Monday, February 22, 2010

Hubungan Muawiyyah Dengan Ahlu Bayt

 Di antara tuduhan yang dilontarkan kepada Sayyidina Muawiyah r.a ialah kononnya beliau telah melayani Bani Hasyim terutamanya di kalangan Ahlul Bait dengan buruk dan telah bertindak kejam terhadap mereka, selain daripada tidak pernah terjalinnya perhubungan  yang baik di antara mereka dengan Muawiyah dan seterusnya khulafa’ daripada kalangan Bani Umaiyyah.

Alasan yang selalu dikemukakan ialah berpunca daripada gambar sejarah yang sememangnya bercampur baur di antara kebenaran dan kebatilan. Sebenarnya kita tidak  hairan dengan riwayat sejarah yang memuatkan cerita-cerita seumpama itu apabila kita memeriksa perawi-perawi (pewarta-pewarta) yang merupakan  sumber cerita-cerita itu.

            Begitupun jika kita meneliti dengan cermat dan saksama terhadap fakta-fakta yang terdapat di dalam kitab-kitab sejarah samada ditinjau dari sudut riwayat mahupun dirayah dengan cepat akan teserlah di hadapan kita kepalsuan tuduhan-tuduhan itu.  Kenyataan yang dapat disimpulkan daripada fakta-fakta sejarah itu amat bertentangan sekali dengan tuduhan yang terdapat di dalamnya. Ini ialah kerana tak mungkin boleh terjalinnya hubungan persemendaan sebagai menantu, besan, biras dan lain-lain di antara dua keluarga yang bermusuhan begitu sekali seperti yang tersebut di dalam kitab-kitab sejarah. Tidak mungkin juga orang-orang yang bermaruah seperti individu-individu daripada kalangan Ahlul Bait terutama Hasan dan Husain r.a boleh menerima hadiah-hadiah saguhati, cenderamata atau habuan daripada orang yang zalim dan kejam yang sentiasa merendahkan kehormatan mereka.

            Begitu juga tidak masuk akal jika orang-orang yang terhormat dan mulia seperti Sayyyidina Hasan dan Husain r.a boleh berulang alik ke istana Muawiyah yang dikatakan sebagai penipu dan jahat itu kemudian pulang dengan membawa hadiah-hadiah yang nilainya beratus-ratus ribu dirham, kecuali jika diterima bahawa Sayyidina Hasan dan Husin dan juga Ahlul Bait yang lain sebagai orang-orang yang gila dunia atau mata duitan.

            Bagaimana mungkin kejam dan zalimnya orang yang Sayyidina Hasan dan Husain turut serta di dalam jihad yang dilancarkannya di samping menyandang pula jawatan-jawatan istimewa dalam kerajaan pimpinannya.

            Di sini akan dikemukakan beberapa contoh dari fakta sejarah untuk menghapuskan segala tuduhan-tuduhan palsu itu:

1)     Hubungan baik di antara Sayyidina Muawiyah dan Ahlul Bait terutama Sayyidina Hasan dan Husain r.a.

Ibnu Katsir menulis, “Pada zaman pemerintahannya, Sayyidina Muawiyah melayan Sayyidina Hasan dan Husin dengan penuh mesra dan menghadiahkan kepada mereka hadiah-hadiah yang berharga. Pernah pada suatu hari beliau menghadiahkan wang sebanyak dua ratus ribu dirham kepada mereka berdua” (Al Bidayah wa An-Nihayah, jilid 8 m.s. 50).

Ibnu Abil Hadid menulis, “Muawiyah memberikan habuan terutama kepadaHasan dan Husain sebanyak seratus ribu dirham. Anaknya Yazid pula memberikan habuan tahunan kepada merka berdua sebanyak dua ratus ribu dirham. Sebanyak itu juga diberinya kepada Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Ja’afar (ipar Sayyidina Husain iaitu suami kepada Zainab, adiknya)” (Syarah Nahjul Balaghah).

            Selain daripada habuan tahunan sebanyak seratus ribu dirham itu, Sayyidina Husain dikirimkan bermacam-macam cenderamata dan hadiah-hadiah berharga oleh Muawiyah dan Sayyidina Husain menerimanya dengan gembira sekali.

            Sayyidina Husain berkunjung ke kediaman Muawiyah seorang diri dan kadang-kadang bersama abangnya Hasan pada tiap-tiap tahun dan Sayyidina Muawiyah melayani mereka dengan baik dan penuh penghormatan. Beliau memberikan kepada mereka bermacam-macam hadiah. Selepas kewafatan Hasan, Sayyidina Husain tetap berkunjung ke kediaman Muawiyah pada tiap-tiap tahun. Beliau dilayani dengan baik dan penuh penghormatan oleh Muawiyah. (Al Bidayah wa An-Nihayah, jilid 8, m.s. 150-151)

            Pernah pada sutu ketika Sayyidina Hasan telah dihadiahkan oleh Muawiyah wang sebanyak empat juta dan pada ketika yang lain pula Sayyidina Hasan dan Husain telah dihadiahkan dua juta dirham. (Al Bidayah wa An-Nihayah, jilid 8, m.s. 137).

Pernah Sayyidina ‘Aqil (abang Sayyidina Ali r.a) memerlukan empat puluh ribu dirham maka beliau pergi menemui Muawiyah dan menyatakan keperluan itu kepadanya. Muawiyah bermurah hati kepadanya dan terus memberikan wang sebanyak lima puluh ribu dirham. (Usdul Ghabah, jilid 3, m.s. 223).

            Sayyidatina Aisyah r.a pernah dikirimkan oleh Muaiwiyah wang sebanyak seratus ribu dirham dan sebaik sahaja Aisyah menerimanya dia terus membahagi-bahagikannya kepada orang-orang lain (yang memerlukannya) pada hari itu juga.

             Pada suatu ketika pernah Sayyidatina Aisyah berhutang sebanyak 18 ribu dinar (Muawiyah mendapat tahu tentang itu ) maka beliau pun menjelaskan kesemua hutang Aisyah itu.

            Pernah juga Muawiyah mengirimkan seutas kalung yang berharga seratus ribu dirham kepada Aisyah. Kiriman itu diterima oleh Aisyah dengan gembira sekali.

            Pernah Sayyidina Hussain dan  Abdullah Bin Ja’far At Thayyar menghantar utusannya kepada Muawiyah untuk meminta bantuan kewangan daripada beliau, maka wang sebanyak sejuta dirham dikirimkan kepada mereka. Pada ketika yang lain pula Muawiyah mengirimkan wang kepada Sayyidina Hassan, Abdullah Bin Ja’far At Thayyar, Abdullah Bin Umar dan Abdullah Bin Zubair sebanyak seratus ribu dirham.

            Setelah mendapat tahu tentang kewafatan Sayyidina Hassan, Muawiyah pergi menemui Abdullah bin Abbas untuk mengucapkan takziah kepadanya. Muawiyah berkata kepada Abdullah Bin Abbas, “Semoga Allah tidak menyedihkan dan menyusahkann hatimu atas kematian Hassan ini”. Ibnu Abbas lantas menyahut, “Semoga Allah tidak menyedihkan dan menyusahkan hatimu selama Allah memanjangkan umurmu”. (Al Bidayah Wa An  Nihayah,jilid 8 m.s. 136 – 138.)

2)     Menyandang jawatan istimewa di dalam kerajaan Muawiyah.
          
            Di antara individu dari Bani Hasyim ada yang menyandang jawatan istimewa (seperti qadhi dan lain-lain) didalam pemerintahan Muawiyah.

            Di Madinah, Marwan Bin Al Hakam adalah gabenor yang dilantik oleh Muawiyah. Ketika itu perlu adanya seorang qadhi (hakim) di Madinah. Oleh itu, Marwan telah melantik Abdullah Bin Al Harith Bin Naufal Bin Al Harith Bin Abdul Muttalib sebagai qadhi di Madinah. Lantaran itu sesetengah golongan mengatakan itulah qadhi yang mula-mula  dilantik di Madinah.

            Ibnu Sa’ad menulis di dalam Thobaqatnya: daripada Abi Al Ghaits, katanya: “Aku mendengar Abu Hurairah berkata”, “Setelah Marwan Al Hakam dilantik sebagai gabenor bagi pihak Muawiyah di Madinah iaitu pada tahun 42 Hijrah, beliau telah melantik Abdullah bin Al Harith sebagai qadhi di Madinah. Abu Hurairah berkata, “Itulah qadhi yang mula-mula aku lihat dalam Islam (di Madinah)”. Thobaqat Ibnu Sa’ad jilid 5 m.s. 13). Kenyatan yang sama di dalam Tarikh At Thobari, jilid 6 m.s. 12 di bawah tajuk peristiwa yang berlaku pada tahun 42 Hijrah.

3)     Qustam Bin Abbas r.a dan Sayyidina Hassan r.a ikut serta di dalam jihad yang dilancarkan oleh Muwiyah di zaman pemerintahannya.

