Monday, November 2, 2009

JAIS Mengamuk…???

Terkejut ana tengah hari tadi apabila ana melihat akhbar Kosmos yang mana muka utamanya menyatakan bahawa Dr Asri bekas Mufti Perlis di tangkap di Selangor akibat menyampaikan cerama Agama tanpa ada tauliah daripada JAIS..

Itu bukan persoalan utama yang ana ingin fokuskan, tetapi yang utama ialah seorang tokoh Ulama muda Negara di tangkap hanya kerana menyampaikan “ Agama “ kepada masyarakat.

Kalau yang ditangkap orang macam ana ni tidak menghairankanlah, tetapi ini seorang bekas Mufti yang bertaraf Dr daripada UIAM yang ditahan disebabkan kerana tiada tauliah daripada JAIS.

Bagi ana le, baik suruh kerajaan PUSAT tutup sahaja UIAM tu kerana kalau mendapat PHD di sana pun bukan mendapat pengiktirafan dalam Negara untuk menyampaikan agama kepada masyarakat.

Hampir terkaku ana bila mendengar betapa susahnya untuk menyampaikan agama di dalam Negara kita ini. Seorang sarjana pun di tahan kerana berceramah agama. Cuba kita bayangkan kalaulah suasana ini berterusan di dalam Negara kita yang kita anggap sebuah Negara islam yang mana di halang untuk menyampaikan Agama Islam tercinta, mungki juga kita akan menjadi macam Negara Turki kot.

Kalaulah kita melihat dari sudut “ Ghuzwu Fikr “ serangan pemikiran yang dilakukan oleh golongan anti islam, inilah salah satunya cara untuk menghalang penyebaran Islam secara menyeluruh di pelusuk dunia.

Golongan orentalis sudah lama bertapak didalam system pendidikan Negara, tetapi hari ini semakin jelas kesannya tampak timbul benih-benih yang akan merosakkan agama Islam yang Mulia ini.

Kalaulah kerana kedengkian yang menyebabkan perkara ini berlaku, ini menambahkan lagi kekecewaan ana terhadap sistem pentadbiran Majlis Agama Islam didalam Negara kita ini.

Kalaulah kita tidak menyukai Beliau sekalipun, lakukanlah muzakaran, debat dan selainnya secara terbuka supaya kita semua mengetahui kebenaran.. kembalilah merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah supaya kita tidak semakin jauh daripada keduanya, firman Allah taala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya :” Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya “. Surah an-Nisa ayat 59.

Manakala Sabda Rasulullah s.a.w :

تركت فيكم ما إن اعتصمتم به فلن تضلوا أبدا  كتاب الله و سنة نبيه صلى الله عليه

Maksubnya :” Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kalau kamu berpegan kepada keduanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah ( Al-Quran ) dan Sunnah Rasulullah s.a.w ( al-Hadith ) ”.

Firma Allah Taala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya :” Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) Karena Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, Karena adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan “. Surah al-Maidah ayat 8.

Maka marilah kita semua kembali kepada apa yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNYA tanpa Khilaf lagi.

Firma Allah Taala :

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

Maksudnya :” Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul". mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya". dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk? “. Surah al-Maidah ayat 104.


