Sunday, December 20, 2009

Kelebihan Para Tentera

            Di Malaysia, bila kita sebutkan tentang ketenteraan sudah pasti ianya menjadi satu pilihan anak muda kita dikalangan lelaki atau wanita untuk menyertainya, tetapi malangnya, ketenteraan ini kurang menjadi minat dikalangan ilmuan khususnya para pelajar di jurusan pengajian Islam. Sedangkan kalau kita melihat dan mengkaji di dalam hadis-hadis, alangkah banyaknya kelebihan yang Allah taala berikan kepada golongan ini.
Di dalam suruhan jihad Allah taala berfirman di dalam surah at-Taubah ayat 36 :
Dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan Ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa “.
Firman Allah taala di dalam surah al-Baqarah ayat 216 :
  Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui “.
Firman Allah taala di dalam surah as-Soff ayat 10 & 11 :
Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui “.
Sabda Rasulullah s.a.w :
قال رجل أي الناس أفضل ؟ يا رسول الله قال مؤمن يجاهد بنفسه وماله في سبيل الله
Maksudnya :” Telah berkata seorang lelaki siapakah manusia yang paling afdhal (baik) wahai Rasulullah s.a.w? sabda baginda : Orang yang beriman yang berjihad dengan diri dan hartanya pada jalan Allah taala “. ( Riwayat Bukhari dan Muslim ).

Kelebihan Kepada Para Tentera
Sabda Rasulullah s.a.w :
رباط يوم في سبيل الله خير من الدنيا وما عليها
Maksudnya :” Berkawal ( di sempadan ) satu hari pada jalan Allah adalah lebih baik daripada dunia dan apa sahaja yang ada padanya “. ( Mutafaqun Alaihi ).
Hadis ini bukan lain, tetapi hanya ingin menunjukan tentang kelebihan yang Allah taala berikan kepada para hambanya yang sanggup berkorban demi Agama. Begitu juga para tentera yang di tugaskan menjaga sempadan Negara hanya demi keselamat sesebuah Negara juga adalah temasuk di dalam hadis tersebut. Banyak lagi hadis yang menyataka tentang kelebihan yang di berikan kepada mereka ini antaranya sabda Rasulullah s.a.w :
رباط يوم وليلة خير من صيام شهر وقيامه وإن مات أجزى عليه عمله الذي كان يعمله وأجري عليه رزقه وأمن الفتان
Maksudnya :” Berjaga satu hari dan satu malam adalah terlebih baik daripada puasa sebulan dan Qiammulai pada malamnya, dan jikalau dia mati akan diberikan kepadanya pahala amalan ( berkawal tersebut ) yang dilakukannya dan juga dikurniakan rezeki padanya dan di selamatkan daripada fitnah “.( Riwayat Muslim ).
Sudah pasti kita semua tahu bahawa pahala puasa tidak pernah dapat ditulis oleh para malaikat, tetapi hanya menulis bahawa seseorang itu puasa sahaja dan pahala puasa tersebut hanya Allah taala sahaja yang dapat menentukan betapa besarnya dan indahnya pahala tersebut, inikan pula para Murabit ( pengawal sempadan ) adalah terlebih baik dariapda puasa sebualan dan Qiammulai pada malamnya. Dan apa yang di maksubkan dengan rezeki di dalam hadis diatas ialah sebagaimana firman Allah taala dalam surah Ali Imran ayat 169 :
Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezki “.
Sabda Rasulullah s.a.w :
كل ميت يختم على عمله إلا الذي مرابطا في سبيل الله فإنه ينمى له عمله إلى يوم القيامة ويأمن من فتنة القبر
Maksudnya :” Setiap kematian akan mengakhirkan amalan kebajikan melainkan pengawal sempadan yang mati pada jalan Allah, maka sesungguhnya berkekalan amalan ( pahala ) sehingga hari Qiamat dan di selamatkan mereka daripada fitnah kubur “.( riwayat Abu Daud dan at-Timizi, berkata at-Tirmizi Hadis Hasan Sahih dan juga di sahihkan oleh al-Albani ).
Sabda Baginda juga :
رباط يوم في سبيل الله خير من ألف يوم فيما سواه من المنازل
Maksudnya :” Berkawal di sempadan sehari pada jalan Allah taala adalah terlebih baik daripada 1000 hari selain daripadanya dirumah-rumah “. ( Riwayat at-Tirmizi, katanya Hadis Hasan Sahih Gharib, al-Albani mengatakan Hadis ini Hasan ).

Kesimpulannya
1-      1 hari berkawal pada jalan Allah adalah lebih baik daripada puasa sebulan dan qiammulai pada sebelah malamnya.
2-      1 hari berkawal pada jalan Allah adalah lebih baik daripada 1000 hari selainnya.
3-      Perniagaan yang di janjikan Allah untuk selamat daripada api Neraka.
4-      Pahala amalannya berkekalan sehingga hari Qiamat.
5-      Perbuatan ini adalah terlebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Isnin

11 Disember 2009

9.00am Kg Pasir Kelang Baru.