            Qustam Bin Abbas terbilang di antara sahabat kecil Rasullullah SAW. Beliau adalah saudara sesusu dengan Sayyidina Husin Bin Ali. Beliau telah pergi ke Khurasan di zaman pemerintahan Muawiyah untuk tujuan jihad. Kemudian beliau pergi pula ke Samarkand. Panglima perang yang beliau ikuti di dalam peperangan itu ialah Said Bin Uthman Bin Affan. Akhirnya beliau telah mendapat syuhada (syahid) dalam peperangan di Samarkand.

            Demikian tersebut didalam Thobaqot Ibnu Sa’ad, jilid 7, m.s. 101, Nasabu quraisyin, m.s. 27, Tahtazikri Auladi Abbas, Siaru ‘Alami An Nubala’, jilid 3 m.s. 292, Syarah Nahjul Balaghah Ibnu Abil Hadid, jilid 5, m.s. 72.

            Ahli-ahli sejarah menyebutkan dengan jelas bahawa Sayyidina Hussin juga turut serta di dalam jihad yang dilancarkan di zaman pemerintahan Muawiyah. Beliau menyertai jihad itu dengan suka cita dan relahati, bukan dengan paksaan malah telah memberikan pertolongan yang sepenuhnya  dalam jihad itu.

            Ibn Katsir menulis, “Setelah Sayyidina Hassan wafat, Sayyidina Husain pada tiap-tiap tahun tetap mengunjungi Muawiyah. Beliau dikurniakan dengan hadiah-hadiah dan dimuliakan oleh Muawiyah. Beliau pernah menyertai angkatan tentera yang menyerang Constantinople di bawah pimpinan anak Muawiyah iaitu Yazid pada tahun 51 H”. (Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 8, m.s. 151). Perkara yang sama termaktub di dalam Tahzibu Tarikhi Ibni Asakir, jilid 4, m.s. 311, Tazkirah Husain bin Ali.

4)     Hubungan persemendaan di antara Bani Umaiyyah dan Bani
     Hasyim

Hubungan persemendaan di antara Bani Hasyim dan Bani Ummaiyah terjalin
semenjak sebelum Islam lagi dan berterusan hingga ke zaman-zaman pemerintahan Bani Umayyah. Daripada kenyataan-kenyataan sejarah dapat dilihat betapa mesra dan eratnya hubungan di antara mereka.

            Permusuhan dan perseteruan di antara mereka tidak lebih daripada cerita-cerita rekaan yang dicipta oleh golongan musuh-musuh Islam dengan tujuan membuktikan kepada dunia bahawa semangat perkauman jahiliyah masih lagi menguasai mereka dan begitu tebal sehingga kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sendiri masih gagal mencabut sampai ke akar umbinya.

            Sebaliknya daripada fakta-fakta sejarah yang masih lagi boleh dirujuk dan dianggap muktabar samada daripada kalangan Ahli Sunnah mahupun musuh mereka Syiah, dapat kita temui kenyataan-kenyataan yang menyangkal dan mendustakan cerita-cerita rekaan itu.

             Tidak mungkin terjadi hubungan persemendaan di antara dua golongan yang bermusuhan dengan begitu banyak sekali dalam keadaan  perseteruan di antara mereka sampai menumpahkan darah dan memaki hamun di antara satu sama lain di dalam khutbah-khutbah Jumaat .

            Rasulullah SAW sendiri sebagai orang yang paling terkemuka daripada Bani Hasyim telah mengahwinkan tiga orang daripada empat orang anak perempuannya dengan Abul ‘Ash bin Ar-Rabii dan Uthman bin Affan, iaitu dua orang yang ternama dari kalangan Bani Umayyah. (lihat Ansabul Asraaf-Balezuri,jilid 5, ms 1,Thobaqotul Ibn Sa’ad, jilid 8, ms 166, Usdul Al-Ghabah, jilid 5, ms 191, Al-Mustadrak, jilid 3, ms 96, Mumtahar Al Amal, jilid 1 m.s. 9).

            Aban, anak Sayyidina Uthman kemudiannya berkahwin dengan Ummi Kulthum bt Abdullah bin Ja’far, cucu saudara Sayyidina Ali sendiri. (Al-Ma’arif Ad-Dinawari, m.s. 86).

            Sakinah, anak perempuan Sayyidina Husain dan cucu kepada Sayyidina Ali adalah isteri kepada cucu Uthman iaitu Zaid bin Amar bin Uthman. Bahkan beliau telah mewarisi Zaid selepas kematiannya. (Nasabu Quraisyin Mus’ab Az- Zubairi, jilid 4, ms 120, Al-Ma’arif-Ibn Qutaibah, m.s.  94, Jamharatu Ansabil Arab,jilid 1, m.s. 86, Thobaqat Ibn Sa’ad, jilid 6, m.s.  349).

            Cucu Sayyidina Ali iaitu Fatimah anak perempuan Sayyidina Husain merupakan isteri kepada cucu Sayyidina Uthman yang lain bernama Abdullah dan mereka mendapat cahaya mata bernama Muhammad hasil dari  perkahwinan itu. Perkahwinan di antara mereka berdua berlangsung setelah Fatimah menjadi janda kepada Hassan bin Hassan bin Ali. (Lihat Thobaqat Ibn Sa’ad, jilid 8, ms 348, Al-Ma’arif, ms 93, Nasabu Quraisyin, jilid 4, ms 114, Maqaatilu At-Tholibiyyin Al-Isfahani, m.s. 203, Nasikuh At Tawarikh, jilid 6, m.s. 534).

            Kemudian cucu Sayyidina Hassan iaitu anak Sayyidina Hassan Al-Mutsanna berkahwin pula dengan cucu Marwan bin Aban bin Uthman. Bahkan ahli-ahli sejarah menyebutkan bahawa anak Hassan Al-Mutsanna yang dikenali dengan Ummul Qasim ini telah mendapat cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Marwan tersebut, iaitu Muhammad. (Nasabu Quraisyin, jilid 2, m.s. 53, Jamharatu Ansabil Arab, jilid 1, m.s. 85, Al-Muhabbar Al-Baghdadi, m.s. 438).

            Cucu saudara Sayyidina Ali iaitu Ramlah bt Muhammad bin Ja’far At-Thoyyar bin Abi Thalib mula-mula menjadi isteri kepada Sulaiman bin Hisyam bin Abdul Malik bin Marwan. Kemudian menjadi pula isteri kepada Abul Qasim bin Wahid bin Uthbah bin Abi Sufian (Kitabu Al-Muhabbar, ms 449).

            Ramlah anak perempuan Sayyidina Ali sendiri telah berkahwin dengan anak  Marwan bin Al-Hakam yang bernama Muawiyah. Sebelum itu Ramlah adalah isteri kepada Abi Al-Hayyaj (Nasabu Quraisyin, ms 45, Jamharatu Ansabil Arab, m.s. 87).

            Sementara Zainab anak perempuan Hasan Al-Mutsanna pula menjadi isteri kepada Walid bin Abdul Malik bin Marwan Al-Umawi. (Nasabu Quraisyin, ms 52, Jamharatu Ansabil Arab, m.s.  228.

            Selain daripada cicit kepada Sayyidina Ali, Hafisah bt Zaid bin Al-Hasan bin Ali adalah isteri kepada cucu Marwan iaitu Al-Walid bin Abdul Malik bin Marwan dan wafat sebagai isterinya. Ibunya ialah Lubabah bt Abdullah bin Abbas. (Thobaqat Ibn Sa’ad, jilid 5, ms 234, ‘ Umdatu At-Thalib fi ansabi’ah Abi Thalib, m.s. 70).

            Hasil perkahwinan Sayyidina Husain dengan Laila bt Abi Muruah bin ‘Urwah bin Mas’ud At-Tsaqafi telah melahirkan Ali yang dikenali dengan Al-Ahbar yang kemudiannya terbunuh syahid bersama beliau di Karbala. Ibu kepada Laila ini ialah Maimunah bt Abu Sufian bin Harb bin Umayyah. Ini bererti Sayyidina Muawiyah adalah bapa saudara kepada Laila, iaitu isteri kepada Sayyidina Husain itu. (Nasabu Quraisyin, ms 57, Tarikh Khalifah bin Khayyat, jilid 1, m.s. 255).
            Apa yang disebut ini adalah sebahagian daripada hubungan persemendaan di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim. Itu pun sudah mencukupi untuk menolak kekeliruan yang telah ditimbulkan. Cerita-cerita yang direka oleh musuh-musuh Islam ini mengatakan bahawa di antara dua keluarga ini telah tertanam permusuhan dan dendam kesumat yang amat mendalam sehingga akhirnya mencetuskan peperangan di antara Ali dan Muawiyah, Husain, Yazid dan seterusnya. Tetapi apabila kita melihat kepada hubungan persemendaan di antara mereka seperti  yang tersebut tadi, jelaslah bahawa cerita-cerita yang memburukkan perhubungan mereka itu tidak berasas sama sekali.

5)    Ahlil Bait berimamkan pemimipin-pemimpin dari kalangan Bani Umayyah di  dalam sembahyang mereka    

Semasa Marwan bin Al-Hakam menjadi gabenor bagi  pihak Muawiyah, beliau mengimamkan sembahyang lima  waktu di masjid. Di antara ahli jamaah yang berimamkan beliau ialah Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain.

