ßgtFt^ƒÎ žwÎ) $tB tygsß $yg÷YÏB ( tûøóÎŽôØuø9ur £`Ïd̍ßJ胿2 4n?tã £`ÍkÍ5qãŠã_
“Janganlah kamu(Wanita) memperlihatkan perhiasan kamu
 kecuali apa yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka
 bertudung yang menutup belahan leher mereka….”


1.4             Kesiksaan Terhadap Orang Membuka Aurat

Rasulullah s.a.w bersabda6
صِنفان مِن أهل النّار لم أرهما : قَومٌ مَعَهم سِياطٌ كأَذْنابِ البَقَر يَضْرِبُون بها النّاسَ ونِساءٌ كاسِياتٌ عَارِياتٌ مائِلاتٌ رُءُوسُهُنّ كأَسْنِمَةِ البُحْتِ لا يَدخُلْنَ الجنّة ولا يَجِدُ رِيْحَها ليُوجَد مسيرة كذا وكذا
Dua jenis manusia daripada penghuni neraka yang belum aku melihat sebelumnya, (pertama) satu kaum yang mempunyai cemati-cemati seperti ekor-ekor lembu, mereka memukul orang dengannya. (kedua) Wanita-wanita yang berpakaian (tetapi seumpamanya) bertelanjang, yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain (untuk berbuat maksiat), kepala mereka seperti engguh unta yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau syurga padahal bau syurga itu dapat dihidu pada sekian, sekian (tertentu)

Ibn Hajar7 mengklasifikaskan pendedahan aurat daripada dosa-dosa besar yang diperuntukkan hukuman yang keras dan pedih. Bukan sahaja membuka aurat mendapat ancaman daripada Allah di akhirat, bahkan di dunia lagi akan mendapat hukuman.

Di samping itu, pendedahan aurat boleh mencacatkan keperibadian dan keadilan seseorang. Apatah lagi kesalahan tersebut diulang-ulang, pastilah mencalar kedaliannya sebagai saksi di dalam mahkamah Islam.

Pihak berkuasa pula wajib menangani maksiat pendedahan aurat dan jadikannya sebagai urusan kerajaan. Sebagaimana Umar al-Khattab menulis surat  resmi kepada Ubaydah al-Jarrah supaya menghalang perempuan kafir memasuki tempat mandian wanita Islam kerana bimbang timbul fitnah.

1.5      Hikmah Menutup Aurat

Ibn ‘Arabi8  menegaskan perintah penutupan aurat demi ketinggian  dan kemuliaan seseorang itu. Dua qubul bagi lelaki dan wanita tempat lahir manusia dimuliakan. Dari sudut yang lain menutup aurat ketika berhadapan dengan Allah s.w.t menonjolkan penghormatan kepada Allah s.w.t.

Imam al-Sya’rawi10 memberikan huraian yang baik mengenai hikmah menutup aurat dengan mengaitkan penutup aurat sebagai jaminan sosial. Hal tersebut kerana kecantikan seseorang itu terutama wanita adalah terhad dan akan ditelan usia. Fitrah tugas wanita melahirkan anak, mendidik anak mengurus rumah dan sebagainya mempercepatkan kepada proses penuaan wanita berbanding dengan lelaki.

Berdasarkan faktor tadi, wanita yang berkahwin akan hamil, melahirkan anak, menyusukan anak, dan begitulah rutin kehidupan wanita. Dari saat tempoh perkahwinan yang berkekalan itu, bayangkan bagaiman kejujuran, kecantikan, kesetiaan, kejujuran, keseronokan akan terjamin untuk jangka masa puluhan tahun! Sedangkan faktor-faktor masa, persekitaran sentiasa menghakis secara halus dan perlahan kejelitaan seseorang itu.

1.6                   Syarat Menutup Aurat

Dr. Yusuf al-Qardawi11 menggariskan 4 syarat menutup aurat yang wajib ditutup sama ada lelaki atau perempuan iaitu:

1.         Menutup seluruh jasadnya kecuali anggota yang dikecualikan syara’. Umpamanya bagi kaum wanita iaitu had muka dan kedua belah tangan sahaja yang diharuskan untuk didedahkan. Oleh itu lengan kaki, rambut, leher dan dada adalah aurat yang wajib ditutup.

2.         Pakaian itu menutup warna kulit dan sifat anggota yang ditutupnya. Oleh itu ditegah memakai pakaian nipis atau jarang sehingga kelihatan kulit di bawah tutupan kainnya.

3.         Pakaian itu tidak ketat sehingga memperlihatkan anggota tubuhnya. Dengan itu, tidak sah seperti pakaian tebal dengan menutupi warna kulit, tetapi ketat sehingga kelihatan sifat atau bentuk anggotanya.

4.         Pakaian khusus untuk wanita bukan daripada fesyen lelaki begitu juga dengan lelaki. Ini kerana lelaki mempunyai cirri-ciri tersendiri begitu juga wanita.