Thursday, December 10, 2009

Ikhtilat Menurut Islam

Kertas Kerja Seminar Aurat

PENJELASAN HUKUM AL-IKHTILAT
LELAKI DAN PEREMPUAN KONTEMPORARI

Oleh :
Ust. Mohd Azhar bin Abdullah
Jabatan Dakwah Wal Qiadah
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)

Polimek keruntuhan moral manusia menjadi satu isu yang tidak pernah surut. Kemelut dan keruntuhan ini diwar-warkan oleh agen musuh Islam melalui pelbagai saluran komunikasi yang akhirnya mengheret umat Islam di satu tebing kehancuran pergaulan diantara lelaki dan perempuan tidak dibatasi oleh nilai-nilai Islam yang mereka anuti. Tulisan ini cuba memanufestasikan semula pergaulan dua jantina ini menurut perspektif Islam

Al-IKHTILAT MENURUT
 PERSPEKTIF SYARAK
1.2 Maksud Pergaulan ( al-Ikhtilat )

Pergaulan mengikut pertuturan melayu merujuk perihal bergaul atau bercampur. Dalam hubungan sesame manusia ianya mencakupi aktiviti social seperti perkenalan, berbaik-baik dan bersahabat ( Kamus Dewan : 357 ). Dalam bahasa Arab, perkataan pergaulan sinonim dengan Ikhtilat ( Dr. Ibrahim, Mu`jam al-Wasit :1/250 ). Tetapi tradisi penulisan ulama silam (salaf), mereka amat jarang mengunakan perkataan Ikhtilat untuk menanggapi suatu pertemuan sosial. Mereka biasanya menggunakan perkataan Liqa` ( pertemuan), Musyarakah (penyertaan) dan Ijtima` (perjumpaan) atau untuk mengkhususkan percampuran yang dicela, ulama akan terus memakai istilah Khalwat. Kita kerap kali menemui perkataan Ikhtilat dalam penulisan ulama mutakhir ini.

Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam ( Awdah al-Hijab : 3/52) menta`rifkan Ikhtilat sebagai;
هو إجتماع الرجل بالامرأة ليست بمحرم له اجتماعا يؤدى إلى ريبة, أو اجتماع الرجل بالنساء غير المحارم فى مكان واحد يمكنهم فيه الاتصال فيما بينهم بالنظرة أو الكلام أو البدن أو من غير حائل أو مانع يدفع الريبة والفساد.

Maksudnya :” ialah perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram baginya yang mana perhimpunan tersebut membawa prasangka, atau perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram di satu tempat yang memungkinkan interaksi di kalangan mereka dengan pandang memandang atau isyarat atau perkataan atau jasad tanpa dinding atau tanpa penghalang yang mampu menolak prasangka dan kerosakan “.

Dr. Yusof al-Qardhawi (Fatwa Mu`asirah : 2/279) menegaskan bahawa istilah ikhtilat adalah asing di dalam kamus Islam dan ianya baru di pakai dalam penulisan ulama sekarang. Kemasukkan istilah ikhtilat ini di dalam dunia Islam menunjukan penyertaan pengaruh-pengaruh asing dalam menentukan istilah itu sendiri dan ini ada kaitannya dengan perubahan sosio-budaya umat Islam yang diwarnai corak pergaulan barat.

1.3 Hukum Asal Pergaulan antara Lelaki dan Perempuan.

Hukum asal pergaulan diantara lelaki dan perempuan adalah haram ( Abd al-Karim az-Zaidan, al-Mufassal fi al-Ahkam al-Mar`ah: 3/422 ), tetapi jika diteliti di dalam al-Quran atau as-Sunnah, kita tidak akan menemui dalilnya secara khusus.

Dr. Anisah Ghani ( Batasan Pergaulan :2 ) memetik;

Hukum asal pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabiyyah adalah haram, namum demikian pengharaman ini tidak didasarkan kepada nas yang soreh (jelas), kerana ketiadaan nas yang soreh mengenai kes ini. Pengharamannya hanya diasaskan kepada hukum yang lain yang asalnya dikhususkan bagi kaum wanita, kerana di dalam hukum-hakam terbabit terdapat unsure-unsur pergaulan diantara wanita dan lelaki “.

Namun kita dapat mengali hukum mengenai pergaulan diantara lelaki dan perempuan daripada dalil-dalil yang banyak sejauh yang bersangkutan dengan hubungan kedua jantina ini;

1.3.1 Larangan Musafir dan Berkhalwat

Rasulullah s.a.w bersabda;

لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم ولا يدخل عليها رجل إلا ومعها محرم

Maksudnya :” Janganlah Musafir seorang wanita melainkan bersamanya mahram dan janganlah masuk seorang lelaki ( dalam rumahnya ) melainkan bersama mahramnya “. ( Mutafaqun Alaihi ).