Fakta ini dapat dilihat dengan jelas di dalam riwayat seperti di bawah ini bahkan daripada riwayat ini dapat difahami bahawa Sayyidina Hasan dan Husain tidak mengulangi sembahyang yang telah ditunaikan secara berjamaah di masjid dengan berimamkan Marwan bin Al-Hakam. Muhammad Al-Baqir juga telah bersumpah bahawa mereka berdua tidak mengulangi sembahyang yang ditunaikan secara berjamaah itu sebagai menyangkal dakwaan setengah-setengah kalangan Syiah yang mengatakan mereka berjamaah dengan Marwan secara taqiyyah, kemudian mengulangi sembahyang yang telah dikerjakan itu di rumah pula.

Perhatikan riwayat ini :

Diriwayatkan daripada Ja’far As-Syadiq daripada ayahnya, katanya, “Hasan bin Ali dan Husain selalu bersembahyang di belakang Marwan.”.  Ja’far berkata, “Kerana itu ayahnya ditanya: “Tidakkah mereka bersembahyang semula setelah pulang ke rumah?”. Beliau menjawab, “Tidak! Demi Allah mereka tidak melebihkan sembahyang daripada sembahyang yang telah dilakukan dengan berimamkan para pemimpin itu”. (Al-Musannaf Ibn Abi Syaibah, jilid 2, m.s. 378, Al-Bidayah Wa An-Nihayah, jilid 8, m.s .258).

            Imam Bukhari di dalam Tarikh Soghirnya mengemukakan riwayat tentang  selalunya Sayyidina Hasan dan Husain bersembahyang di belakang Marwan dengan berimamkannya. (At-Tarikh As-Soghir, m.s. 57).

            Ibn Sa’ad pula mengemukakan pengakuan Imam Muhammad Al-Baqir   tentang beliau dan ayahnya, Ali Zainal Abidin sentiasa bersembahyang denga berimamkan pemimpin-pemimpin daripada kalangan Bani Umaiyyah. Beliau berkata, “Sesungguhnya kami bersembahyang dengan berimamkan mereka tanpa taqiyyah dan aku bersaksi bahawa Ali bin Husain (ayahnya) selalu bersembahyang berimamkan mereka tanpa taqiyyah’. (Thabaqat Ibn Sa’ad, jilid 5, m.s. 158).

            Kitab-kitab Syi’ah pula menjadi saksi di dalam perkara ini. Di antaranya ialah kitab Biharu Al-Anwar apabila ia mengemukakan riwayat-riwayat yang seerti dengan yang dikemukakan oleh kitab-kitab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara lain riwayat itu bermaksud : Daripada Musa bin Jaafar daripada ayahnya, katanya : “Hasan dan Husain  selalu bersembahyang di belakang dengan berimamkan Marwan bin Al Hakam. Maka mereka (Syiah) bertanya beliau, “Adakah datuk dan nenek tuan bersembahyang semula apabila pulang ke rumah?” Beliau menjawab, “Tidak! Demi Allah mereka tidak menambah lagi sembahyang yang telah dikerjakan”. (Biharu Al Anwar, Al Majlisi, jilid 10, m.s .139-141).

            Selain daripada sembahyang fardhu yang lima itu, pemimpin-pemimpin daripada kalangan Bani Umaiyyah juga mengimamkan sembahyang jenazah  daripada kalangan Ahlul Bait yang telah meninggal dunia. Perkara ini tersebut dengan jelas di dalam kitab-kitab sejarah, antaranya ialah Al-Bidayah Wa An Nihayah, Al Isti’aab, Al Isabah dan Thabaqat Ibn Sa’ad.

                        Sejarah membuktikan bahawa Aban bin Uthman ketika menjadi gabenor di Madinah bagi pihak Abdul Malik bin Marwan pernah diminta menyembahyangkan jenazah Muhammad bin Ali yang terkenal dengan Muhammad bin Al Hanafiah oleh anaknya sendiri iaitu Abu Hasyim Ali. (Thabaqat Ibn Sa’ad, jilid 5, m.s. 86). Selain itu beliau juga pernah menyembahyangkan jenazah anak saudara Sayyidina Ali, iaitu Abdullah bin Jaafar At Thoyar. (Al Isobah, jilid 2, m.s. 281, Al Isti’aab, jilid 2, m.s. 287 dan Usdu Al Ghobah, jilid 3, m.s. 135)

            Penerimaan baik pemimpin-pemimpin daripada kalangan Bani Umaiyyah oleh pihak Bani Hasyim bukanlah suatu yang baru ketika itu kerana sebelum itu pun ayahanda kepada Aban iaitu Sayyidina Uthman bin Affan telah mengimamkan sembahyang jenazah bapa saudara Rasulullah SAW dan juga bapa saudara kepada Sayyidina Ali iaitu Abbas bin Abdul Mutalib. (Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 2, ms 162, Al Isti’aab, jilid 3, ms 100).

            Itulah sedikit daripada gambaran hubungan baik di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim. Mereka sebenarnya merupakan dahan-dahan dan ranting-ranting daripada pohon yang sama. Mereka telah bekerjasama dan berganding bahu dalam menegakkan dan menyebarkan Islam. Jikalau ada pun permusuhan di antara mereka , itu adalah permusuhan di zaman jahiliyyah tetapi setelah kedatangan Islam, api permusuhan yang bernyala-nyala di zaman jahiliyyah itu terpadam oleh limpahan cahaya Islam yang mencurah-curah yang turun dari Tuhan Semesta Alam

Muawiyyah

PROLOG

Rasulullah  s.a.w. bersabda “Tentera dari umatku yang mula-mula berperang dengan meredah  lautan sudah pasti mendapat syurga.”(Sahih Bukhari jilid 1 m.s.    Sahih Muslim jilid 2 m.s. 141-142).
  
Peristiwa perang pertama menerusi lautan telah berlaku pada tahun 28 Hijrah iaitu semasa pemerintahan Sayyidina Utsman di bawah pimpinan Mu’awiyah . (Tarikh Khalifah bin Khayyat jilid 1 m.s. 135, Nasabu al-Quraisyin m.s. 124, Al- Bidayah Wa an-Nihayah  jilid 8 m.s. 229 )
  
Sahabat besar Saad bin Abi Waqqas r.a. berkata : “Tak pernah saya melihat seorang yang lebih pandai memutuskan hukum selepas Sayyidina Utsman daripada tuan pintu ini ( beliau maksudkan  Mu’awiyah) (Al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 8 m.s. 133)

Seorang lagi sahabat Qabishah bin Jabir r.a. berkaa: “Tak pernah saya melihat seorang yang lebih penyantun, lebih layak memerintah, lebih hebat, lebih lembut hati dan lebih luas tangan di dalam melakukan kebaikan daripada Mu’awiyah”  ( Al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 8 m.s. 135)
  
Abdullah bin Mubarak, seorang tabi’in terkenal pernah ditanya : “ Apa kata tuan tentang
Mua’awiyah dan Umar bin Abdul Aziz, siapakah di antara mereka yang lebih utama?”. Mendengar soalan itu Abdullah Ibnu al-Mubarak naik marah lalu berkata: “Kamu bertanyakan nisbah keutamaan di antara mereka berdua. Demi Allah! Debu yang masuk ke dalam lubang hidung Mu’awiyah kerana berjihad bersama-sama Rasulullah (s.a.w.)  itu sahaja pun lebih  baik dari Umar bin Abdul Aziz” (Al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 8 m.s. 139)
  
Mu’awiyah r.a. dilantik sebagai salah seorang gabenor oleh Sayyidina Umar r.a. dan Sayyidina Utsman r.a. selama 20 tahun dan tidak pernah dilucutkan jawatan tersebut dan selepasnya sebagai khalifah selama 20 tahun. Di zaman pemerintahannya beliau telah menyatu-padukan ummah di bawah satu panji dalam melancarkan jihad  yang terhenti sekian lama. Pemerintahannya telah diterima baik oleh sahabat-sahabat besar dan kecil dan tabi’in tidak terkecuali ahlul bait terutamanya Sayyidina Hasan dan Husain r.a.

Banyak hadis  yang diriwayatkan oleh Sayyidina Mu’awiyah r.a. bertebaran di dalam  kitab-kitab hadis Muktabar
  
Demikianlah  fakta-fakta  yang tenggelam di dalam kamus sejarah kita.

 Apa yang terkenal, yang  kita ingat dan kita sebarkan ialah Mu’awiyah ialah seorang yang zalim, pemutar belit, pemberontak, ahli politik yang licik dan seumpamanya. Sifat-sifat buruk yang jarang terkumpul pada seorang Islam biasa tetapi dikatakan terdapat pada seorang sahabat r.a. ini.

Lalu apakah sikap kita?