5.         Benda yang bersih di sisi syara’ walaupun seumpama tanah dan Lumpur. Syarat ini merupakan syarat tambahan kepada pakaian di luar solat. Tetapi jika di dalam solat. Kebersihan pakaian menjadi syarat.

1.7       Sudut Dan Jarak Yang Wajib Ditutup

Syeikh Abu Bakar menegaskan;12

" وسِتْرُ حُرّةِ ولَو صَغِيرةً غَيْرُ وَجْهِ وكَفّيْنِ ظَهْرَهما وبَطْنَهما إلى الكُوْعَيْنِ بِما لا يَصِفُ لَوْنًا أىِّ لون البشرة فى مجلس التخاطب"
Dan penutupan aurat wanita merdeka mesti pun kanak-kanak selain muka dan kedua batin dan zahir tapak tangannya ialah dengan pakaian yang tidak kelihatan warna kulit dalam majlis percakapan.

Kenyataan ini memberikan panduan ketebalan pakaian yang dipakai itu diukur dalam jarak majlis perbualan biasa. Jika dalam jarak lebih kurang 1 atau 2 meter kelihatan warna kulit sehingga seseorang boleh menyifatkan gelap atau putih kulit yang ditutup pakaian tidaklah penutupan itu memenuhi garis yang ditetapkan syara’.

Ulama juga menggariskan sudut-sudut utama yang wajib ditutup ialah daripada pandangan sebelah tepi atau sisi ( kiri, kanan, hadapan, dan belakang ) dan atas sahaja. Kerana itu jika seseorang yang solat di tempat yang tinggi tiba-tiba terlihat pehanya ketika sujud tidak membatalkan solat. Tetapi jika seseorang itu memakai baju yang besar ruang lehernya ketika ruku’ atau sujud terlihat auratnya, batallah solatnya. Begitu juga wanita yang memakai baju berlengan luas kelihatan lengan atau putih ketiaknya, batal solatnya.

FASAL 2
KEDUDUKAN AURAT DALAM
DAN LUAR SOLAT

2.1      Perbandingan Aurat Dalam Dan Luar Solat

Ramai yang keliru kedudukan aurat dalam dua situasi ini. Kebanyakan masyarakat mencampuradukkan dua situasi ini tanpa perbezaan. Padahal ilmuan Islam berbeza pandangan berhubung dengan persoalan ini tentang dua perkara;

Pertama: Jumhur ulama mengatakan menutup aurat sebagai syarat sah solat. Manakala ulama Maliki pula menegaskan penutupan aurat dalam solat adalah berdiri sendiri.13

Kedua: Disiplin menutup aurat luar solat lebih ketat dan berat berbanding ketika dalam solat. Pandangan ini menjadi perkara yang diterima oleh mazhab al-Syafi’iyyah14

2.2      Aurat Lelaki Dan Wanita Ketika Solat

Sepakat ulama menutup aurat adalah wajib meskipun ia solat sendirian dalam bilik berkunci atau gelap13 berdalil firman Allah s.w.t14

* ûÓÍ_t6»tƒ tPyŠ#uä (#räè{ ö/ä3tGt^ƒÎ yZÏã Èe@ä. 7Éfó¡tB (#qè=à2ur (#qç/uŽõ°$#ur Ÿwur (#þqèùÎŽô£è@ 4
¼çm¯RÎ) Ÿw =Ïtä tûüÏùÎŽô£ßJø9$# ÇÌÊÈ
 Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

Ayat di atas dijadikan dalil utama daripada Al-Quran yang mewajibkan menutup aurat ketika solat kerana perkataan al-Zinah bermaksud pakaian15  ‘Atiyyah Saqar menegaskan kewajiban itu kerana menunaikan hak-hak Allah s.w,t16 Bagi memudahkan huraian penulis membincangkan mengikut pecahan di bawah:

2.2.1   Aurat Wanita Dalam Solat

Dr Abd al-Fattah Mahmud Idris17 menyatakan terdapat tiga pendapat ulama mengenai batasan aurat wanita dalam solat;

Pertama: Jumhur ulama termasuk majoriti al-Syafi’iyyah berpendapat semua badan wanita wajib ditutup kecuali muka dan dua tapak tangan zahir dan batin keduanya sehingga pergelangan. Pendapat ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w18
                                                                                                                      
" عن أُمّ سَلمَةَ رضى الله عنها أنها سألَتْ النبىَّ صلى الله عليه وسلم أَتُصَلِّى المَرْأةُ فِى دِرْعٍ وخِمَارٍ وليْسَ عَلَيْها إِذَارٌ؟ فقال:نَعَمْ إذَا كانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّى ظهُورَ قَدَمَيْهَا"
Daripada Umm Salamah r.a bahawa ia bertanya Nabi s.a.w; Adakah boleh seorang wanita solat dengan baju dan kain tudung tanpa memakai kain sarung. Lalu Nabi s.a.w bersabda; (Boleh) Jika baju labuh (menutup semua bahagian atas) dan menutup bahagian zahir kedua kakinya”

‘Atiyyah saqar19 menjelaskan maksud al-Khimar dalam bahasa Arab ialah apa yang menutup kepala. Al-Izar pula ialah apa menutup bahagian bawah badan dan al-Dar’i bermaksud apa yang menutup bahagian atas badan dan kepada wanita digunakan untuk menunjukkan pakaian yang labuh  menutup semua badannya hingga ke kaki.