Hadith di atas memberi petunjuk yang jelas kepada larangan pergaulan lelaki dan perempuan iaitu menegah mana-mana wanita yang musafir lebih daripada dua marhalah kecuali ditemani oleh mahramnya. Kemudian Rasulullah s.a.w menyambung pula hukum larangan musafir itu dengan larangan berkhalwat atau masuk ke dalam rumah seorang wanita tanpa mahramnya.


1.3.2 Tiada Galakan Solat Berjamaah di Masjid

Rasulullah s.a.w bersabda;

لا تمنعوا النساء أن يخرجن إلى المساجد وبيوتهن خير لهن

Maksudnya :” Janganlah kamu menegah perempuan keluar untuk pergi ke masjid dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka “. ( Sahih, Riwayat Ahmad ).

Hadith di atas menunjukan dengan jelas perkaitan sebab-musabab wanita tidak di galakkan untuk hadir ke masjid atau untuk turut serta berjamaah bersama kaum lelaki dan tidaklah boleh seseorang menghalang wanita jika mereka ingin pergi ke masjid dengan nas yang jelas daripada hadis di atas ini, dan bagi yang telah berkahwin mereka hendaklah meminta keizinan daripada suami terlebih dahulu untuk perkara tersebut. Dan tempat yang terbaik bagi wanita solat adalah dirumah rumah mereka.

1.3.3 Pengecualian Solat Jumaat

Antara hujah para Fuqaha` memetik sumber pengharaman pergaulan ini ialah pengecualian wanita merdeka daripada solat jumaat. Sabda Rasulullah s.a.w :

الجمعة حق واجب على كل مسلم في جماعة إلا أربعة عبد مملوك أو امرأة أو صبي أو مريض

Maksudnya :” Solat Jumaat adalah hak yang diwajibkan keatas setiap orang Islam kecuali empat : Hamba sahaya, wanita, kanak-kanak dan orang yang sakit “. ( Sahih, Riwayat Abu Daud ).

Imam An-Nawawi mengulas tentang hadis ini ( Majmu` : 4/350 ) :

Makruh jika kehadiran wanita mengundang fitnah dan kehadirannya amat tidak digalakkan jika ianya masih muda dan menarik perhatian. Tetapi, jika unsur yang bolah menarik kepada fitnah itu dalam darjah yang berkurangan seperti perempuan tua, maka di sunatkan baginya untuk hadir sama “.

1.3.4 Larangan Berjalan Beriringan

Hukum pergaulan antara lelaki dan wanita juga dapat dipetik daripada larangan Rasulullah s.a.w terhadap perbuatan berjalan di jalanan secara beriringan. Sabda Rasulullah s.a.w :

أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول وهو خارج من المسجد فاختلط الرجال مع النساء في الطريق فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم للنساء " استأخرن فإنه ليس لكن أن تحققن ( أي ليس لكن أن تسرن وسطها ) الطريق عليكن بحافات الطريق

Maksudnya :” Bahawa sesungguhnyan ia mendengar daripada Rasulullah s.a.w bersabda sedang ia keluar dari masjid. Lalu bergaul lelaki dan wanita di jalanan, maka sabda Rasulullah s.a.w bersabda kepada golongan wanita : kemudiankanlah ( jarak kedudukan ) kamu. Sesungguhnya bukanlah untuk kamu ( wanita ) di tengah-tengah jalan, bagi kamu ialah di bahagian bahu-bahu jalan “. ( Hasan, Riwayat Abu Daud ).

Perintah Rasulullah s.a.w kepada golongan wanita supaya memilih bahu-bahu dan tepi jalan dan jangan berjalan dibahagian tengah jalan supaya tidak bercampur dengan kaum lelaki adalah merupakan isyarat haramnya percampuran lelaki dengan perempuan ketika tiada hajat dan keperluan.

Ringkasanya, meskipun tidak terdapat nas yang jelas mengenainya, ini tidak bermakna hukumnya di abaikan oleh Syarak. Hal ini juga memberi ingatan kaedah al-Asl fi asyya` mubah ( asal kepada sesuatu adalah harus ) tidak boleh digunakan di dalam masalah ini kerana perkaitan dalil yang dijadikan hujah menunjukan kepada pengharaman.