Pertamanya , perlu kita ingat bahawa Sayyidina Muawiyah r.a.  adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Aqidah kita terhadap sahabat ialah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: “Janganlah kamu menghina sahabat-sahabatku kerana jika engkau membelanjakan emas sebesar bukit Uhud di jalan Allh ianya tidak akan sama dengan secupak atau setengah cupak yang dibelanjakan oleh salah seorang dari mereka” ( Sahih Bukhari ) .   Tanpa perlu ada hujah penyokong yang  lain , hujah ini sudah cukup untuk menolak serangan tidak berasas terhadap peribadi sahabat mulia ini.

Dan sahabat r.a. ini ditugaskan untuk mencatat wahyu yang diturunkan. Boleh kah kita bayangkan seorang pencatat wahyu, dokumen  paling penting dalam Islam ialah seorang yang  buruk akhlaknya sebagaimana yang digambarkan di atas.

Objektif sebenar  mereka yang menyebarkan  propaganda  tentang buruknya akhlak beliau r.a.  mudah diteka iaitu  seorang pencatat wahyu yang tidak beramanah serta berakhlak buruk boleh  mencatat apa saja yang sebenarnya tidak didengarinya dan hasilnya  Al-Quran yang ada pada tangan kita pada hari ini adalah tidak  terjamin ketulinannya.

Kenyataan bahawa Sayyidina Umar telah  melantik beliau sebagai Gabenor Syam sehingga akhir pemerintahannya dan kemudiannya diteruskan oleh Sayyidina Utsman. Kita tahu betapa cermat, teliti dan ketatnya syarat yang ditetapkan oleh  Sayidina Umar dalam memilih gabenor ini.
Bila Sayidina Umar dan Usman mengakui ketokohan , keadilan dan keupayaan Muawiayah r.a., siapakah kita untuk mengatakan beliau seorang pemutarbelit  dan sebagainya.

Bila Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Mu’awiyah r.a. , kita mengatakan beliau tidak boleh dipercayai!!

Pereka-pereka cerita dan penyebar daayah ini ingin meruntuhkan dua sumber asas agama Islam ini iatu al - Quran dan as-Sunnah.
  
 Mereka adalah golongan Syiah yang kononnya mengaku pengikut setia Sayidina Ali r.a. , padahal Sayidina Ali sendiri memerangi golongan ini.
Malangnyna ,  kita golongan ahli  Sunnah dengan senang hati dan rela menyebar luaskan daayah ini. Cuba ikuti kuliah sejarah Islam di masjid-masjid di  negara ini, atau belek sahaja majalah- majalah agama kontemporari. Kita memberi wajah baru tentang cerita ini dengan istilah yang lebih sensasi dengan jalan cerita yang lebih mendebarkan. Golongan musuh berpeluk tangan dan kita sedikit demi sedikit meruntuhkan ugama  kita tanpa kita sedar!!

Peribadi agung Mu’awaiyah perlu dibersihkan untuk membersihkan Islam itu sendiri. Sukatan pelajaran perlu disemak semula kerana fakta yang kita sogokkan kepada anak-anak  kita bila pertama kalinya  mereka didedahkan dengan sejarah Islam adalah sukar untuk dibersihkan di kemudian hari.Hendaknya kita memberitahu masyarakat adalah Mu’awaiyah adalah seorang tokoh besar yang amat berjasa  di dalam Islam. Seorang sahabat muhajirin yang diakui ahli syurga oleh Rasulullah.s.a.w.. Anak kepada tokoh Islam Abu Sufian  dan Hindun binti Utbah yang diakui oleh Rasulullah sebagai orang yang paling disayanginya. Adik ipar kepada Rasulullah s.a.w.  , adik kepada Ummul Mu’minin Ummu Habibah  r.a. )

 Mu’awiyah r.a telah mendamaikan dua golongan besar dalam Islam dan meluaskan jajahan takluk Islam seantero dunia. Beliau telah diakui oleh sahabat-sahabat r.a.  termasuk keluarga Sayidina Ali r.a.  yang amat akrab dengannya.

Kita  perlu faham bahwa persengketaan yang  berlaku di antara sahabat adalah angkara musuh Islam yang menyamar sebagai orang Islam yang menyelinap dan menjalankan jarumnya dari dalam. Sebagai iktibarnya, kita juga harus berhati-hati kerana musuh sentiasa  berusaha dari luar dan dari dalam untuk memusnahkan Islam.,dan langkah pertama kita ialah terima sahabat agung ini sebagai seorang sahabat agung yang amat berjasa kepada Islam,  hentikan cerita-cerita yang memburuk-burukkan beliau r.a.  yang sebenarnya adalah tidak berasas dan berniat jahat. Dan sebarkan salah satu prinsip asas dalam Islam  iaitu sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. ialah orang-orang yang adil dan ‘keadilan’ mereka adalah berdasarkan kepada al-Quran itu sendiri.

Wallahu’alam.

Saidina Hasan Jaguh Seks?

SAYYIDINA HASSAN JAGUH SEKS?

Sebenarnya cerita Sayyidina Hassan berkahwin dan menceraikan isteri-isterinya seramai lebih dari 200 orang itu telah lama diketahui penulis justeru ia terdapat di dalam sesetengah buku sejarah. Cerita ini juga dari semasa ke semasa disebarkan melalui tulisan-tulisan, ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah dengan agak meluas dan menyeluruh di kalangan masyarakat walaupun penyebar-penyebar cerita ini berbeza pendapat tentang bilangan isteri Sayyidina Hassan. Ada yang mengatakan isteri Sayyidina Hassan hanya 80 orang kesemuanya, ada yang menyatakan 50 orang sahaja, ada yang menyatakan 100 orang, ada 200 orang, 300 orang bahkan ada juga yang menyatakan sampai 400 orang. Seolah-olahnya masyarakat kita sudah biasa dcngan penyebaran cerita-cerita palsu dan menganggapnya suatu perkara yang remeh.

Apa yang lebih mendorong penulis menulis artikel ini dengan menggunakan tajuk ini pula ialah kerana terkejut apabila mendengar satu kaset berisi pengajaran seorang ustaz yang agak terkenal di sebelah utara negara kita di mana beliau semasa mengajar sebuah kitab bernama "Muhimmah" pada ilmu hadis Nabi (membicarakan adab berkeluarga) telah menyebutkan bahawa Sayyidina Hassan telah berkahwin dengan lebih dari 200 orang.

Sememangnya terdapat kenyataan ini di dalam kitab tersebut tetapi huraiannya
menambahkan lagi serinya lalu akhirnya kaset ini diterbitkan dengan nama "JAGUH' dan
dimaksudkan dengan "JAGUH' ini ialah Sayyidina Hassan yang telah berkahwin dengan
lebih 200 orang perempuan.

Apa yang menghairankan ialah pembawa-pembawa cerita ini dan orang-orang yang mengajar kitab-kitab yang memuatkan cerita ini langsung tidak menggunakan fikiran mereka dan berhakimkan hati nurani dalam menerima dan seterusnya menyebarkannya di khalayak ramai. Dengan kedudukan mereka sebagai apa yang dinamakan ustaz, guru-guru agama, tok-tok guru, pensyarah dan lain-lain ternyata mempercepatkan lagi penyebaran cerita-cerita yang karut seperti ini.

Tetapi apa yang perlu dihairankan sekiranya cerita ini memang berpunca daripada kitab-kitab yang popular dan menjadi pegangan kepada masyarakat umum hasil tulisan "orang-orang besar" pula. Tentu sekali masyarakat yang berjiwa "pak turut" akan menerimanya terus tanpa soal selidik lagi, kononnya siapalah kita untuk mempersoalkan cerita-cerita yang disebarkan ulamak-ulamak ini!

Bagi ahli ilmu yang bertanggungjawab, terdapatnya cerita-cerita seperti ini di dalam kitab-kitab ulamak-ulamak tertentu tidak akan menaikkannya ke tahap sahih semata-mata kerana ia terdapat di dalam kitab mereka. Kesahihan sesuatu cerita hanya ditentukan melalui nilai-nilai yang diterima pakai oleh ulamak jarh dan ta'dil serta kaedah riwayat dan dirayah. Jalaluddin As-Suyuti dalam kitabnya Taarikh Al-Khulafa' (ms. 178) menyebutkan bahawa Ibnu Saad mengemukakan satu riwayat daripada Ali bin Husain katanya, “Hassan adalah seorang yang suka menceraikan isterinya. Dia tidak menceraikan seseorang isterinya melainkan dalam keadaan isterinya itu cukup sayang kepadanya. Dia telah mcngahwini seramai 90 orang perempuan." Hafidz Ibnu Hajar juga menyebutkan riwayat daripada Ali bin al-Husain ini tetapi tidak pula ia menyebutkan bilangan isterinya sampai 90 orang. Beliau menulis, “Abdullah bin al-Hassan berkata, "Sayyidina Hassan jarang sekali tidak beristeri empat serentak dan beliau adalah seorang yang mempunyai ramai isteri." (Tahzibu Tahzib, jilid 2, ms. 259)