Kedua : Al-Muzani daripada mazhab Syafie, Sufyan al-Thawri dan lainnya berpendapat aurat wanita di dalam solat ialah semua badannya melainkan muka dan zahir dan batin dua tapak tangan dan kedua kakinya. Pendapat kedua ini menggunakan ayat al-Quran (al-Nur : 31) dengan mengaitkan bahawa antara budaya orang Arab ialah memakai perhiasan cincin di jari-jari kaki mereka.

Tiada kepayahan untuk wanita menutup sekelian tubuhnya kecuali muka. Ini kerana muka sesuatu yang tidak dapat dihindarkan dari membukanya.

2.2.2    Aurat Lelaki Ketika Solat
            Seperti mana wanita , lelaki juga wajib menutup aurat ketika solat. Cuma ulama tidak sepakat penentuan batasan yang wajib ditutup kepada enam pendapat:

                   Pertama : Jumhur ulama daripada Abu Yusof dan Muhammad al-Hanafiyyah, kebanyakan Malikiyyah dan pendapat yang sahih di kalangan ulama Syafie mengatakan aurat lelaki ialah antara pusat dengan lutut. Peha termasuk bahagian aurat tetapi pusat dan lutut tidak aurat. Antara dalil sabda Rasulullah s.a.w,

"عَوْرَةُ المُؤْمِنِ مَا بَيْنَ سُرَّتِه ورُكْبَتِه"
Aurat lelaki ialah antara pusatnya dan lututnya

          Kedua : satu pendapat dari imam al-Syafie, kebanyakan ulama Hanafi mengatakan aurat lelaki bahagian bawah pusat dan hingga ke lutut. Ini bermakna pusat bukanlah aurat lelaki tetapi peha dan lutut termasuk bahagian aurat.

          Ketiga : satu pendapat Imam Hanafi dan satu pendapat Imam Syafie menetapkan aurat lelaki ialah antara pusat dengan lutut. Pandangan ini bermaksud anggota pusat termasuk bahagian aurat yang wajib ditutup tetapi anggota lutut itu sendiri tidak aurat. Ini bermakna bahagian yang wajib ditutup ialah bahagian atas lutut.

          Keempat : Pendapat ini disandarkan kepada pengikut Hanafi iaitu aurat lelaki ialah pusat dan lutut dan bahagian antara pusat dengan lutut. Ini bermaksud kewajiban menutup wajib bermula dari anggota pusat dan lutut itu sendiri.

          Kelima : pendapat kelima ini dipetik daripada Abu Bakar Ibn al-Fadl daripada mazhab Hanafi berpendapat aurat lelaki ialah bermula tempat tumbuh bulu ari-ari hingga ke lutut. Ini bererti bahagian yang tidak tumbuh bulu ari-ari hingga pusat bukan bahagian aurat.

          Keenam : Al-Ata’ berkata aurat lelaki di dalam solat ialah kedua bahagian qubul dan dubur. Manakala peha bukan bahagian aurat.

            Jika disimpulkan daripada pendapat-pendapat di atas, umumnya ulama amat cenderong menetapkan batasan aurat ialah bahagian bawah pusat dengan bahagian atas lutut. Cuma mereka berselisih adakah pusat dengan bahagian atas lutut sebahagian daripada aurat  atau tidak. Perselisihan ini timbul kerana kesukaran menentukan maksud perkataan ( ما بين ) atau “di antara", apakah maksudnya menghendaki; memasukkan anggota yang tersebut atau perkataan “di antara"  itu hanya satu tanda permulaan?!

2.3      Aurat Di Luar Solat

            Penditilan pandangan-pandangan fuqaha terhadap kedudukan aurat lelaki dan perempuan seperti di bawah:

2.3.1   Aurat Lelaki Luar Solat

            Secara umumnya fuqaha menerima had aurat lelaki di luar solat ialah antara pusat hingga lutut.Had ini merupakan had minima kepada seseorang lelaki baligh. Diharuskan melihat kepada bahagian tubuh badan yang lain daripada itu jika aman daripada fitnah.20

2.3.1.1:          Aurat Lelaki Bersama Lelaki.