Namum Abdul al-Halim Abu al-Syaaqah ( Tahrir al-Mar`ah : 3/47,48 ) telah mengemukakan hujah-hujah bagi mengenepikan pendapat para Fuqaha` yang mengatakan bahawa hukum asalnya adalah Haram. Beliau menegaskan bahawa hukum asal pergaulan adalah Harus sahaja :

jika kita berpendapat hukum pergaulan adalah harus ketika keperluan sahaja, maka kita sebenarnya mengolongkan perkara ini sama dengan perkara-perkara yang diharuskan ketika darurat. Hal ini, suatu ketetapan yang tidak bersandarkan kepada dalil daripada kitab mahupun sunnah “.

Di samping itu beliau juga menerapkan rasa bimbang mengenai bahaya hukum haram dalam masalah ini akan menyempitkan urusan yang asalnya diluaskan. Sedangkan konsep perkara harus ialah memberi kemudahan kepada mukhallaf melakukan aktiviti tersebut bila-bila masa dengan lapang tanpa ikatan keperluan syarak. Tambahan pula, sesuatu yang harus tidak di soal pelakunya akan sebab melakukannya atau meninggalkannya.

1.4 Maksud Khalwat dan Hukumnya

Sebelum dikupas batasan pergaulan, penulis ingin menyentuh terlebih dahulu situasi khalwat serta hukumnya supaya kita benar-benar memahami skop pergaulan seperti yang dimaksudkan penulis. Khalwat dari sudut bahasa ialah bersendiri. Istilahnya adalah lelaki bersama wanita ajnabiyyah di suatu tempat yang tertutup dari pandangan. ( `Atiyyah Saqar, Ahsan al-Kalam fi Fatawa :3/336,337 ).

Walaupun maksud kepada istilah yang diberikan oleh ulama sudah cukup dijadikan fakta untuk memahami situasi khalwat, tetapi memanjangkan pengistiharannya dalam konteks kepelbagaian bentuk-bentuknya tidak mudah diduga. ( `Atiyyah Saqar : Ibid ) merakamkan pergaulan boleh dianggap berlaku khalwat seperti berikut :

1-      Keadaan berdua-duaan antara seorang lelaki dan seorang wanita sahaja. Hukum dalam masalah ini ialah haram. Jika antara keduanya sah berkahwin, tetapi jika lelaki tersebut adalah suami atau mahramnya hukumnya adalah harus.
2-      Berlangsung dikalangan tiga orang. Situasi ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama khalwat tersebut berlaku diantara seorang wanita dan dua lelaki, hukum masalah ini adalah haram kecuali jika salah satu daripada keduanya adalah mahram kepada wanita tersebut.
Situasi kedua khalwat berbentuk antara dua perempuan dengan seorang lelaki, hukum khalwat dalam situasi kedua ini juga adalah harus jika lelaki tersebut mahram atau suami kepada salah seorang perempuan tersebut.
Hal ini juga menjadi haram jika dilakukan bertujuan maksiat dan dosa seperti dating dikalangan muda-mudi.
Tetapi seandainya lelaki itu ajnabi kepada keduanya, `Ayiyyah Saqar memindahkan perkara ini kepada khilaf dikalangan ulama mengenai penetapan hukum ini. Satu pendapat mengharamkan dan satu pendapat mengharuskan dan beliau menyandarkan hukum harus satu lelaki dengan dua wanita ajnabiyyah berkhalwat kepada an-Nawawi dan al-Syarbini daripada aliran mazhab syafie.
3-      Pertemuan belangsung di tempat yang tertutup tetapi terdapat 4 orang atau lebih sama ada bilangan sama banyak atau sebaliknya. Hukum dalam masalah ini adalah harus jika aman daripada fitnah.
4-      Sebahagian ulama berpendapat hukumnya makruh seorang lelaki muda berkhalwat dengan perempuan yang sangat tua. Begitu juga terdapat perselisihan pada hukum perempuan muda berkhalwat dengan lelaki yang sangat tua, iaitu sebahagian ulama berpendapat hukumnya adalah haram, manakala sebahagian lagi berpendapat hukumnya adalah makruh.

p/s : Kertas kerja ini telah ana edit dan takhrij hukumnya dan juga ana buat sedikit pembetulan dan penambahan daripada kertas kerja asal

Sunday, November 22, 2009

Berbakti kepada kedua IbuBapa

Siri 1
عن عبد الله بن مسعود رضى الله عنه قال : سألت النبي صلى الله عليه وسلم : أى العمل أحب إلى الله تعالى ؟ قال : الصلاة على وقتها, ثم أى ؟ قال : بر الوالدين, ثم أى ؟ قال : الجهاد فى سبيل الله. قال : حدثني بهن رسول الله صلى الله عليه وسلم ولو استزدته لزادني.
Maksubnya :” Daripada Abdullah bin Mas`ud r.a berkata : aku tanyakan kepada Nabi s.a.w : apakah amalan yang paling disukai oleh Allah taala? Sabdanya : Solat pada waktunya, Kemudian apa? Sabdanya : Berbuat baik kepada ibu bapa, Kemudian apa? Sabdanya : Jihad pada jalan Allah. Katanya : Rasulullah s.a.w memberitahu kepada aku perkara itu, jikalau aku tanyakan lagi, pasti Rasulullah s.a.w akan memberitahunya “.