Imam Al-Ghazali pula pergi lebih jauh dari itu apabila beliau menulis bahawa, “Dikatakan Hassan bin Ali seorang yang suka berkahwin sehingga beliau telah mengahwini lebih 200 orang perempuan. Kadang-kadang beliau mengadakan akad perkahwinan dengan empat orang perempuan serentak dan kadang-kadang beliau menceraikan empat orang isterinya juga serentak lalu menukarkan mereka dengan isteri-isteri yang lain. Nabi s.a.w. bersabda kepada Hassan, “Engkau menyerupai rupaku dan perangaiku.” Baginda s.a.w. bersabda lagi, “Hassan sebahagian dariku sedangkan Hussain sebahagian dari Ali.” Dikatakan banyaknya berkahwin Hassan itu adalah salah satu perangainya yang menyerupai perangai Rasulullah s.a.w.” (Ihya' Ulumiddin, jilid 2, ms. 30)

Kenyataan yang sama tentang peribanyaknya perempuan-perempuan yang dikahwini dan diceraikan Hassan boleh dilihat di dalam kitab berikut, apabila kita merujuk sumber-sumber Syiah, kita akan dapati di dalam riwayat Ibnu Syahr Aasyub disebutkan bahawa, “Sayyidina Hassan telah berkahwin dengan 250 orang perempuan,” sedangkan dalam riwayat yang lain disebutkan sampai 300 orang perempuan. (Mulla Baqir Al Majlisi, Jila-u Al-Uyun, jilid 1, ms. 438)

Alasan yang diberikan oleh masing-masing pihak Ahlussunnah dan Syiah adalah berbeza. Kalangan Ahlus Sunnah mengatakan bahawa tidak harus seseorang berkahwin dengan lebih daripada empat orang perempuan dalam satu masa. Jadi bagaimana Hassan boleh mengahwini seramai 200 atau 300 orang perempuan? Sudah tentu dengan cara beliau mengahwini empat orang perempuan dalam satu masa kemudian menceraikannya serentak lalu berkahwin dengan empat yang lain pula serentak. Dan begitulah seterusnya sebagaimana yang kita lihat disebutkan di dalam riwayat-riwayat tadi bahawa Sayyidina Hassan adalah seorang yang suka berkahwin dan bercerai. Tetapi bukankah Allah tidak suka kepada orang-orang yang suka menukar-nukar selera dalam soal seks dan bukankah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. ialah perceraian sebagaimana yang kita dapati dalam hadis baik dari kalangan Ahlus Sunnah atau pun Syiah?

HADIS-HADIS DARI AHLUSSUNNAH  :
___________________
Bermaksud:
Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka lelaki dan perempuan yang suka menukar-nukar selera (seks). (riwayat Al-Bazzar dan At-Tobrani di dalam Al-Kabir)
________________
Bermaksud:
Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak (cerai). (Ibnu Majah dan Abu Daud)

HADIS-HADIS DARI GOLONGAN SYIAH.
________________
Bermaksud:
Sesungguhnya Allah benci setiap orang yang suka menceraikan isteri dan suka menukar-nukar selera (seks). (Al-Kaafi jilid 6 ms. 55)   

______________
Jaafar as-Sadiq berkata: “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak dan Allah s.w.t membenci orang yang suka menceraikan isteri dan menukar-nukar selera seks.” (Al-Kaafi jilid 6 ms. 54)

Apakah Sayyidina Hassan tidak mengetahui semua ini atau beliau sengaja melanggarnya dan tidak mematuhi arahannya? Alasan yang diberikan oleh golongan yang menerima cerita ini ialah: “Oleh kerana masyarakat terlalu inginkan pertalian dan perhubungan keluarga dengan Rasulullah s.a.w., mereka sendiri yang mahu mengahwinkan anak-anak mereka dengan Sayyidina Hassan, bukan Sayyidina Hassan yang sebenarnya beria-ia mahu berkahwin.” Sebagai bukti mereka mengemukakan bahawa apabila Sayyidina Ali melarang orang ramai daripada mengahwinkan anak-anak mereka dengan Sayyidina Hassan kerana beliau suka menceraikan isteri lantas bangun seorang lelaki daripada Hamdan seraya berkata, “Demi Allah! Wahai Amirul Mukminin! Kami pasti akan mengahwinkannya dengan sesiapa yang dia mahu. Jika dia mahu mengekalkannya terus sebagai isterinya terserah kepadanya dan jika dia mahu menceraikannya juga terserah kepadanya.” Mendengar kata-kata itu Sayyidina Ali amat gembira lantas beliau mengungkapkan satu syair bermaksud,
"Andaikata aku penjaga pintu syurga, nescaya akan kukatakan kepada penduduk Hamdan, “Masuklah kamu ke dalamnya (syurga) dengan selamat sejahtera.” (Ihya' Ulumiddin, jilid 2, ms. 54 dan Al-Kaafi, jilid 6, ms. 56)

Sementara golongan Syiah pula memberi alasan dengan mengatakan apa salahnya kalau Hassan berkahwin sampai 300 orang menurut riwayat mereka itu. Bukankah perkahwinan mut`ah mengharuskan seorang lelaki berkahwin sampai seribu orang? (Lihat Al-Istibsor, jilid 3, ms. 147, Tahzibul Ahkam, jilid 7, ms. 259)
Jadi apa yang dikatakan Hassan berkahwin sampai lebih daripada 200 orang atau 300 orang itu adalah perkahwinan secara mut'ah, bukan perkahwinan biasa.

Bagaimanapun yang menjadi persoalan ialah di dalam perkahwinan mut'ah tidak ada talak dan cerai. Tidak ada erti dikatakan Hassan suka mencerai isteri-isterinya jika perkahwinan dengan mereka adalah perkahwinan mut'ah. Perceraian bagi Syiah juga adalah khusus untuk perkahwinan biasa yang tidak boleh melebihi empat orang. Jadi alasan ini sebenarnya lemah.

Alasan lain yang dikemukakan oleh seorang tokoh Syiah bernama Zuhurul Hassan Brailwi di dalam komentarnya terhadap Jilaul-Uyun pula ialah, “Sebabnya Hassan selalu berkahwin dan bercerai ialah boleh dikatakan isteri-isteri yang diceraikannya itu telah mengadakan pakatan jahat dengan Muawiah untuk meracuninya. Apabila Hassan mengesyaki seseorang isterinya bersubahat dengan Mu'awiah untuk membunuhnya, beliau lantas menceraikannya, seolah-olah semua isterinya itu boleh dibeli oleh Muawiah.” Dan jika begitulah keadaannya, di manakah gambaran persetujuan dan keinginan untuk mengadakan hubungan dengan keluarga Rasulullah s.a.w. yang selalu ditonjolkan-tonjolkan itu sekiranya mereka semua mahukan kematian Hassan? Di manakah ada kebenaran cerita yang dikemukakan di dalam Jilaul-Al-Uyun, “Bahawa isteri-isteri Hassan (termasuk yang telah diceraikannya) keluar menangisi dan meratapi Hassan apabila mereka mendapat tahu tentang kematian beliau dalam keadaan tidak berkasut”? Semuanya ini menampakkan mereka sangat kasih kepada Sayyidina Hassan. Bagaimana pula mereka tergamak untuk meracuninya? (Jilaul-Al-Uyun, jilid 1, ms. 439)

Satu persoalan lain yang akan timbul apabila kita mengatakan Sayyidina Hassan menceraikan isteri-isterinya kerana mereka bersubahat dengan Muawiah dan diupah oleh Mu'awiah untuk meracuni Hassan ialah: Kenapakah Sayyidina Hassan tidak menceraikan isterinya yang bernama Ja`dah bt Al-As'ath yang sememangnya diketahui beliau akan meracuninya? Kerana mengikut ajaran Syiah, seseorang Imam mengetahui bagaimana dia akan mati dan bila dia akan mati. Bukankah dengan tidak menceraikan Ja`dah itu seolah-olah Sayyidina Hassan mahu membunuh dirinya? Apabila beliau telahpun mengetahui berdasarkan wahyu bahawa beliau tidak akan mati di tangan isteri-isterinya yang lain, kenapa pula beliau menceraikan mereka sedangkan Ja'dah yang sememangnya akan meracuninya tidak diceraikannya?

Sesungguhnya riwayat dan cerita seperti ini tidak dapat bertahan apabila diuji dengan penguji ilmu riwayat dan dirayah. Kepalsuannya akan terus terbongkar apabila kita menilainya dengan neraca ilmu ini kerana tidak ada satupun cerita ini sampai kepada kita dalam bentuk yang muttasil (bersambung-sambung mata rantai periwayat).

Suyuti menyebutkan riwayat ini terdapat di dalam Tabaqat Ibnu Saad. Beliau tidak mengemukakan sanad cerita ini dengan lengkap. Apabila diperiksa di dalam Tabaqat Ibnu Saad yang ada pada hari ini, tidak ada pun cerita ini. Kalau diandaikan cerita ini memang ada di dalam Tabaqat sekalipun, apalah nilainya kerana boleh dikatakan 80% daripada kandungannya itu diambil oleh Ibnu Saad daripada Waqidi yang terkenal sebagai seorang pendusta mengikut ahli-ahli ilmu rijal.