            Seseorang lelaki baligh wajib menutup aurat antara pusat hingga lutut meskipun ketika bersama lelaki lain samada mempunyai talian keluarga atau sebaliknya. Hal ini berdasarkan umum hadith yang menegah memandang ke arah bahagian aurat21
 
"لا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إلى عَورَة ِالرّجُلِ ولا تَنظُرُ المَرأةُ الى عَورَةِ المَرأة"
Seorang lelaki haram memandang  aurat ke arah seseorang lelaki(lain) dan seorang perempuan haram memandang ke arah aurat wanita lain.

2.3.1.2                       Aurat Lelaki Bersama Wanita Mahram

            Sama seperti kes di atas, para lelaki tidak boleh memandang ke arah aurat serta membuka auratnya ketika bersama-sama dengan mahramnya.. Jumhur berpendapat dari pusat hingga lutut.

            Umumnya pengistilahan mahram merujuk kepada dua bidang iaitu haram dinikahi dan kedua batal wudu’ bila bersentuhan.

            Menyentuh perkara pertama wanita yang haram dinikahi, al-Quran dengan teliti menyebubtkan status hubungan seseorang yang manakah diklasifikasikan mahram iaitu ibu dan anak dan, adik beradik sekandung, seibu, sebapa ibu isteri (mentua) anak tiri (yang disetubuhi ibunya) dan, bekas anak dan adek beradik isteri (al-Nisa’:23)

            Dr Abd al-Karim Zaydan22 memperjelaskan pengertian ajnabiyyah dan mahram dalam soal ini dengan pembahagian ditil.

Maksud ajnabiyyah dengan seseorang lelaki dalam perbahasan ini ialah; tiap-tiap wanita yang halal bagi seorang lelaki mengahwininya serta merta atau pada masa hadapan selepas terbuka penegah yang bersifat sementara itu. Mana-mana wanita yang boleh dikahwini serta-merta, iaitulah tiap-tiap wanita yang tidak diharamkan ke atasnya secara abadi dan tidak sementara. Jika sekiranya diharamkan secara abadi seperti ibu, dan anak perempuannya mereka bukanlah ajnabiyyah tetapi (mereka) adalah mahramnya. Tetapi jika diharamkan atas sifat sementara tidak abadi, iaitu selama wujudnya penegah, (status) wanita ini adalah ajnabiyyah di sisi seorang lelaki kerana kemungkinan mengahwininya apabila hilang penegahannya.

2.3.1.3                      Aurat Lelaki Bersama Wanita Ajnabiyyah

            Pandangan umum yang dipakai oleh kebanyakan umat Islam ketika bersama perempuan ajnabiyyah ialah antara pusat hingga ke lutut. Had ini merupakan had minima dalam situasi biasa yang ketiadaan fitnah. Saya berpendapat termasuk dalam bahagian fitnah yang terlarang jika menyalahi uruf atau adat yang diterima baik oleh sesetengah masyarakat Islam. Contohnya berpakaian ketika hendak ke pejabat, ke masjid, atau keluar rumah, ke pusat membeli belah hendaklah memakai baju bagi menghindar fitnah serta menghormati uruf setempat.

2.3.2  Aurat Wanita Luar Solat

Perbahasan ulama mengenai aurat wanita di luar solat agak teliti dan panjang berbanding lelaki. Mungkin kedudukan aurat wanita itu adalah lebih rumit dan ketat berbanding lelaki kerana kedudukan wanita lebih menarik berbanding lelaki dan perbincangan ulama ke atasnya adalah lebih ditil. Bagi memudahkan perbincangan, penulis telah memecahkan permasalah berikut:

2.3.2.1                      Wanita Bersama Lelaki Ajnabi

            Jumhur berpendapat hukum aurat wanita bersama lelaki ajnabi  di luar solat adalah sama seperti di dalam solat kecuali muka dan kedua belah tapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Selain surah al-Nur, jumhur menerima hadith yang di bawah23

عن عَائِشَةَ رضى الله عنها أنّ أسْمَاءَ بَنتِ أبي بَكْرٍ رضى الله عنهما دَخَلَتْ عَلى رَسُول الله صلى الله عليه وسلم وعَليْها ثِيابٌ رِقاقٌ فأَعْرَضَ عَنْها رسولُ الله صلى الله عليه وسلم وقال لها : "يا أسْماءُ إنّ المرْأةَ إذا بَلغَتْ المَحِيْضَ لمْ يَصلُحْ أنْ يُرَى مِنها إلاّ هذا "وأشَارَ إلى وجْهِهِ وكَفَّيْهِ
Daripada Aisyah r.a bahawa Asma’ puteri Abu Bakar r.a masuk menemui Rasulullah s.a.w dalam keadaan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah s.a.w memalingkan (pandangan) daripadanya seraya berkata: wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita bila baligh tidak patut ia dilihat kecuali ini. Sambil Rasullah menunjukkan kepada kedua muka dan kedua-dua belah tapak tangannya ( Rasulullah ).