Makna kalimah
( أي العمل أحب ) Apakah amalan yang disukai oleh Allah taala – di dalam riwayat lain “apakah amalan yang paling afdhal” ( أي العمل أفضل ) juga di dalam riwayat lain “ apakah amalan yang mendekatkan kita kepada syurga ( أي العمل أقرب إلى الجنة ) , lafaz-lafaz pada riwayat ini berbeza-beza tetapi mempunyai maksub yang sama iaitu apabila amalan itu afdhal daripada selainnya maka amalan itu disukai oleh Allah taala, dan apabila disukai oleh Allah taala maka sudah tentu amalan itu mendekatkan kita kepada syurga.
( بر الوالدين ) berbuat baik kepada ibu bapa – dibaca dengan baris bawahkan huruf Ba (ب) iaitu : berbuat Ihsan kepada keduanya dengan menunaikan hak-hak mereka dan meninggalkan penderhakaan kepada mereka. Manakala makna Ihsan ialah berbuat baik kepada mereka secara zahir dan batin. Iaitu tidak memadai dengan perbuatan luaran sahaja baik, tetapi hati membencinya.
( الجهاد فى سبيل الله ) Berjihad pada jalan Allah taala- pada makna syarak ialah gambaran kita memerangi golongan kafir bertujuan untuk menyebarkan agama Allah taala iaitu Islam dan makna ( سبيل ) merupakan kalimah yang umum dan pada makna ialah ( الطريق ) jalan. Maka semua amalan yang menurut sunnah dan ikhlas yang mana diniatkan oleh pembuatnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah taala.
Dan jihad pada bahasa ialah memerah segala kekuatan ( بزل قوة ), iaitu untuk berjihad kita perlu mengerah segala kekuatan dari sudut harta, tenaga, tubuh badan dan juga nyawa, maka inilah sebenar makna jihad pada Islam.
( ولو استزدته لزادني ) Kalaulah aku minta tambah, pasti Rasulullah s.a.w akan menambahnya, iaitu kalaulah Ibnu Mas`ud bertanyakan lagi soalan daripada 3 soalan kepada 4 atau banyak lagi, sudah pasti Rasulullah s.a.w akan menjawab soalan tersebut.