Perawi-perawi lain juga terdiri daripada orang-orang yang kebanyakannya lemah. Bagaimanapun di mana ada kebenaran rujukan Suyuti ini sekiranya di dalam kitab rujukannya sendiri tidak terdapat cerita itu? Imam Al-Ghazali juga langsung tidak menyebutkan sanad dan punca dalam mengemukakan cerita ini. Tentu sekali Imam Ghazali tidak menyaksikan peristiwa Sayyidina Hassan berkahwin dengan sekian ramai perempuan kerana Imam Ghazali wafat pada tahun 505 hijrah sedangkan Sayyidina Hassan telah wafat pada tahun 50 hijrah. Hanya ada satu cara untuk Imam Ghazali mengetahuinya iaitu melalui rantaian sanad tetapi telah terbukti bahawa tiada sanadnya.

Bagaimanapun beliau agak bertanggungjawab dalam mengemukakan cerita ini apabila beliau mengemukakannya dengan “yuqaalu” dan “qiila” yang memberi makna “kata orang” atau “dikatakan”. Sighah tamridh seperti ini dalam ilmu riwayat hadis menunjukkan cerita ini tidak berasas, hanya ia merupakan khabar-khabar angin atau kalau adapun sandarannya, maka sandarannya itu bukanlah boleh dipertanggungjawabkan kerana kelemahannya. Namun tetap mendukacitakan kerana Imam Ghazali kemudiannya terus menjadikan kisah Sayyidina Hassan suka menceraikan isterinya sebagai dalil bagi keharusan menceraikan isteri dan sunnah menggantikannya dengan yang lain sekiranya hatinya belum tenang dengan si isterinya itu. Padahal sepatutnya setelah cerita ini dikemukakan dengan sighah tamridh oleh beliau sendiri, beliau tidak lagi menjadikannya sebagai dalil untuk sebarang hukum.
(Lihat Ihya Ulumiddin, jilid 2, mukasurat 30)

Bagaimanapun mujurlah Imam Ghazali tidak dianggap seorang yang muktabar dalam ilmu hadis kerana itulah banyak sekali hadis-hadis dan atsar yang dikemukakan oleh beliau di dalam Ihya'nya itu dipertikaikan malah dikatakan palsu oleh sebahagian besar tokoh-tokoh ulamak hadis. (Lihat At-Ta'liqul-Haafilah `alal-Ajwibatil Faadhilah, ms. 118, Abdul Pattah Abu Ghuddah)

Daripada sedikit sebanyak perawi yang disebutkan seperti diriwayatkan daripada Ali bin al-Husain dan Abdullah bin Hassan bin Hassan dapat dikesan bahawa cerita ini berpunca daripada golongan yang mendakwa cintakan Ahlul Bait kerana nama-nama ini adalah nama-nama orang yang dianggap mereka sebagai imam di dalam kitab-kitab mereka sendiri sebagaimana disebutkan tadi. Ertinya kisah ini langsung tidak berasas di sisi Ahlussunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada prinsip-prinsip percaya kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang benar. Cerita ini kalaupun tersebar di kalangan mereka hanyalah kerana terpesona dan terpedaya dengan fitnah dan kekarutan yang disebarkan oleh Syiah. Jelasnya kita tidak mengesani cerita ini dalam kitab-kitab Ahlus Sunnali Wal Jamaah yang muktabar. Hafiz Ibnu Hajar juga dalam Tahzib at-Tahzib ketika membawa riwayat ini tidak mengemukakan sanad-sanadnya. Jadi kesahihannya tidak boleh dipertanggungjawabkan.

IMPLIKASI DARIPADA MENERIMA RIWAYAT INI.

Implikasi daripada menerima cerita ini kita melihat kesan-kesan yang berbeza pada penerimanya.

1) Ada di antara mereka menganggap cerita ini hanya sebagai satu cerita yang tidak boleh dijadikan sebagai contoh teladan dalam erti kata lain ia hanya khusus untuk Sayyidina Hassan. Mungkinlah dengan apa cara yang mereka sendiripun tidak memahaminya! Sayyidina Hassan sebagai cucu Rasulullah s.a.w. seorang pemimpin Islam yang istimewa di zaman permulaan, tentu sekali telah melakukan keadilan walaupun telah menceraikan 300 orang isterinya dan kita tidak layak mengharungi perbicaraan untuk menentukan wajar atau tidak wajarnya perbuatan Sayyidina Hassan itu.

2)  Golongan yang kedua pula memang telah menjadikan Sayyidina Hassan itu sebagai contoh yang patut diikuti. Tidak lama dahulu satu kumpulan yang kemudiannya disahkan sesat dan menyeleweng daripada aqidah Islam telah menjadikan perbuatan Sayyidina Hassan mengahwini lebih dari 200 orang perempuan kemudian menceraikan mereka sebagai alasan untuk mempraktikkannya dalam kehidupan kekeluargaan mereka dengan menanam fahaman bahawa isteri-isteri yang sudah agak tua sewajarnya menarik diri dan mempelawakan kepada suami supaya dicerai untuk memberi laluan kepadanya berkahwin dengan perempuan-perempuan lain. Kenyataan-kenyataan ini boleh dilihat dalam tulisan-tulisan dan pengajaran-pengajaran kumpulan ini kerana kononnya perempuan yang ideal dan calon ahli syurga pada anggapan mereka ialah perempuan yang bersedia mengorbankan dirinya dengan diceraikan oleh suami. Justeru mereka juga mengaitkan golongan mereka dengan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak membenarkan perkahwinan dengan lebih daripada empat orang perempuan dalam satu masa. Jadi satu-satunya cara untuk mencontohi Sayyidina Hassan adalah dengan mengahwini empat orang perempuan dalam satu masa dan kemudian menceraikan mana-mana satu daripada mereka untuk digantikan dengan yang lain.
3)  Golongan Syiah pula menganggap perbuatan Sayyidina Hassan sebagai satu bukti yang kuat membenarkan perkahwinan mut'ah kerana perkahwinan biasa mesti tidak lebih dari empat orang dalam satu masa tetapi jika perkahwinan itu berlaku secara mut'ah, lebih daripada itupun boleh. Bahkan mereka mendakwa selain daripada Sayyidina Hassan, Sayyidina Ali dan Rasulullah s.a.w. sendiripun telah berkahwin secara mut'ah. Perempuan yang telah berkahwin secara mut`ah pada mereka sama seperti hamba sahaya yang tidak terikat dengan bilangan empat sahaja untuk dikahwini.

4)  Golongan keempat pula ialah golongan orientalis yang menjadikan cerita Sayyidina Hassan ini sebagai bahan olok-olokan dan ejekan terhadap Sayyidina Hassan sendiri dan terhadap ajaran agama Islam yang nampaknya terlalu tidak bertanggungjawab dan memperhambakan jenis perempuan sebegitu rupa.

Adakah ajaran Islam yang membenarkan perkahwinan yang kosong daripada tanggungjawab dan sepi daripada belas kasihan seperti itu boleh diterima oleh manusia sebagai ajaran yang datang daripada Allah s.w.t? Mereka menyimpulkan Sayyidina Hassan sebagai seorang yang suka berpoya-poya dan tidak mahu memikul tanggungjawab apabila beliau berkahwin dan bercerai sebanyak yang tersebut itu dan apabila didapati juga di dalam sejarah bahawa Sayyidina Hassan berjanji dengan Mu'awiah sebagai satu syarat beliau menyerah kuasa kepada beliau ialah beliau (Mu`awiah) hendaklah memberikan hasil mahsul Daarul Irbahd di Iraq sepanjang hayatnya dan 5 juta dirham untuk dirinya pada tiap-tiap tahun di samping dua juta dirham untuk saudaranya Husain. -Ensiklopedia Islam, jilid 7, ms 401-402, edisi Arab.

Ini semuanya bagi mereka tidak lain melainkan untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab pemerintahan dan untuk berpoya-poya dengan sepuas-puas hatinya tanpa sebarang ikatan terhadap tugas pemerintahan. Perkara ini boleh dilihat dalam Ensiklopedia Islam tulisan orientalis H. Lammens di bawah tajuk "Biografi Hassan bin Ali".

Ringkasnya, kita melihat tidak ada satu pun kesan baik daripada menerima cerita ini malah ia menimbulkan pelbagai kekeliruan dan dilema di kalangan masyarakat yang menerimanya di samping kecelaruan dan haru-birunya rumahtangga orang-orang yang cuba mencontohi Sayyidina Hassan (kononnya) dalam soal ini.

Kepalsuan ccrita ini ditinjau dari sudut dirayat (akliah) dapat dilihat dari beberapa sudut berikut:
1)   Sayyidina  Hassan   dikatakan  telah berkahwin  dengan  300  orang  perempuan  tetapi berdasarkan sumber-sumber rujukan yang ada menunjukkan beliau hanya mendapat lapan orang anak lelaki sahaja sebagaimana yang disebutkan oleh Ya'qubi iaitu:
I.          Hassan - anaknya dari Khaulah bt Manzur.
II.        Zaid - dan isterinya Ummu Basyir bt Abi Mas'ud al-Ansari.
III.       Umar  
IV.       Qassim
V.        Abu Bakar
VI.       Abdul Rahman
VII.     Talhah
VIII.    Ubaidullah
Keenam-enam mereka ini adalah anak-anak daripada hamba sahayanya.
Taarikh Ya'qubi - jilid 2 ms. 137

Tetapi menurut Ibnu Qutaibah, anak-anak beliau tujuh orang sahaja semuanya iaitu:
I.          Hassan - Ibunya ialah Khaulah bt Manzur
II.        Zaid
III.       Ummul Hassan - Ibu mereka berdua ialah bintul Uqbah bin Mas'ud.
IV.       Umar - Ibunya ialah perempuan Tsaqafiah.
V.        Husain Al Athram - anak dari seorang hamba sahayanya.
VI.       Talhali - Ibunya ialah Ummu Ishaq bt Talhah bin Ubaidullah.
VII.     Ummu Abdillah - anak dari seorang hamba sahayanya.
(Liliat  Al-Ma'arif m.s. 92)

Adakah seorang yang berkahwin dengan 300 orang perempuan hanya mempunyai 7 orang atau 8 orang anak sahaja?

Adakah Sayyidina Hassan tidak mengetahui hadis-hadis yang mengutuk perceraian dan orang-orang yang suka menukar-nukar selera dalam soal seks seperti yang telah dikemukakan di atas tadi.

Adalah mustahil untuk diterima bahawa Sayyidina Hassan tidak mengetahui hadis-hadis ini apalagi untuk melanggarnya setelah mengetahuinya.

Alasan yang mengatakan orang ramai mahu menjalin hubungan dengan Rasulullah s.a.w. melalui cucu Baginda Hassan dengan memberikan anak-anak mereka kepada beliau walaupun untuk semalaman sahaja juga tidak boleh diterima kerana kenapakah sikap seperti ini ditunjukkan kepada Sayyidina Hassan sahaja? Bukankah Rasulullah s.a.w. mempunyai cucu-cucu yang lain juga seperti Sayyidina Hussain? Tetapi adakah pelawaan sebegitu rupa juga pernah terjadi untuk Sayyidina Hussain umpamanya? Bukankah mereka dapat menjalin hubungan itu melalui perkahwinan dengan cucu-cucu Rasulullah s.a.w. yang lain? Yang jelasnya, tidak terdapat pula cerita-cerita seumpama itu yang dikaitkan dengan mereka.

Di satu pihak kita nampak masyarakat ditonjolkan sebagai suka dengan tindakan Sayyidina Hassan berkahwin lalu bercerai dengan anak-anak mereka sedangkan di pihak lain masyarakat pada masa itu digambarkan tidak suka dengan sikapnya yang seperti itu. Bahkan Sayyidina Ali sendiri melarang orang ramai daripada mengahwinkan anak-anak mereka dengan Sayyidina Hassan dengan alasan beliau suka menceraikan isteri.

Selain dari itu ada juga yang menganggap Sayyidina Hassan tidak layak memerintah kerana hidupnya yang sibuk dengan soal-soal perkahwinan dan perceraian. Ini bermakna perbuatan Sayyidina Hassan itu tidak disenangi mereka.

Kisah Sayyidina Hassan menunjukkan dengan jelas kekosongan jiwanya dari sifat belas kasihan dan kasih sayang. Beliau jelas ditonjolkan sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri. Perkahwinannya dengan mana-mana perempuan adalah semata-mata untuk memuaskan nafsu liarnya buat sementara waktu sahaja. Ini jelas dapat dilihat dalam kitab Ihya Ulumiddin.

Bahawa Sayyidina Hassan pernah menghantar utusan membawa talaknya kepada dua orang isterinya. Katanya kepada utusan itu, “Engkau katakan kepada mereka berdua supaya beredah” dan kepada masing-masing dikirimkan wang sebanyak 100,000 dirham. Bila utusan itu pulang dari tugasnya, Sayyidina Hassan bertanya, “Apa reaksi mereka berdua?” Kata utusannya, “Salah seorang darinya menekur dan menundukkan kepalanya sementara yang seorang lagi menangis tersedu-sedu." Aku mendengar dia berkata, "Apalah ertinya pemberian yang kecil ini dari seorang kekasih yang akan berpisah!"

Sayyidina Hassan pun menundukkan kepalanya dan menampakkan kasihan kepada perempuan itu tetapi ia kemudiannya berkata, “Andaikata aku akan merujuk seseorang isteriku setelah aku menceraikannya, nescaya aku akan merujuk isteriku ini.” (Ihya Ulumiddin, ms. 53)

Dalam kitab yang sama diceritakan bahawa pada suatu hari, Sayyidina Hassan pergi menemui Abdul Rahman bin Al-Harits bin Hisyam seorang pemimpin dan faqih di Madinah. Beliau adalah seorang yang tidak ada tolok bandingnya di Madinah ketika itu sehingga Sayyidatina Aisyah membuat perbandingan dengannya apabila dia berkata, “Andaikata aku tidak keluar dalam peristiwa Jamal itu, nescaya lebih aku sukai daripada mendapat 16 orang anak lelaki daripada Rasulullah s.a.w. seperti Abdul Raliman bin Al-Harits bin Hisyam ini.”

Alkisah Sayyidina Hassan masuk ke dalam rumah Abdul Rahman yang cukup memuliakannya dan menghormatinya. Dia berkata kepada Sayyidina Hassan dengan penuh hormat, “Kenapa tuan tidak menghantar sahaja utusan kepadaku agar aku dapat pergi menemuimu?” Sayyidina Hassan menjawab, “Oleh kerana ini hajat saya, biarlah saya yang datang.” Abdul Rahman bertanya, “Apa hajatmu itu?” Sayyidina Hassan menjawab, “Aku datang untuk meminang anakmu.” Abdul Rahman menundukkan kepalanya sejenak lalu berkata, “Demi Allah! Tiada siapa pun di atas muka bumi ini yang lebih aku muliakan daripadamu. Tetapi seperti yang tuan telah sedia maklum, akan menyakitiku apa yang menyakiti anak perempuanku dan akan menggembirakanku apa yang menggembirakannya, sedangkan tuan (dimaklumi sebagai) seorang yang suka menceraikan isteri. Aku bimbang tuan akan menceraikannya pula. Jika itulah berlaku, aku risau hatiku berubah terhadapmu kerana tuan adalah sebahagian daripada Rasulullah s.a.w. Jika tuan menerima syarat untuk tidak menceraikannya, nescaya aku akan mengahwinkan tuan dengannya.” Sayyidina Hassan diam lantas bangun dan terus beredar lalu pergi sambil merungut, “Abdul Rahman hanya mahu memakaikan belenggu di tengkukku." (Ibid, ms. 53, 54)

Adakah kita boleh menerima gambaran peribadi Sayyidina Hassan yang sedemikian? Bukankah kelihatan pada sikap Sayyidina Hassan seperti yang tergambar pada cerita-cerita di atas sifat seorang lelaki yang terlalu mementingkan diri sendiri, tidak ada langsung belas kasihan dan hanya tahu memuaskan nafsunya semata-mata. Adakah orang yang disebut-sebut oleh Nabi s.a.w. sebagai penghulu atau ketua pemuda ahli syurga boleh diterima berperangai demikian?

Samada kita menerima perangai Sayyidina Hassan yang seperti itu sebagai pekerti yang baik dan disenangi atau kita menolak terus cerita-cerita seumpama ini yang dikaitkan dengannya kerana andaikata kita menerimanya, kenapa pula kita tidak mencontohinya dengan mengahwini perempuan seramai mungkin? Barangkali Sayyidina Hassan telah layak mendapat gelaran "Ketua Pemuda Ahli Syurga" ini kerana sikapnya yang tersebut? Atau kalau kita tidak dapat menerima perbuatan yang sedemikian berlaku dari seorang yang mulia seperti Sayyidina Hassan dan tentu sekali kita tidak dapat menerimanya kerana sudikah ibubapa-ibubapa di kalangan kita menyerahkan anak-anak perempuannya kepada seseorang biar bagaimana sekalipun beliau dimuliakan oleh masyarakat, semata-mata untuk menjadi bahan memuaskan nafsunya.

Bukan kita sahaja yang tidak dapat menerima orang yang berperibadi demikian bahkan orientalis barat dan sesiapapun tidak dapat menerima kelakuan seperti ini kerana kalau mereka dapat menerimanya, kenapa pula Sayyidina Hassan menjadi bahan olok-olokan dan ejekan mereka, apabila mereka mengetahui peribadi Sayyidina Hassan seperti yang tergambar pada cerita-cerita yang tersebar dalam buku-buku seperti yang disebutkan tadi.