            Sementara kebanyakan ulama Syafi’e mengatakan aurat wanita di luar solat ialah sekelian tubuhnya.24 Menunjukkan muka dan kedua belah tapak tangan yang boleh dibuka ketika solat telah menjadi aurat dalam suasana pergaulan yang biasa.

2.3.2.2 Wanita Bersama Lelaki Mahram Dan Perempuan Islam

            Mahram bagi perempuan dalam hal perkahwinan adalah seperti berikut :
1.                  Bapa, datuk dan seterusnya dan ke atas
2.      Bapa mentua, datuk mentua dan ke atas
3.      Anak cucu dan ke bawah
4.      Anak, cucu lelaki suami dan ke bawah
5.      Saudara lelaki sekandung seibu dan sebapa
6.      Anak saudara, cucu saudara lelaki dan kebawah
7.      Anak saudara, cucu saudara lelaki dari saudara perempuan dan ke bawah

Tetapi Allah s.w.t menjelaskan dalam surah al-Nur ayat 31, mengharuskan kaum Hawa memperlihatkan perhiasan zahir mereka atau apa yang kita fahami berpakaian biasa di rumah terhadap suami dan bapa, bapa mentua, anak-anak, anak-anak tiri, adik beradik, anak bagi saudara lelaki, anak bagi saudara perempuan, perempuan Islam, hamba-hamba, orang gaji orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang masih belum mengerti apa itu aurat perempaun. Meskipun surat al-Nur meletakkan suami termasuk dalam hukum mahram, tetapi ia terkecuali daripada hukum umum mahram. Ini kerana seorang isteri harus membuka pakaian tanpa apa-apa tutupan ketika bersama suami.

            Jumhur termasuk pendokong mazhab al-Syafie dan Hanafi berkata aurat ketika bersama mahramnya samalah ketika mereka bersama dengan bersama wanita muslimah iaitu antara pusat hingga lutut dengan syarat aman dari fitnah.

            Al-Syarbini25  pendokong kepada mazhab Syafi’e menyatakan sewaktu bersama mahram atau perempuan muslimah membuka bahagian yang biasa zahir ketika melakukan kerja harian biasa  ( المهنة)Apa yang dimaksudkan dengan aurat ketika bekerja ialah muka, kepala, leher, leher, tangan dan kaki hingga ke lutut (betis).

            Pandangan aliran Maliki sama dengan Hanabaliyyah, tetapi mengaitkan aurat ketika memandang, iaitu leher, kepala, kedua tapak tangan dan kedua kaki. Mereka menisbahkan empat anggota sebagai “Anggota Hujung” dan diharamkan melihat kepada selain dari empat anggota tersebut bukan kerana dirinya aurat ( tetapi kerana fitnah )

2.3.2.2                      Wanita Dengan Perempuan Kafir

            Umumnya Islam tidak melarang umatnya berhubung dengan bukan Islam. Akan tetapi perhubungan tersebut mestilah dalam lingkungan yang telah dibataskan oleh Islam. Antaranya sempadan aurat wanita beriman dengan wanita kafir.

            Pendapat Pertama: Jumhur berpendapat auratnya sama ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi iaitu; muka, kedua tapak tangan hingga pergelangan tangan. Ini         bermakna wanita islam haram membuka aurat di hadapan wanita kafir.

‘Atiyyah Saqar26 menegaskan apa jenis hubungan pun antara wanita Islam dan kafir, hukumnya tetap sama seperti ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi kecuali sebagaimana muka, kedua belah tapak tangan. Ulama berdalilkan dengan kata-kata sahabat iaitu Umar r.a:

وكتَبَ عُمَرُ إلى أبِى عُبَيْدَةَ بْنِ الجَرّاح: أنّه بَلغَنِى أنّ نِساءَ أهْلِ الذّمَّةِ يَدْخُلْن َالحَمّامَاتِ مَعَ نِساءِ المُسْلِمِين فامْنَعْ مِنْ ذلك وحِلَّ دُوْنَه

Dan Umar menulis kepada Abu Ubaidah Al-Jarrah; bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah telah memasuki tempat mandian wanita Islam. Maka tegahlah daripada melakukan sedemikian dan halalkan bagi mereka (perempuan ahli zimmah)

‘Atiyyah Saqar menguatkan lagi dengan kata-kata Ibn Abbas yang mengharamkan aurat perempuan Islam dari dilihat oleh wanita Yahudi atau Kristian. Hal tersembut dibimbangi timbulnya fitnah terhadap wanita Islam.

Pun begitu, Dr Abd al-Fattah27 mengaitkan hukum larangan Islam jika tiada keperluan syara’. Andai di sana terdapatnya seperti keperluan mengubati, perbidanan, menyelamatkan dari lemas atau kebakaran, maka hukumnya harus tanpa khilaf.