Syarah Hadis
1- Ketinggian Peribadi Sahabat r.a
Kita tidak akan pernah mendengan di dalam dunia ini golongan yang mencari-cari dan bersungguh-sungguh pada mencari kebaikan lebih daripada Sahabat Rasulullah s.a.w, dan sesungguhnya mereka mengetahui bahawa ilmu syariat adalah asas kepada segala kebaikan maka mereka mencarinya dan berusaha mengamalkan apa yang mereka dengar daripada Rasulullah s.a.w. Mereka adalah setahu-tahu manusia tentang kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan apa yang kurang jelas kepada mereka, maka mereka akan bertanya kepada Baginda.
Dan adalah mereka berusaha untuk melakukan amalan lebih daripada usaha mereka untuk mencari ilmu, ini adalah kerana tingginya keinginnan mereka kepada Pahala dan balasan yang baik daripada Allah taala. Mereka bertanyakan perkara tersebut adalah bertujuan untuk menambah lagi amalan mereka.
Adakah berbeza lafaz dan makna diantara hadis-hadis tersebut ?
Daripada Abu Musa :
أي أفضل الإسلام ؟ قال : من سلم المسلمون من لسانه ويده.
Maksudnya :” Apakah sebaik-baik ajaran Islam? Sabdanya : Sesiapa yang terselamat daripadanya kejahatan lidah dan tangannnya “.
Daripada Abu Zar :
أي العمل أفضل ؟ قال : إيمان بالله ورسوله, قيل : ثم ماذا ؟ قال : الجهاد فى سبيل الله, قيل : ثم ماذا ؟ قال : حج مبرور.
Maksudnya :” Apakah amalah yang paling baik? Sabdanya : Beriman kepada Allah dan RasulNYA, selepas itu apa? Sabdanya : berjihad pada jalan Allah, selepas itu apa? Sabdanya : Haji Mabrur “.
Dalam riwayat yang lain :
سئل أي الإسلام خير؟ قال : تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف
Maksudnya :” Ditanyakan apakah sebaik-baik ajaran Islam? Sabdanya : kamu memberi makanan dan member salam kepada orang yang kamu kenal dan tidak kenal “.
Dan ditanyakan oleh Ibnu Mas`ud sebagaimana matan hadis pertama di dalam perbincangan kita dalam bab ini.
Maka jawapan bagi soalan di atas adalah seperti berikut :-
i-                    Samada berbeza hal keadaan penanya soalan, dan di beritahu kepada setiap yang bertanya apa yang di kehendakinya.
ii-                  Atau samada berbeza waktu yang bertanya, kadang-kadang amalan itu afdhal pada waktu itu dan tidak afdhal pada waktu yang lain.
iii-                Atau seafdhal-afdhal amalan bukan pada bab ini tetapi pada ketentuan kalimah min ( من ) yang mana menunjukkan kepada 2 perkara :
1-      Ketinggian peribadi para sahabat dan besarnya keinginan mereka kepada syurga, maka mereka melakukan segala amalan yang diperintahkan dan istiqamah melakukannya dan mereka bertanya tentang amalan yang paling baik untuk menambahkan lagi amalan mereka.
2-      Ataupun perbuatan pertanyaan itu boleh dikatakan manfaatnya kembali kepada yang bertanya dan selainnya.
Manakala soalan tentang yang tidak ada kepentingan Ilmu padanya dan juga pegangan seperti bertanya tentang jenis pokok yang buahnya dimakan oleh nabi Adam a.s dan juga warna anjin ashabul Kahfi dan sebagainya.
2- Apakah Rahsia Tertib Amalan Di Dalam Hadis ?
Rasulullah s.a.w menyebut solat pertama adalah kerana Hak yang khusus kepada Allah taala, dan hak Allah adalah hak yang terutama diantara hak-hak yang lain, kerana demikian adalah perkara yang lazim ( wajib ) bagi Mukhalaf sepanjang kehidupannya dan tidak meninggalkannya melainkan mereka yang diberi keuzuran untuk meninggalkannya seperti Haid, Nifas, Wiladah dan selainnya. Dan juga manfaat solat akan kembali kepada orang yang menunaikannya.
Manakala berbuat baik kepada ibu bapa kedua adalah kerana mereka adalah sebabnya ada kita atas dunia ini dan hak keduanya adalah selepas hak Allah dan memberi manfaat kepada yang melaksanakannya dan juga kedua ibu bapa kerana dengan berbuat baik kepada mereka mendapat balasan baik dan pahala.
Manakala Jihad terakhir adalah kerana jihad terhenti pada keizinan kedua ibu bapa jikalau ia merupakan fardhu kifayyah dan jika fardhu Ain maka wajib dia keluar berjihad walaupun tanpa izin keduanya dan kembali manfaat kepada seluruh umat Islam.

3- Hukum
Berbuat Ihsan dan baik kepada kedua ibu bapa adalah wajib atas anak-anak, Allah mewajibkannya sebagaimana mewajibkan solat, puasa, zakat, haji dan lain-lainnya walaupun mereka berdua kafir.
Firman Allah taala :
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya :” Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, Maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik “. Surah Luqman 15.
Dan hadis Asma` binti Abu Bakar :
أن أسماء بنت أبي بكر سألت النبي صلى الله عليه وسلم : أفأصل أمي ؟ قال : نعم صل أمك. وكانت أمها مشركة
Maksudnya :” Bahawa sesungguhnya Asma binti Abu Bakar bertanya kepada Nabi s.a.w : Apakah aku perlu sambung (silaturahim) dengan ibuku? Sabda Nabi s.a.w : Ye, sambunglah silaturahim dengan Ibumu. Dan adalah ibunya itu musyrik “.
Firman Allah taala :
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya :” Dan sembahlah Allah dan jangan kamu syirikanNYa dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa “. Surah an-Nisa` 36.



Tuesday, November 17, 2009

Muqadimah Takhrij Hadis

Pengenala

Takhrij pada sudut bahasa ialah jelas dan kembali.
Manakala dari sudut Istilah Ulama-ulama hadis ialah :” gambaran kedudukan hadis di dalam sumber rujukan asli hadis yang mana mereka keluarkan dengan sanad mereka kemudian menerangkan martabat hadis ketika diperlukan “.

Faedah Takhrij Hadis


Diantara faedah-faedah kita mempelajari ilmu Takhrij hadis ialah :-
1- Supaya kita mengetahu sumber asal Kitab Hadis.
2- Mengetahui tentang keadaan perawi hadis dan penerangan keadaan mereka di dalam Jarh Wa Ta`Dil.
3- Mengumpulkan keseluruhan sanad hadis berdasarkan jalanny samada Mutawatir, Masyhur, A`ziz, atau Gharib.
4- Mengentahui darjat hadis (kedudukan hadis) yang dhaif samada diterima atau di tolak hadis itu.
5- Menerangkan makna Gharib.
6- Bagaimana di hokum dengan Syuzuz.
7- Menerangkan keraguan dan kesalahan perawi.