Ibnu Taimiyyah

Mengenali Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah
Beliau ialah Ahmad bin Abdul Halim bin Abdul Salam bin Abdullah bin Taimiyyah. Lebih dikenali dengan Taqyuddin Ibnu Taimiyyah. Dilahirkan di Harran pada 10 Rabiul Awal 661H dan dibesarkan di Damsyiq, Syria.
Beliau dibesarkan dalam suasana ilmu sehinggalah beliau mampu berfatwa sebelum mencapai umur 20 tahun. Mempunyai ingatan yang sangat hebat sehingga dikatakan bahawa beliau tidak akan lupa apa sahaja yang diingatinya. Keberaniannya dalam menegakkan kebenaran tidak hanya pada lidah dan pena, bahkan beliau sendiri mengetuai angkatan tentera berjihad menentang pencerobohan Tatar. Mempunyai penulisan yang sangat banyak sehingga dikatakan penulisannya melebihi 500 jilid buku. Sangat kuat beribadah dan terlalu zuhud dan juga sangat pemaaf. Diiktiraf oleh ramai ulamak sebagai seorang mujtahid mutlaq. Dikatakan mana-mana hadis yang tidak diketahuinya adalah bukan hadis yang sebenar. Beliau pernah berkata: “Sesungguhnya kebunku berada di dadaku. Ia akan bersamaku di mana saja daku berada. Penjara bagiku adalah tempat khalwat (dengan Allah SWT), pembunuhanku adalah syahid dan buang daerah bagiku adalah melancong”.
Pujian ulamak terhadapnya tidak tertulis banyaknya. Berkata Ibnu Daqiqil Id: “Setelahku bertemu dengan Ibnu Taimiyyah, aku melihat seorang lelaki yang mana semua ilmu berada di kepalanya, dia akan ambil atau tinggalkan apa sahaja ilmu yang dia mahu”. Katanya lagi: “Aku tak sangka yang Allah SWT masih lagi menciptakan makhluk yang (sebegitu hebat) sepertimu”. Berkata Ibnu Sayyidinnas: “Kalaulah beliau bercakap dalam tafsir, maka beliaulah pembawa benderanya (tiada tandingan), bila berfatwa dalam fiqh, maka beliaulah yang sangat memahami tujuannya, bila bercakap mengenai hadis, maka beliaulah pemilik ilmu dan perawinya, bila bercakap mengenai perbandingan agama dan mazhab, maka tidak akan didapati sesiapapun yang setanding dengannya dan yang akan mengatasinya.”.
Berkata Ibnu az-Zamlakani yang beberapa kali berdebat ilmiah dengan Ibnu Taimiyyah: “Bila saja beliau ditanya tentang sesuatu ilmu, maka penonton dan pendengar akan menyangka beliau hanya mengetahui ilmu itu (kerana kepakarannya dalam ilmu tersebut, sedangkan seluruh ilmu dikuasainya) dan semua akan mengiktiraf bahawa tiada manusia seperti beliau”. Beliau juga berkata: “Tidak pernah ditemui (ulama’ yang hebat) sepertinya semenjak empat atau lima ratus tahun”. Berkata Imam az-Zahabi: “Beliau adalah seorang yang tidak layak orang yang sepertiku untuk menceritakan tentang sifatnya. Kalaulah aku bersumpah di hadapan ka’bah, nescaya aku akan bersumpah bahawa aku tidak pernah melihat orang yang sepertinya dan beliau juga tidak pernah melihat orang yang setandingnya (dalam keilmuan)”. Berkata al-Hafiz al-Mizzi: “Tidak pernah didapati manusia seperti Ibnu Taimiyyah semenjak empat ratus tahun”. Berkata Baha’uddin as-Subki: “Demi Allah, tidak ada yang membenci beliau melainkan orang yang jahil atau yang menurut nafsu. Orang yang jahil tidak mengetahui apa yang diucapkannya dan yang menurut nafsu pula dihalang oleh nafsunya untuk menerima kebenaran setelah mengetahuinya”. Murid beliau yang tersohor ialah Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah.
Beliau meninggal dunia pada 20 Zulqe’dah tahun 728H di satu penjara di Damsyiq setelah dua tahun di dalamnya. Jenazahnya dihadiri ratusan ribu manusia. Beliau sempat mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak 80 kali semasa di penjara. Pada kali yang ke 81, beliau hanya sempat membaca sehingga ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa akan berada dalam syurga-syurga dan sungai-sungai. Pada kedudukan yang sebenar di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa”.