Pendapat Kedua: Dr Abd Fattah28 memindahkan pandangan ulama syafi’e mengatakan aurat wanita Islam dan Kafir sama sahaja wanita Islam dengan dengan wanita Islam. Dengan maksud sama sahaja membuka bahagian badan lain kecuali bahagian yang merangsangkan bermula dari pusat hingga ke lutut. (Hukum ini dinyatakan di bawah tajuk wanita Islam sesame lelaki mahram dan perempuan Islam)

2.4      Aurat Wanita Tua

            Satu-satunya ayat yang menyentuh mengenai aurat wanita tua adalah; 30

ßÏãºuqs)ø9$#ur z`ÏB Ïä!$|¡ÏiY9$# ÓÉL»©9$# Ÿw tbqã_ötƒ %[n%s3ÏR }§øŠn=sù  ÆÎgøŠn=tæ îy$oYã_ br& šÆ÷èŸÒtƒ  Æßgt/$uŠÏO uŽöxî ¤M»y_ÎhŽy9tFãB 7puZƒÌÎ/ ( br&ur šÆøÿÏÿ÷ètFó¡o ׎öyz  Æßg©9 3 ª!$#ur ììÏJy ÒOŠÎ=tæ ÇÏÉÈ
Dan perempuan-perempuan tua yang Telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kawin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. dan Allah Maha mendengar lagi Maha Bijaksana.

            Abdullah bin Ibrahim al-Jarrah menegaskan pengkhususan kepada wanita tua menunjukkan wanita muda masih mempunyai keinginan untuk berkahwin tidak termasuk dalam penunjuk hukum atau khitab ayat ini. ‘Atiyyah Saqar31 dalam fatwanya telah menyandarkan kepada pendapat muktabar maksud ( Al-Qawa’id ) atau tua yang dikehendaki dalam ayat di atas ialah:

1.                        Perempaun yang sudah berhenti bekerja dan tinggal di rumah sahaja tanpa melakukan kerja luar kerana sudah tua.
2.                        Perempuan tua yang tidak menarik lagi kerana sangat tua.
3.                        Putus haid dan tiada lagi keinginan untuk berkahwin.

            Al-Qurtubiy meriwayatkan adanya pendapat yang mengharuskan wanita tua membuka rambutnya. Tetapi beliau tidak menyatakan pandangan ini dipindahkan dari siapa. Ini menunjukkan pendapat mengenainya sangat lemah, dengan kata lain pendapat tersebut tidak dapat dijadikan sebagai pegangan kerana sifatnya yang lemah.

            Al-Jassas32  menuqilkan pendapat Abu Bakr bahawa rambut perempuan tua tetap aurat di hadapan lelaki ajnabi. Hukumnya haram seperti melihat aurat wanita dewasa. Beliau beralasan sekiranya wanita tua membuka auratnya ketika solat sama hukumnya seperti wanita dewasa.

            Namun, penulis telah menemui pandangan Dr. Muhammad Rawwas Qal’aji; 33

Harus bagi perempuan tua daripada kalangan wanita duduk di rumah mereka dengan memakai dir’i(baju yang menutup bahagian atas) dan khimar (kain   yang menutup kepala) tanpa mengenakan jilbab(pakaian luar yang longgar) dan lelaki masuk menemui mereka di rumah sedangkan mereka dalam situasi           berpakaian tersebut. Jika zahir daripada mereka bahagian pada adatnya didedahkan tanpa memberatkan seperti lengan, telinga, leher, dan seumpamanya.

Perlu diingatkan bahawa surah al-Nur juga (al-Nur 60) mengaikan hukum di atas dengan syarat tidak mempunyai tujuan jahat iaitu menunjukkan perhiasan. Jika sengaja menonjolkan perhiasan dengan niat menarik perhatian hukumnya tetap haram.

2.5                              Hukum Menutup Aurat Ketika Berkhalwat

            Khalwat di sini bermaksud ketika bersendirian di tempat yang aman daripada pandangan orang lain seperti bilik, gua, semak, dan sebagainya. Ulama berselisih kepada dua pendapat:

            Pertama; Hanafi, Maliki, pendapat kuat daripada al-Syafi’e dan Zahiri mengatakan hukumnya wajib menutup bahagian aurat melainkan keadaan yang tidak dapat dielakkan kecuali membuka bahagian aurat untuk mencapat tujuan harus di sisi syara’ buang air mandi dan sebagainya.34
"قال: احْفَظْ عوْرتَكَ إلّا مِن زوْجِكَ أو ما ملكَتْ يمِينُكَ, قلتُ: فإذا كان القَومُ بعضَهم فى بعض؟ قال: إنْ إسْتَطَعْتَ أنْ لا يُراها أحدٌ فلا يُرِيْنها , قلت:فإذا كان أحدُنا خالِيًا؟ قال: فاللهُ أحَقُّ أنْ يُسْتَحْيا منه من الناس"
Bhazi Ibn Hakim bertanya; lalu Rasulallah bersabda; jagalah auratmu kecuali dengan isterimu atau hambamu. Aku bertanya lagi, jika di dalam khalayak ramai? Rasulallah bersabda, (jagalah) jika aurat engkau mampu bahawa tidak dilihat oleh seseorang maka janganlah mendedahkannya. Aku bertanya lagi, bagaimana jika kami bersendirian? Rasulallah menjawab, Allah yang patut kau malu berbanding manusia.