Cara-Cara Takhrij Hadis


1- Mengetahui perawi hadis dikalangan sahabat.
2- Mengetahui awal matan hadis.
3- Mengetahui kalimah yang menjadi sumber hadis ( kalimah yang ganjil).
4- Mengetahui tajuk-tajuk hadis.
5- Penelitian pada keadaan hadis pada sanad dan matan.


Sejarahnya


Peringkat Pertama :


Semenjak zaman Rasulullah s.a.w sehingga kurun ke-4 hijran, tiada keperluan kepada kitab takhrij pada zaman ini disebabkan kitab-kitab hadis kebanyakkannya tidak disusun di dalam suatu kitab dan mudahnya mereka mendapatkan hadis dan kekuatan mereka di dalam mengetahui sumber sesuatu hadis.

Peringkat Ke-2 :


Pertengahan kurun ke-5 hijrah, telah di mulakan pembukuan kitab-kitab hadis secara rasmi oleh banyak ulama dan kemampuan mereka mengetahui hadis-hadis yang menjadi hujah penulis kitab seperti di dalam bidang Syariah, Usul Feqh, Tafsir, dan sejarah kerana mudahnya mereka untuk berhujah dengannya, maka bermulalah penulisan Takhrij secara terang dan yang palaing awal yang di tulis di dalam bab ini ialah Kitab oleh Khatib al-Bagdadi.

Peringkat Ke-3 :


Maka kekallah penggunaan kitab takhrij ini sehingga zaman kita sekarang ini.

Peringkat Ke-4 :


Zaman sekarang telah munculnya teknologi yang memudahkan lagi kita di dalam kaedah pentakhrijan hadis dengan munculnya program-program elektronik seperti Mausuah hadis as-Syarif, al-Mausuat az-Zahabiah, Maktabah as-Syamilah dan lain-lainnya.

Peringkat Ke-5


Munculnya pada zaman ini pengarang-pengarang yang membuat kaedah-kaedah untuk mentakhrij hadis yang mana mereka menerangkan Usul Takhrij dan jalan-jalannya (cara-cara).


Contoh Kitab :


1- Usul at-Takhrij wa Dirasat al-Asanid oleh Syeikh Mahmood at-Tohan.
2- Toriqul Takhrij Hadis Rasulullah s.a.w oleh Dr. al-Mahdi Abdul al-Qadir.
3- Kasyful al-Litha An Asror Takhrij Ahadis Sayyidul al-Anam oleh Abdul al-Maujud Muhammad.
4- al-Wadih fi Fann at-Takhrij wa Dirasat al-Asanid oleh Dr Sulton al-A`kayilah dan Sahabatnya.
5- Kaifa Nadrusu Ilmu Takhrij al-Hadis oleh Dr Hamzah al-Malikari dan Dr Sulton A`kiyilah.
6- Takhrij Hadis an-Nabawi oleh Dr Abdul al-Ghani at-Tamimi.
7- Ilmu Takhrij al-Ahadis oleh Muhammad Mahmood al-Bakari.
8- Manhajul Dirasat al-Asanid wa al-Hukmu Alaiha oleh Dr Walid al-A`ni.
9- Taisiru Dirasat al-Asanid Lilmubtadie oleh Amru Abdul an-Naim Salim.
10- Muqadimah pada banyak kitab yang di Takhrij semasa.

Sumber-Sumber Kitab Hadis


Di dalam bahagian ini ulama telah bahagikan kepada tiga bahagian iaitu :


1- Sumber Asli Hadis


Iaitu Kitab Hadis yang mana pengarangnya telah megumpulkan dengan cara mereka bertalaqi kepada guru-guru mereka seperti Kitab Soheh, Sunnan, Muwata`, Mustadrak, Musonaf dan sebahagian kitab tafsir seperti Tafsir at-Tobari, kitab Usul Feqh seperti ar-Risalah oleh Imam as-Syafie dan lain-lainnya yang mana sanad hadis di dalam kitabnya adalah daripada pengarang sehingga Rasulullah s.a.w.


2- Sumber Hadis hampir Asli


Iaitu kitab-kitab yang menaqalkan hadis-hadis dengan sanad yang di dalam kitab Sumber asal bagi hadis, contohnya Riyadus as-Solihin, Tafsir Ibnu Kathir, syarah-syarah hadis dan secara mudahnya semua kitab yang mengambil riwayat hadis daripada sumber pertama. Ia juga mempunyai sanadnya sendiri tetapi melalui sumber pertama atau tidak mempunyai sanad daripada sumber pertama itu.


3- Sumber Hadis Tidak Asli


Iaitu penyusunan hadis yang tidak termasuk sumber pertama dan kedua. Kebanyakan kitab-kitab di dalam bahagian ini adala temasuk kitab-kitab seperti feqh semasa, usul feqh dan lain-lainnya.


Rujukan


1- Usul at-Takhrij wa Dirasat al-Asanid oleh Syeikh Mahmood at-Tohan m/s 7.
2- Toriqul Takhrij Hadis Rasulullah s.a.w oleh Dr. al-Mahdi Abdul al-Qadir m/s 9.
3- al-Wadih fi Fann at-Takhrij wa Dirasat al-Asanid oleh Dr Sulton al-A`kayilah dan Sahabatnya m/s 13.

Tsa’labah : Ahli Badar Yang Teraniaya

  
Cerita tentang Tsa’labah seringkali kita dengar terutamanya bila isu tentang zakat dibincang. Kisah ini diceritakan dalam kelas-kelas pengajian, ceramah ugama malah juga di mimbar-mimbar khutbah Jumaat.

Ceritanya begini:

Tsa’labah ialah seorang muslim yang taat di mana beliau tidak pernah meninggalkan sembahyang jemaah lima waktu bersama nabi s.a.w.  Beliau amat miskin sehingga terpaksa balik  ke rumah lebih awal untuk berkongsi kain dengan isterinya. Lantaran kemiskinan yang melampau, beliau meminta supaya nabi s.a.w. mendoakannya supaya diberi kekayaan. Nabi s.a.w. pada mulanya enggan mendoakan Tsa’labah atas alasan kekayaan akan mejadi fitnah kepadanya , tetapi setelah didesak, baginda s.a.w. pun mendoakannya. Berkat doa nabi s.a.w., kambing yang dipelihara Tsa’labah membiak dengan banyak dan cepat.

Kesibukan menguruskan ternakannya  menyebabkan beliau mulai  cuai dalam ibadatnya. Pada mulanya beliau tertinggal satu dua sembahyang jemaah tetapi akhirnya beliau lansung tidak berjemaah. Untuk mengembangkan ternakannya  beliau berpindah ke kawasan pendalaman dan hubungannya dengan muslimin yang lain terputus.

Nabi s.a.w. menghantar utusan untuk mengutip zakat tetapi beliau enggan mengeluarkan zakat malah memperlekehkan kewajipan itu. Sebelum kewafatan nabi s.a.w. beliau merasa insaf dan bertaubat serta ingin mengeluarkan zakat  kepada nabi s.a.w. tetapi ditolak. Selepas kewafatan nabi s.a.w. beliau berjumpa dengan Khalifah Abu Bakar r.a. untuk mengeluarkan zakat tetapi ditolak oleh Abu Bakar atas alasan beliau tidak dapat menerima zakat itu kerana Rasulullah s.a.w. tidak menerima zakat sa’labah semasa hidup baginda.. Begitu juga di zaman permeritahan Sayyidina Umar al-Khattab r.a.

Akhirnya beliau mati dalam keadaan kufur!

Persoalannya :
Siapakah Tsa’labah ini?
Mengapa seseorang yang menyesali perbuatannya dan ingin bertaubat tidak diterima taubatnya?

Tsa’labah yang diceritakan di sini sebenarnya adalah salah seorang dari mereka yang menyertai peperangan Badar. Sebagaimana dimaklumi, ahli Badar telah dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w.  Dengan kenyataan ini tidak timbul soal  keingkaran dan seterusnya mati dalam kekufuran. Riwayat ini adalah bermotif jahat untuk memburukkan sahabat r.a. Bila diteliti, di antara mereka yang mengaitkan Tsa’labah dengan perbuatan derhaka ini ialah Ali bin Zaid.  Seorang yang dituduh sebagai penganut Syiah oleh majoriti ulama’ rijal. Sesuai dengan fahaman Syiah yang sentiasa mencari peluang untuk memburukkan sahabat r.a. ( yang sebenarnya untuk menyerang peribadi Rasulullah s.a.w. juga) , cerita ini adalah salah satu senjata yang nampaknya tepat pada sasaran dan kini , ulama-ulama ahli Sunnah pula mengambil tempat mempopularkan hikayat karut ini.

Persoalan kedua, mengapakah Rasulullah s.a.w. menolak taubat dari seorang mukmin yang telah menyesali kesalahannya. Bukankah Rasulullah s.a.w. bekerja tanpa henti untuk menarik manusia kepada Islam dan mengingatkan mereka supaya sentiasa bertaubat. Dan adalah tidak masuk akal untuk mengatakan Rasulullah s.a.w. merajuk kerana tidak ditaati bila baginda memerintahkan untuk dipungut zakat pada pertama kalinya.

Penyebaran riwayat ini perlu dihentikan . Kepada sesiapa yang terlanjur meriwayatkannya  samada melalui tulisan, ceramah atau lain-lain diharap dapat membetulkan fakta ini kepada  audien masing-masing.


Sesungguhnya kepercayaan dan kecintaan kepada sahabat r.a. adalah di antara paksi tertegaknya agama ini kerana melalui  merekalah al-Quran dan sunnah  kita dapati hari ini.