Imam Yahya Bin Ma`in

Kehebatan Imam Yahya bin Ma'in dalam ilmu Hadis.
Imam az-Zahabi dalam kitabnya "Siyar A'lamun Nubala" menyatakan: "beliau ialah al-Imam al-Hafiz al-Jihbiz (pakar hadis), Sayyidul Huffaz, Malikul Huffaz, Syeikhul Muhaddisin, Abu Zakariyya, Yahya bin Ma'in bin Aun bin Ziad bin Bistom. Beliau bukanlah berketurunan arab, cumanya beliau menjadi wala' (dan dianggap sebahagian daripada) Bani Mur (satu kabilah arab). Kerana inlah beliau digelar al-Murri.
Dilahirkan dan dibesarkan di Baghdad. Dan beliau merupakan salah satu tokoh muhaddisin yang agong. Dilahirkan di Baghdad pada 158H, dan membesar di situ. Mula menulis ilmu-ilmu ketika usianya belum mencecah sepuluh tahun. Ayahnya merupakan salah seorang pegawai yang hebat kepada Abdullah bin Malik, pembesar ar-Ray (nama kawasan). Ayahnya meninggalkan pusaka untuknya sebanyak satu juta darham, dan kesemuanya itu habis dibelanjakannya untuk mencari dan mempelajari hadis sehinggalah sampai kepada tahap yang mana beliau tidak mempunyai selipar untuk dipakai.
Beliau pernah mengambil hadis daripada Abdullah bin al-Mubarak, Husyaim bin Basyir, Ismail bin Iyash, Sufyan bin Uyainah, Abdul Razaq as-Son'ani di Yaman, Waki' bin al-Jarrah, Yahya bin Said al-Qattan, Abdul Rahman bin Mahdi dan ramai lagi, samada di Iraq, Syam, Semenanjung Arab, Mesir dan Hijaz. Antara yang mengambil hadis daripada beliau pula ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Dawuud, Abbas ad-Duriy al-Baghdadi yang merupakan periwayat ilmunya, Abu Zur'ah ar-Rozi, Abu Hatim ar-Rozi, Usman bin Said ad-Darimi, Abu Ya'la al-Mausili dan ramai lagi yang tidak terhitung ramainya.
Ibnu Ma'in menulis satu juta hadis dan menulis satu hadis yang sama sebanyak lima puluh kali.
Berkata Ali bin al-Madini: "Kemuncak ilmu manusia terhenti pada Yahya bin Ma'in. Berkata Abdul Khaliq bin Mansur: “aku pernah berkata kepada Abdullah bin ar-Rumi: aku mendengar beberapa rang yang mengambil (belajar) hadis daripada Yahya bin Main mengatakan bahawa : “telah menceritakan kepada kami oleh seorang yang tidak pernah terbit matahari kepada seorang yang lebih hebat daripadanya” (mereka maksudkan ialah Yahya bin Ma'in.), lalu Abdullah bin ar-Rumi menjawab kepadaku: “adakah engkau merasa hairan (dengan gelaran tersebut)”? Aku sendiri pernah mendengar bahawa Ali bin al-Madini menyatakan bahawa: “Aku tidak pernah melihat manusia sehebatnya, dan kami tidak tahu seorang pun semenjak Nabi Adam lagi yang menulis hadis sebanyak apa yang ditulis oleh Yahya bin Ma'in”. Berkata Muhammad bin Nasr al-Marwazi: “aku pernah mendengar Yahya bin Ma'in menyatakan : "aku telah menulis dengan tanganku ini satu juta hadis". Berkata Imam az-Zahabi: "Yang beliau maksudkan dengan bilangan yang begitu banyak ini ialah beliau mengulang-ngulang menulis satu hadis yang sama. Tidakkah kamu lihat yang mana beliau pernah nyatakan bahawa: "Kalaulah kami tidak menulis sesuatu hadis itu sebanyak lima puluh kali, nescaya kami tidak akan kenal (hafal) hadis tersebut".
Semua hadis yang tidak dikenali oleh Yahya bin Ma'in bukanlah Hadis.
Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Mana-mana hadis yang tidak diketahui Yahya bin Ma'in, maka sebenarnya ia bukanlah hadis. Memang Allah SWT ciptakan beliau untuk perkara ini (hadis), kerana itulah beliau mampu menjelaskan pembohongan para pemalsu hadis". Berkata Abu Hatim ar-Razi: "Kalaulah kamu melihat seorang Iraq yang menyayangi Ahmad bin Hanbal, maka ketahuilah bahawasanya orang itu adalah ahli sunnah, dan jika kamu melihat seorang Iraq yang membenci Yahya bin Ma'in, maka ketahuilah bahawasanya orang itu adalah pembohong (pereka hadis palsu)".
Metodologi Pengajian Yahya bin Main Dalam Ilmu Hadis
Ibnu Ma'in berkata: "Bila kamu belajar dan menulis hadis, maka tuliskanlah apa sahaja yang kamu dengar (supaya kamu juga dapat mengetahui hadis-hadis palsu), tetapi bila kamu mengajar hadis, maka selidikilah (pastikan hanya hadis sohih sahaja yang kamu ajari itu)". Manhaj yang dibawa oleh Yahya bin Ma'in merupakan manhaj terbaik dalam mencari ilmu dan menyebarkannya. Kata-katanya tadi meupakan perlembagaan yang diambil oleh para muhaddisin dan para ulamak dalam mencari dan menyebarkan hadis.
Banyaknya kitab-kitab yang ditinggalkan oleh Yahya bin Ma'in
Al-Hafiz Solih bin Ahmad mendengar daripada Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah berkata: ayahku menyatakan bahawa Yahyan bin Main telah meninggalkan sebanyak 114 rak buku dan 4 bakul kayu yang penuh berisi kitabnya.
Ibnu Ma'in sentiasa menghalau pembohongan dan pemalsuan terhadap Nabi s.a.w.
Yahya bin Ma'in ini bila mana beliau mengerjakan haji, beliau akan ke Mekah melalui jalan Madinah, dan bila pulang daripada Mekah pun, beliau akan pulang melalui jalan Madinah. Ketika mana beliau keluar mengerjakan haji pada tahun 233H, beliau sampai di Madinah sebelum mengerjakan haji, iaitu pada penghujung bulan zulqaedah. Dan beliau ditimpa sakit serta meninggal pada 23 zulqaedah. Maka orang ramai saling memberitahu mengenai kedatangan beliau dan kematian beliau. Keluarga Bani Hasyim pula mengeluarkan kayu /katil tempat di mana Rasulullah s.a.w. dimandikan. Dan beliau dimandikan di atasnya, Dan sesudah selesai sembahyang jenazah, beliau dikuburkan di perkuburan Baqi'. Para hadirin saling menyebut-nyebut bahawa inilah dia orangnya yang sentiasa menghalang pemalsuan terhadap Nabi s.a.w.

Ali Ibnu Madini

Bagi penuntut ilmu berkaitan Islam, terutama ilmu berkaitan hadith, pasti mereka akan mengenali Ali Bin al-Madini sebagai salah seorang tokoh terkemuka hadith salaf. Namun begitu, bagi sebahagian masyarakat yang kurang mengambil perhatian tentang ilmu hadith, nama Ali Bin al-Madini mungkin tidak begitu popular seperti nama-nama Imam hadith lain seperti al-Bukhari dan Muslim. Sedangkan Ali Bin al-Madini adalah di antara ulama tempat Imam Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan lain-lain lagi menuntut ilmu. Seperti biasa, terkadang murid lebih masyhur dari gurunya!


BIODATA RINGKAS
Nama penuh beliau ialah Ali Bin Abdullah. Namun begitu beliau lebih dikenali dengan gelaran Ali Bin al-Madini. Beliau dilahirkan pada tahun 161 Hijrah di Basrah, Iraq dan meninggal pada tahun 234 Hijrah di Samarrai juga di Iraq.
  GURU DAN MURID
Beliau menuntut ilmu daripada ulama-ulama hadith terkemuka pada zamannya seperti Sufyan Bin ‘Uyainah, Abd. Razzaq al-Shon’ani, Hammad Bin Zaid, Abd. Aziz al-Darawardi, Ghundar dan lain-lain lagi.
Manakala di antara murid-muridnya yang terkenal pula ialah Ahmad Bin Hanbal, al-Bukhari, Abu Hatim al-Razi, Abu Daud dan gurunya yang juga mengambil hadith daripada beliau iaitu Sufyan Bin ‘Uyainah.
            Hadith-hadith yang beliau riwayatkan boleh ditemui di dalam buku-buku hadith utama seperti Sahih al-Bukhari, Sunan Abu Daud, Jami’ al-Tirmidzi dan lain-lain lagi.
  PUJIAN ULAMA TERHADAP BELIAU
Menurut Ahmad Bin Hanbal : Ali Bin al-Madini merupakan tokoh besar dan agung dalam kajian hadith. Menurut gurunya Sufyan Bin ‘Uyainah: ‘Demi Allah, sesungguhnya apa yang aku pelajari darinya (Ali Bin al-Madini) lebih banyak daripada apa yang dia pelajari dariku’. Seorang lagi tokoh hadith salaf bernama Abd. Rahman Bin Mahdi pula berkata: ‘Ali Bin al-Madini adalah orang yang paling tahu tentang hadith Rasulullah SAW’. Al-Nasaai pula menyifatkan bahawa ‘seolah-olah Allah SWT mencipta Ali Bin al-Madini khusus untuk ilmu hadith’.
            Dikatakan bahawa beliau menjadi tumpuan para penuntut ilmu hadith sehinggakan mereka mencatat setiap gerak-geri beliau untuk mendapatkan ilmu dan akhlaknya.
            Kehebatan beliau dalam meriwayatkan hadith serta menilai kesahihan serta kedhaifannya telah menjadi sebutan para ulama hadith zaman berzaman. Ini termasuk ketinggian ilmunya berkaitan para periwayat hadith. Oleh itu penuntut ilmu hadith pada zaman moden seharusnya memberikan perhatian penuh kepada kata-kata serta hasil tulisan Ali Bin al-Madini kerana beliau merupakan sumber rujukan kaedah-kaedah hadith yang dipraktikkan oleh ulama salaf termasuk ulama-ulama lain.
  Al-Bukhari sendiri menyatakan bahawa ‘aku tidak merasakan diriku kerdil kecuali ketika berdepan dengan Ali Bin al-Madini’. Bayangkan ilmu dan kehebatan al-Bukhari lalu renungkan pula kata-kata al-Bukhari dalam menceritakan kehebatan gurunya Ali Bin al-Madini! Malah ketika beliau ditanya oleh salah seorang muridnya tentang perkara yang beliau ingini dalam hidup, al-Bukhari menjawab: ‘Aku ingin pergi ke Iraq dan Ali Bin al-Madini masih hidup, lalu aku ingin belajar darinya’.  
            Imam al-Nawawi juga pernah menyatakan bahawa semua ulama sepakat menobatkan Ali Bin al-Madini sebagai ulama hadith terkemuka mengatasi ahli hadith lain.
            Manakala al-Zahabi pula menyatakan bahawa Ali Bin al-Madini merupakan seorang tokoh yang tiada tandingan pada zamannya sedangkan kita mengetahui bahawa pada zaman beliau terdapat ramai lagi ulama hadith terkemuka.
  MUTIARA KATA BELIAU
Di antara kata-kata Ali Bin al-Madini ialah : ’Memahami maksud / fiqh hadith adalah separuh ilmu manakala separuh lagi ialah mengetahui tentang periwayat hadith’.
Beliau juga pernah mengakui bahawa beliau pernah menemui kesilapan yang tersembunyi pada kajian sesuatu hadith selepas empat puluh tahun! Ia menunjukkan ketekunan dan kesabaran beliau dalam mengkaji.
Beliau pernah memberi nasihat bahawa jika ingin mengkaji hadith dalam mana-mana tajuk atau topik, maka amat perlu dikumpulkan segala yang berkaitan hadith tersebut. Ia menunjukkan betapa kajian hadith bukanlah sesuatu yang ringkas malah ia perlukan ketelitian.
  HASIL PENULISAN
Seperti mana-mana ulama salaf, Ali Bin al-Madini mempunyai banyak buku khususnya dalam bidang hadith meliputi ilmu kajian yang begitu mendalam. Tetapi, yang didapati dicetak sehingga ke hari ini hanyalah buku al-Ilal sedangkan terdapat banyak lagi buku beliau yang tidak ditemui dan dicetak. Namun begitu, syukur pada Allah SWT kerana ilmu beliau telah pun diwarisi dan dipelihara dalam buku-buku ulama lain yang sezaman dan juga selepas zaman beliau.
  SUMBER RUJUKAN KEPADA KAJIAN HADITH
Jasa Ali Bin al-Madini amat besar dan ia diketahui oleh setiap penuntut ilmu hadith sejak zaman dahulu hingga kini. Segala ilmu beliau berkaitan periwayatan hadith dan kajiannya telah dijadikan asas utama oleh para ulama yang hidup sezaman dengan beliau dan seterusnya ulama selepas zaman itu.
  Menjadi satu kewajipan dan keperluan bagi setiap penuntut ilmu hadith masa kini agar mencari, mempelajari dan memahami pandangan serta hasil tulisan tokoh hadith salaf seperti Ali Bin al-Madini terutama dalam aspek kajian hadith dan periwayatannya. Hasil daripada kajian ulama seperti beliaulah yang menjadi pegangan para ulama terkemudian dalam menyusun kaedah kajian hadith sama ada ilmu kajian periwayat atau kajian Mustolah al-Hadith. Maka tidak wajar pandangan mereka diabaikan dengan hanya merujuk kepada kaedah-kaedah yang ringkas dan padat semata-mata.
Walaupun begitu, kita dapati beberapa pengkaji hadith moden menolak dengan mudah kata-kata Ali Bin al-Madini hanya kerana satu sebab – dirinya tidak memahami maksud kata-kata tokoh tersebut. Contohnya seorang pensyarah di negara Arab Saudi yang memiliki Phd dalam bidang hadith telah menolak pendapat Ali Bin al-Madini dengan menulis: ‘Bukan begini caranya engkau mendhaifkan hadith, wahai Ali Bin al-Madini’!
Begitu juga seorang lagi pengkaji hadith di negara arab pernah menukilkan kritikan Ali Bin al-Madini terhadap seorang periwayat lalu pengkaji moden itu menulis ‘dari manakah datangnya perkara ini?’ dalam keadaan tidak mahu menerima pandangan seorang tokoh hadith terkemuka salaf.
Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari tertipu dengan ilmu yang sedikit sehingga merasa takabur dan sombong lalu menganggap diri lebih tinggi dari orang lain.
 

Sunday, November 1, 2009

Yasin Hati al-Quran

Matan Hadis
ان لكل شيء قلبا وان قلب القرآن يس من قرأها فكأنما قرأ القرآن عشر مرات
Maksudnya :” Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hatinya, dan hati al-Quran ialah Surah Yasin, sesiapa yang membacanya seumpama membaca al-Quran 10 kali “.
Sanad Hadis utama
Diriwayatkan oleh Qutaibah dan Sufian Bin Waqi`, diriwayatkan kepada kami oleh Hamid Bin Abdul Rahman ar-Ruasy daripada al-Husin bin Soleh daripada Harun Abi Muhammad daripada Maqati bin Hayyan daripada Qatadah daripada Anas.
Kitab Yang mengeluarkan hadis ini
Diriwayatkan oleh ad-Darimy dalam sunannya juzuk 2 no.3416, at-Tirmizy dalam Jami`nya juzuk 5 no.2887, Abdul Razak dalam Musonafnya juzuk 3 no.6009, al-Baihaqi didalam Syu`bah Iman juzuk 2 no.2460. Musnad as-Syihad juzuk 2 no.1035 dan 1036.
Pendapat Ulama
Berkata Abu Isa ( imam Tirmizi ) di dalam kitabnya, bahawa hadis ini Gharib, tidak diketahui hadis ini melainkan melalui jalan Hamid Bin Abdul Rahman dan dengan penelitianku aku tidak dapati hadis ini daripada Qatadah kecuali dengan jalan ini, dan Harun seorang yang TIDAK DIKENALI. Dan didalam bab ini dikatakan diambil daripada Abu Bakar as-Sidik adalah tidak sah dan sanad hadis ini dhaif.
Pent- apabila dikatakan bahawa hadis ini Gharib, maka telah jatuh martabat hadis ini kepada Dhaif serta-merta kecuali perawinya Thiqah. Kecacatan lain yang terdapat didalam hadis ini juga seorang perawi yang Majhul ( tidak dikenali ) dan ini menambahkan lagi hadis ini kepada lebih Dhaif lagi.
Rujukan
1- Sunan at-Tirmizy, Muhammad bin Isa, Abu Isa al-Saimy tahkik Ahmad Muhammad Syakir dan yang lain, Dar Ihya at-Turas A`raby, Beirut, t.t.
2- Musonaf Abdul Razak, Abu Bakar Abdul Razak bin al-Hamam as-Son`any tahkik Habib ar-Rahman al-A`zony, al-Maktabah al-Islamy, Beirut, cet ke-3 1403H.
3- Sunan ad-Darimy, Abdullah bin Abdul Rahman Abu Muhammad ad-Darimy tahkik Fuad Ahmad Zamraly dan Khalid as-Sabie` al-ilmy, Dar al-Kitab al-A`raby, Beirut, cet pertama 1407H.
4- Musnad as-Syihad, Muhammad bin Salamah bin Jaafar Abu Abdullah al-Qadhaie` tahkik Hamdy bin Abdul al-Majid as-Salafy, Dar ar-Risalah,Beirut, Cet ke-2 1407H.
5- Syu`bah al-Imam, Abu Bakar Ahmad bin al-Husin al-Baihaqi tahkik Muhammad Said Basyuny Zaghuly, Dar al-Kitab al-Ilmy, Beirut, Cet pertama 1410H.