          Kedua: Sebahagian ulama Hanafi, Syafi’e, dan Maliki mengatakan tidak wajib menutup aurat ketika khalwat. Hukum dalam soal ini sunat sahaja. Ini bermakna meninggalkan perkara sunat menjadi makruh. Tetapi tambah mereka hukum makruh akan hilang jika membukanya untuk keperluan contohnya untuk menyejukkan badan. Ini berdasarkan pendapat mazahab pertama hukumnya sunat bukan wajib.

            Meskipun khilaf fuqaha dalam penentuan penutupan aurat ketika berkhalwat dan hukumnya, tidak wajar kita mengekpolaitasi kekhilafan tersebut tanpa tautan akhlak yang tinggi. Syeikh K.H.M Syafi’I Hadzmi35 pernah dipinta menjawab mengenai hukum mengambil wudu dalam keadaan bogel, beliau menegaskan:

Keperluan meratakan air ketika mandi, tidak sama seperti meratakan air ketika berwuduk. Mandi perlu bertelanjang, sedang berwuduk tidak perlu bertelanjang. Maka berwuduk dengan bertelanjang bulat sampai qubul dan dubur pun tidak ditutup, walaupun di dalam khalwat, tanpa satu keperluan adalah haram. Demikian pula bagi perempuan, tanpa menutup antara pusat hingga lututnya di dalam khalwat tanpa satu keperluan adalah haram. Jadi sekurang-kurangnya berwuduk yang tidak haram bagi lelaki di dalam khalwat adalah memakai kancut dengan pengertian menutup dua kemaluannya iaitu qubul dan dubur.

2.6                        Aurat Mayat dan Anggota Yang Terputus Dari Badan

            Orang mati tidak lagi terbeban dengan taklif syara’ sebagaimana orang yang masih hidup. Islam menjaga kehormatan mayat dengan melakukan perkara asas sebelum dikebumikan. Ini termasuk penjagaan auratnya. Kita diharamkan melihat bahagian aurat yang telah tercerai dari tubuhnya. Ini terdapat dalam hadis36 

" لا تُبْرِزْ فَخِذَك ولا تَنْظُرْإلى فَخِذَ حَىّ ولا مَيِّت"

Jangan dedahkan peha kamu dan jangan kamu lihat peha orang yang masih hidup ataupun yang telah mati”

Wahbah al-Zuhaili37 memetik tiga pndangan mazahab mengenai aurat yang terputus dari badan. Jumhur menegaskan, aurat yang terputus sama dengan semasa berhubung ketika hidup. Maka haram hukumnya melihat kepada aurat yang terputus sama seperti ketika hidupnya.

            Fuqaha Hanbali pula menyatakan bahagian yang terputus tidak lagi dianggap aurat. Ini kerana kehormatan tersebut telah hilang kehormatannya disebabkan terpisah daripada badannya. Abd Rahman al-Hanbali38 memberikan contoh harus melihat kepada rambut perempuan yang terpisah dari jasadnya padahal hukum asal melihatnya ketika hidup adalah haram. Manakala Maliki mengharuskan melihat ketika hidup dan mengharamkannya setelah mati

2.7      Keadaan Darurat Yang Membolehkan Membuka Aurat

            Darurat seperti diancam kemusnahan seperti kematian. Kebuluran dan kesakitan yang bersangatan atau sesuatu yang tidak dapat dielakkan.39  Dalam konteks perbincangan kita, kondisi tertentu yang dianggap kritikal dan memerlukan di sisi syara’ mengharuskan seseorang membuka aurat bagi mencapai maksud yang diingini kerana sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan seperti bersalin, berubat dan jika tiada Dr perempuan dan sebagainya.

            Abd al-Rahman al-Jaziri40 mengutarakan pengecualian menutup aurat seperti perubatan dan sebagainya dan katanya lagi hukumnya samalah sepereti tujuan mandi, buang air dan sebagainya.

            Tidak dinafikan agak sukar untuk menentukan darjah kesukaran tersebut. Penulis pernah bertanyakan soalan kepada Tuan Guru Hj Nuruddin Al-Banjary al-Makiyyi berhubung tahap darurat yang membolehkan membuka aurat dengan soalan Apakah harus bagi seorang perempuan menyelak kainnya bagi mengelakkan basah kainnya ketika mengharungi air?