Sebenarnya tiada siapa dapat menegaskan bahawa semua orientalis yang mengkaji Islam itu tidak ikhlas dalam kajiannya? Mungkin sekali ada di antara mereka yang bersikap terbuka dan memang ikhlas dalam mengkaji Agama Islam tetapi dengan adanya cerita-cerita yang seperti ini dalam kitab-kitab ulamak-ulamak Islam yang menjadi ikutan ummat, mereka jijik dengan Islam lantas bukan semakin hampir mereka dengan Islam, malah sebaliknya mereka lari sejauh-jauhnya dari Islam di sampung mengecam dan mengutuknya setelah mengkaji Islam sekian lama. Siapakah yang sebenarnya bersalah dalam soal ini? Siapakah yang boleh dipertanggungjawabkan terhadap kebutaan mata hati golongan orientalis yang terus meraba-raba dalam kajiannya? Kalau ulamak-ulamak Islam sendiri dengan umatnya buta sejarah mereka sendiri, bagaimana mungkin kita dapat mencelikkan mereka? Sebab itu penulis berasa amat dukacita apabila Syeikh Ahmad Muhammad Shakir dalam komentarnya terhadap Ensiklopedia Islam yang mengumpulkan rencana-rencana orientalis, tidak menafikan dan menolak terus kisah yang dikaitkan dengan Sayyidina Hassan ini yang telah menyebabkan penulis artikel Biografi Sayyidina Hassan telah membuat kesimpulan bahawa Sayyidina Hassan sebenarnya seorang yang suka berpoya-poya dengan perempuan berdasarkan riwayat-riwayat yang sememangnya terdapat di dalam kitab-kitab kita. Malah Syeikh Ahmad Muhammad Syakir menempelak orientalis H. Lammens dengan mengatakan bahawa nilai kesucian diri di kalangan umat Islam berbeza dengan nilai-nilai yang diterima oleh orang-orang barat, maksud beliau, walaupun Sayyidina Hassan mengadakan hubungan dengan sekian ramai wanita tetapi melalui perkahwinan. Berbeza dengan masyarakat barat yang berkahwin secara legal hanya dengan seorang perempuan tetapi di samping itu mereka tetap mengadakan hubungan di luar batasan perkahwinan dengan seberapa ramai wanita yang mereka sukai.

Jawapan yang seperti ini sebenarnya bukan akan mencelikkan mata hati golongan bukan Islam malah akan semakin mengusutkan mereka? Alangkah baiknya jika Syeikh Ahmad Muhammad Syakir terus menyangkal cerita-cerita yang dikaitkan dengan Sayyidina Hassan itu kerana ia tidak terbukti berdasarkan ilmu riwayat yang diterima pakai di kalangan ulamak-ulamak Islam di samping ia bercanggah pula dengan akliah umat Islam seperti yang telah kita sebutkan tadi.

Jika dilihat dari sudut sumber dan punca cerita ini, di sana ada dua golongan yang mungkin menjadi punca penyebaran cerita ini.

I.   Golongan Ahlus Sunnah (AS)
II.   Golongan Syiah

Kemungkinan Ahlus Sunnah menjadi punca penyebar cerita ini boleh dilihat kerana terdapatnya di dalam sesetengah kitab Ahlus Sunnah. Tetapi kisah-kisah yang terdapat di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah tidak ada satu pun yang boleh dipegangi dan dipercayai kerana tidak lengkap sanadnya dan ia tidak pula sesuai dengan kepercayaan dan ajaran-ajaran prinsip Ahlus Sunnah yang tidak membenarkan perkahwinan lebih daripada empat di samping ia bertentangan dengan ajaran sunnah Nabi s.a.w. yang dengan banyak sekali melarang daripada bercerai dan daripada menukar-nukar selera seks. Selain itu tidak ada sebab yang agak boleh diterima untuk dikatakan Ahlus Sunnah (diperingkat permulaannya) bermaksud memburuk-burukkan Sayyidina Hassan dengan menghubungkan cerita-cerita tersebut kepadanya kerana menurut kepercayaan Ahlus Sunnah mereka semestinya menerima baik dan mengasihi Ahlul Bait atau keluarga Rasulullah s.a.w. secara kesuluruhannya apa lagi cucu Nabi s.a.w.

Adalah lebih munasabah untuk diterima akal jika cerita-cerita seperti ini dikatakan berpunca daripada Syiah kerana pada zahirnya mereka mendakwa cintakan Ahlul Bait bahkan menjadikan mereka (termasuk Sayyidina Hassan) sebagai ikutan. Hal ini pada hakikatnya hanya berlaku di zaman kemudian tetapi jika kita mengimbau kembali sejarah, Sayyidina Hassan menyerah kuasa dan berbai'ah kepada Sayyidina Mu'awiah. Apakah akibat yang diterima oleh Sayyidina Hassan pada ketika itu hasil daripada bai'ah dan penyerahan kuasanya kepada Sayyidina Mu'awiah? Ini semua dapat kita lihat di celah-celah lipatan sejarah yang menyaksikan bahawa ada di antara mereka yang mengatakan kepada Sayyidina Hassan, “Wahai orang yang menghinakan orang-orang mukmin!” Ada yang berkata kepadanya, “Wahai orang yang menghitamkan muka orang-orang mukmin!” (Rijaalul Kassyi ms. 103) Pada ketika itu ada yang bersikap biadab terhadap Sayyidina Hassan dengan menarik sejadah tempat duduk Sayyidina Hassan sehingga hampir rebah Sayyidina Hassan kerananya, malah ada yang bertindak lebih kejam dari itu apabila dia menikam Sayyidina Hassan dengan lembingnya sampai hampir lembus paha beliau. (Kasyful Ghummah ms. 540, Al-Fusuulul Muhimmah ms. 162, Muruuju-Azzahab jilid. 2 ms. 480) Akibat kecewa dengan keputusan Sayyidina Hassan itu timbullah bibit-bibit kebencian di dalam hati mereka yang kemudiannya mendorong mereka mengadakan bermacam-macam cerita berhubung Hassan yang tidak layak dilakukan oleh orang biasa sekalipun termasuklah kisah beliau berkahwin sampai 300 orang itu.

Lebih menyokong dakwaan ini ialah kerana cerita-cerita ini terdapat di dalam kitab-kitab Syiah dengan sanad yang muktabar dan ada pula lojiknya apabila kita menyedari bahawa mereka memang menerima perkahwinan mut'ah yang hanya mengambil kira kepuasan nafsu dan tidak terikat pula dengan 4 orang sahaja. (Al-Furuu'u minal Kaafi jilid. 5 ms. 452, Al-Istibsaar jilid. 3 ms. 147 & 242 )

Cerita-cerita seperti ini direka oleh mereka untuk membuktikan Sayyidina Hassan memang tidak layak memerintah kerana bagaimana beliau akan memerintah jika hanya asyik berkahwin dan bercerai yang tentu sekali menyebabkan kebencian dan permusuhan dari pihak keluarga isteri-isteri yang diceraikannya itu? (Taarikhul Khulafaa’ 178)

Dan tidak ada yang penting bagi Sayyidina Hassan selain dari memuaskan nafsunya. Kerana itulah dia menyerahkan kuasanya kepada Mu'awiah walaupun menyedari Mu'awiah seorang yang zalim malah kafir (pada pandangan Syiah). (Rijaalul Kassyi ms. 103, Haqqul Yaqin ms. l67)

Ertinya oleh kerana Sayyidina Mu'awiah tidak dapat diterima oleh mereka kerana kekafiran dan kezalimannya tetapi bagaimana pula Sayyidina Hassan sebagai Imam Kedua yang dipercayai maksum oleh mereka telah berbaiah kepadanya? Malah bagi Ahlus Sunnah Wal Jamaah tindakan Sayyidina Hassan menyerahkan kuasa kepada Sayyidina Mu`awiah merupakan sebesar-besar bukti dan kewajarannya menjadi khalifah. Keadaan inilah membuntukan fikiran mereka lalu untuk memecahkan kebuntuan itu mereka ada-adakan cerita ini. Di samping itu oleh kerana mereka telahpun menerima dan menetapkan Sayyidina Hassan sebagai Imam kedua mereka padahal Imam ini telah melakukan kesilapan besar yang tidak dapat dimaafkan menurut kepercayaan mereka iaitu menyerah kuasa dan berbaiah kepada Sayyidina Mu'awiah. Untuk dihapuskan langsung Sayyidina Hassan daripada senarai Imam Dua Belas adalah sesuatu yang mustahil kerana ia telah ditetapkan tetapi sebagai membalas dendam terhadap Sayyidina Hassan, mereka kemudiannya telah memutuskan silsilah Imamah daripada keturunan Sayyidina Hassan lalu meneruskan silsilah itu menerusi keturunan Sayyidina Husain.

Inilah hakikat sebenar di sebalik penyingkiran keturunan Sayyidina Hassan daripada kedudukan Imamiyyah. Tetapi yang ditonjol-tonjolkan sebagai sebabnya ialah tidak layaknya Sayyidina Hassan dan keturunannya memegang tampuk Imamah atau pemerintahan justeru peribadinya yang suka berpoya-poya di samping kebencian dan permusuhan dari pihak keluarga kabilah dan masyarakat di mana anak-anak perempuan mereka telah dipermain-mainkan oleh Sayyidina Hassan.