            Beliau menegaskan ya, harus ia menyelakkan kainnya ketika ia yakin tiada lelaki ajnabi disekitarnya. Tetapi tidak harus jika ada lelaki ajnabi di sekitarnya . Ini kerana risiko tahap kainnya bukan darurat tetapi sekadar hajat. Dan tahap hajat masih belum mampu mengharuskan sesuatu yang haram. Sedangkan yang dimaksudkan darurat itu ialah yang membawa kebinasaan jiwa, harta, agama, akal, kesihatan, dan sebagainya.

2.8.         Kesimpulan

            Tidaklah seseorang itu merasa malu atau bimbang dengan ingatan Nabi s.a.w yang menjelaskan calon neraka yang tidak pernah Baginda lihat adalah mereka yang mendedahkan aurat. Ertinya di sini menutup aurat adalah suatu kewajiban.

            Menutup aurat adalah suatu perkara yang terpuji. Sementara membukanya adalah perkara yang keji dan menggambarkan ketidakteguhan iman seseorang itu.






1 Ibn Manzur, Lisan al-Arab, j. 4, h. 617, Dar al-Fikr, Beirut, 1990, Dr. Ibrahim Anis, al-Mu'jam al-Wasit, j. 2, h. 636, tt.
2 Qalyubi dan Umayrah, Qalyubi wa Umayrah 'ala Syar al-Mahhali,  j. 1, h. 176, Dar Ahya' al-Kutub al-Arabiyyah, Kaherah, tt.
3 Kamus Dewan, h. 74, Edisi Ketiga, Kuala Lumpur, 1996.
4 Al-Katib al-Syarbini, Mughniy al-Muhtaj, j. 1, h. 395, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, 1994, Zakaria al-Ansari, Hasyiyah al-Syarqawi, j. 1, h. 172, tt.
5 Surah al-Nur : 31.
6 Riwayat Muslim; 3971.
7 Ibn Hajar, al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-kaba’ir, j. 1, h. 261, Dar al-Fikr, Beirut, 1964.
8 Lihat, Amir Abd al-Aziz,  Fiqh al-Kitab wa al-Sunnah, h. 512, Dar al-Salam, Kaherah, 1999.
10 al-Sya'rawi, al-Mar’ah wa al-Rijal khusum al-Islam, h. 91 & 92, Dar al-Nadwah, Iskandariyyah, Mesir, tt.
11 Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatawa Mu’asirah,  j. 1, h. 436 & 437,  Dar al-Qalam, Kuwait, 1996.
12 Abu Bakr al-Dimyati, 'I’anah al-Talibin,  j. 1, h. 113, Maktabah Muhammad al-Hady wa Awladih, Thailand, tt.

13 Dr .Abd al-Fattah, Ahkam al-Awrah fi al-Fiqh al-Islami, j. 1, h. 50, Kaherah, 1993.
14  Op.cit, I’anah al-Talibin.
13 Abu Bakr al-Jaza’iri,  Manhaj al-Muslim, h. 155, Dar al-Salam, Madinah, 1994.
14 al-A’raf : 31.
15  Ibn Hajr, Fath al-Bari, j. 1, h. 613. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, 1989.
16 Op.cit, j.  1, h. 689.         
17 Op.Cit, h.  36-46.
18  Abu Dawud : 545.
19 Op.cit.
20 Ab. Rahman al-Juzairiy, Kitab al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah, j. 1, h. 175, Maktabah al-Mujallad al-Arabi, Kaherah, tt.
21 al-Muslim : 513.

22 Dr. Abd al-Karim al-Zaydan, Mufassal fi al-Ahkam al-Mar’ah, j. 3, h. 182 & 183, Mu'assah, Beirut, 2000.
23 Abu Dawud : 3580.

24 Op.cit,  Qalyubiy wa ‘Umayrah, h. 177.
25 Op.cit, Mughniy al-Muhtaj, j. 2, h. 209.
26 Op.cit, Atiyyah Saqar, j. 5, h. 165.
27 Op.cit, Dr Abd al-Fattah, j. 1. h. 540.
28 Ibid, j. 1, h.447 & 448.
30 al-Nur : 60


31 Op.cit, ‘Atiyyah Saqar, j. 4, h. 447 & 448.
32 Al-Jassas, al-Ahkam al-Quran, j. 3, h. 431, tt.
33 Dr. Muhammad Rawwas Qal’aji, Mawsu’ah Fiqh Abdullah bin Abbas, h. 397, 398), Uni. Umm al-Qura, Mekah, tt.
34 al-Tarmiziy : 2693.
35 K.H.M Syafi’i Hadzmi, Soal Jawab Agama, h. 86, 87, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1988.
36 Ahmad : 1184.

37 Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami, j. 1, h. 595, Dar al-Fikr, Beirut, 1989.
38 Abd Rahman al-Hanbali, al-Qawa’id fi al-Fiqh al-Islami, h. 6.
39 Ali bin Muhammad Ali,  Kitab al-Ta’rifat, h. 96, Dar al-Fikr, Beirut, 1966.
40 Op.cit, Abd al-Rahman, h. 1, j. 174.

No comments: