Wednesday, July 22, 2009

MENCARI HASSAN ALBANNA KEDUA

Rencana khas sempena ulangtahun ke 53 pemergian As Syahid Hasan Al Banna (12/2/2002) Tanggal 12 Februari 1949 telah meninggalkan sejarah hitam bagi gerakan Islam seluruhnya. Dunia kehilangan seorang ulama' ulung yang mempelopori gerkan mengembalikan Islam ke puncak kegemilangannya.

As Syahid Hassan Al Banna belum sempat melihat Islam didaulatkan kembali setelah kejatuhan khilafah Othmaniyyah, tetapi beliau telah menang dalam pertarungan mendapatkan syahid. Pemergian beliau bukan secara kebetulan, tetapi ia merupakan pembunuhan kejam yang terhasil daripada perancangan musuh-musuh Islam yang berselindung di belakang Raja Faroq.

Dua bulan sebelum kejadian, gerakan Islam yang diasaskan oleh As Syahid Hasan Al Banna telah diharamkan oleh kerajaan Mesir. Kesemua cawangannya di sana yang berjumlah lebih daripada 3,000 diarahkan supaya dibubarkan dan sekiranya masih beroperasi akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas. Bukanlah suatu yang baharu bagi pemimpin Mesir menjadi 'pak turut' kepada negara-negara Barat.

Dalam mengharamkan gerakan Islam ini, kerajaan Mesir secara jelas mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain. As Syahid Syed Qutub yang berada di Amerika ketika pembunuhan Hasan Al Banna menceritakan bagaimana rakyat Amerika Syarikat berpesta apabila menerima berita kematian Hassan Al Banna.


TRAGEDI

Ketika kejadian, Hassan Al Banna berjalan bersendirian di jalan Ramsis, Kaherah berhampiran dengan pejabat Jam'iyatus Syubbanil Muslimin (Persatuan Pemuda Islam). Bukti perancangan mereka terbukti apabila jalan yang biasanya sibuk itu menjadi lengang. Lampu-lampu jalan dipadamkan , semua kedai dan restoran ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melalui jalan berkenaan kecuali sebuah teksi yang beberapakali berulang-alik mencari 'sesuatu.'

Oleh kerana tiada kenderaan lain, Imam Al Banna menahan teksi berkenaan untuk pulang kerumahnya. Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja teksi berkenaan berhenti dihadapan beliau, tubuh beliau terus dirobek oleh peluru-peluru yang dimuntahkan oleh senjata pemandu teksi berkenaan.

Bagi menyempurnakan lakonan sendiwara seterusnya, Imam Al Banna di bawa ke Hospital AlQasrul Aini. Di hospital berkenaan, dengan arahan daripada Raja (Al Malik) Faroq, Imam Al Bana di tinggalkan bersendirian tanpa diberi rawatan kecemasan hinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tarikh 12 Februari, lebih 60 tahun yang lalu menjadi saksi pembunuhan kejam dan terancang pihak berkenaan ke atas imamul-jihad, AsSyahid Hasan Al Banna.

Bukti Perancangan semakin terserlah apabila pada 4/7/49 kerajaan Al Malik Faroq mengisytiharkan anugerah khas kepada konspirator utama yang merancang pembunuhan berkenaan, iaitu ketua di jabatan siasatan jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan. Mereka dianugerahkan elun khas di atas 'jasa dan kesungguhan berkhidmat memastikan keamanan negara.'


TEKANAN

Bergembiralah musuh-musuh Islam dengan kejayaan mereka membunuh pengasas gerakan Islam pertama di dunia selepas kejatuhan khilafah Othmaniyyah. Dengan kejayaan mereka membunuh Imam Al Banna, maka bertambahlah tekanan demi tekanan ke atas pengikut-pengikut serta anak-anak murid Imam Al Banna.

Mereka mencari anggota Ikhwanul Muslimun dari rumah ke rumah serta memenjarakan mereka. Rumah As Syahid Imam Al Banna tidak terkecuali daripada pemeriksaan. Bahkan mereka mengadakan kawalan khas di sekeliling rumah berkenaan selama dua tahun. Sesiapa pun tidak dibenarkan menghubungi keluarga Imam Al Banna. Sesiapa yang cuba menghubungi keluarga berkenaan akan ditangkap dan dipenjarakan. Talian telefon di rumah berkenan dipotong.

Tidak cukup dengan itu, mereka akhirnya mengeluarkan arahan supaya rumah berkenaan dirobohkan dengan alasan ianya sudah usang dan dibimbangi akan membahayakan orang ramai, sedangkan rumah berkenan masih dalam keadaan elok. Kebimbangan mereka ke atas dakwah Ikhwan ternyata sekali apabila jenazah As Syahid tidak dibenarkan diiringi oleh sesipa pun di kalangan lelaki.

Jenazah beliau diiringi oleh para malaikat dan kaum ibu ke kubur. Lelaki yng mengiringi beliau hanyalah bapanya, Imam Abdul Rahman Al Banna dan Syeikh Makram Abid. Tekanan ke atas anggota-anggota Ikhwan berterusan walaupun Al Malik Faroq sudah tidak berkuasa lagi di bumi Mesir.

Tahun-tahun 1954, 1065 dan 1981 telah merakamkan seribusatu macam kengerian di atas penyiksaan yang dikenakan ke atas anggota Ikhwan. Ramai ulama' dibunuh ditali gantung. Tidak kurang juga yang disiksa dengan pelbagai jenis penyiksaan di dalam penjara yang tidak diketahui di mana letaknya.


GAGAL

Musuh-musuh Islam menyangka mereka berjaya menyekat dakwah Islmiyyah dengan membunuh Imam Al Banna dan menekan pengikut-pengikutnya. Sebaliknya kehendak Allah mengatasi segala-galanya.

Dakwah Islmiyyah ini semakin tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Di sebahagian besar negara Arab kemudiannya ditubuhkan cawangan Ikhwnul Muslimun. Di Turkey ditubuhkan Refah Partisi. Di India, Pakistan dan Bangladesh ditubuhkan Jamaat-E-Islami.

Di Malaysia ditubuhkan Hizbul Muslimin yang kemudiannya diharamkan oleh Inggeris dan digantikan dengan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Di Indonesia, umat Islam menubuhkan Masyumi. Di Palestin di tubuhkan Hamas dan begitulah seterusnya. Parti dan gerakan Islam satu demi satu bercambah hasil daripada 'biasan sinar dakwah' Imam AlBanna rahimahullah.


MENGAPA DIBUNUH?

Ramai berpendapat, Imam Al Banna tidak akan dibunuh jika beliau tidak menyertai jihad menentang Israel pada 1948. Mana mungkin imamul-jihad ini berdiam diri melihat Yahudi meratah-ratah daging saudaranya di bumi Isra'. Sebab itulah beliau menyandang senjata dan mengerahkan umat Islam supaya berjihad, menyahut seruan Allah di dalam Al Quran. Maka 'jihad'lah yaang menjadi punca kemarahan musuh-musuh Islam. Sebelum itu mereka tidak begitu gentar terhadap dakwah Imam Al Banna.

Dakwah yang dilakukan oleh beliau di Mesir adalah dakwah yang penuh dengan hikmah; mengajak manusia kembali kepada Allah, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Hasan Al Banna tidak pernah mengkafirkan sesiapa sesuka hati. Tidak pernah mengarahkan sesiapa melakukan pembunuhan ke atas pemimpin-pemimpin tertentu dan tidak pernah merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Dakwah sebegini lazimnya tidak mengundang sebarang tindakan negatif pihak musuh. Tetapi sebaik sahaja melihat kejayaan beliau mengajak umat Islam Mesir menyerti peperangan terhadap penjajah Israel di bumi Palestin, maka musuh-musuh Islam merasa gerun.

Mereka bimbang, orang yang mampu mempengaruhi orang ramai ini akan menumbangkan kuasa mereka suatu hari kelak. Peristiwa ini seakan-akan sama dengan peristiwa Singapura diserang todak.

Budak yang berjaya menyelamatkan Singapura daripada diserang todak itu akhirnya dibunuh kerana dibimbangi kepintarannya itu akan menyebabkan kuasa raja tumbang suatu hari kelak. JASA 1948 Betapa besarnya jasa Imam Al Banna dalam menggerakkan umat Islam berjihad menentang Yahudi! Dalam keadaan umat Islam terlena dibuai mimpi-mimpi indah, beliau menyedarkan mereka supaya bangkit dan menghalau penjajah di Baitul Maqdis.

Mereka bangkit dan berada di barisan hadapan daripda pasukan tentera Mesir ketika itu.Dengan semangat jihad yang kental yang ditanam oleh Imam Al Banna mereka melangkah gagah dan hampir setiap pertempuran menyaksikan kemenangan berpihak kepada mereka. Ketika mereka sudah berada dipinggir Tel Aviv, kerajaan Mesir memanggil pulang. Dan apabila pulang, mereka dapati pemimpin mereka, Imam Al Banna telah dibunuh dengan kejam. Bahkan mereka yang pulang itu pula ditangkap dan dipenjarakan. Kepulangan mereka bukan disambut dengan bunga manggar mahupun anugerah pahlawan. Bahkan mereka disambut dengan penjara dan tali gantung.

Bermula tanggal berkenaan, Yahudi kembali berkuasa ke atas seluruh Palestin sehinggalah ke hari ini. Mereka kembali melakukan kekejaman ke atas umat Islam tanpa mengira lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak, muda mahupun tua. Dr Ahmad Al-Malat, Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Kaherah yang merupakan salah seorang anak murid Imam Al Banna berkata, ?Kalaulah tidak kerana pengkhiantan yang dilakukan ke atas Imam al Banna nescaya tinta sejarah (Paletin) telah berubah (insyaAllah).? Dr Al-Malat adalah salah seorang doktor bedah yang ditugaskan oleh Imam Al Banna untuk menyertai peperangan menentang Yahudi di Paletin.

Beliau memberikan khidmat kepakarannya kepada mujahidin yang tercedera. Bersempena ulang tahun pemergian Imam Al Banna, Dr Al-Malat yang sudah lanjut usianya berpesan kepada pemuda-pemuda gerakan Islam yang sedang ditekan di seluruh dunia, "Kita mahu pemuda-pemuda yang berkata kepada dunia, 'Cukuplah....'. Kita mahu pemuda-pemuda yang sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan musuh... Sesungguhnya pertembungn diantara hak dan batil berterusan tanpa henti. Dan kita adalah tentera di pihak yang hak. Untuk itu kita perlu menggantikan panglima ini (Imam Al Banna) yang telah menjual dunia dan membeli keredhaan Allah...


MENCARI AL BANNA KEDUA

Kini, ketika dunia sedang menyaksikan penindasan berterusn ke atas umat dan gerakanIslam, kita mengharapkan Allah melahirkan seorang lagi pemimpin Islam seperti Hassan AlBanna. Tidak adakah seorang dikalangan umat Islam kini yang mampu mengembalikan maruah Islamsetelah dirobek-robekkan oleh Amerika, Britain, Israel, Perancis dan sekutu mereka di Palestin, Afghanistan, Iraq, Mindanao, Checnya, Kashmir dan lain-lain. Sudah tibakah masa yang dijanjikan Allah, apabila umat terdahulu diuji dan dicuba lantas berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah akan datangnya pertolongan Allah?" Allah menjawab: "Ketahuilah, pertolongan Allah semakin hampir."


Sunday, July 12, 2009

KELEBIHAN LELAKI PADA AKALNYA

Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.


Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kocar-kacir.


Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.


Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.

Kata orang tua-tua - pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini sudah hampir berkubur. Apa tindakan kita sekarang?


" Moga2 Masa Mudaku akan datang kembali "

Wednesday, July 8, 2009

Mengapa Tarbiyyah??

Islam adalah penuh isi. Isinya semuanya berguna. Gunanya adalah untuk manusia kekal sebagai manusia sebagaimana ia diciptakan seawal kejadiannya. Kejadiannya adalah sebagai sebaik - baik ciptaan oleh tuhan pencipta di alam ciptaannya. Jika manusia tidak mengekalkannya, maka ia boleh bertukar menjadi seburuk - buruk dan sehina - hina makhluk di mata penciptanya.
Deminya Islam diturunkan. Islam adalah Al-Quran dan Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam. Al-Quran adalah isi yang sempurna pengajarannya sedang RasuluLlah adalah pembaca, pengajar dan pendidik manusia yang menerima Al-Quran sebagai petunjuknya. Maka ia adalah Islam yang bermaksud sebuah kesempurnaan. Sebabnya, Al-Quran adalah kalam Allah dalam surah - surah yang dibacakan ke atas hambaNya yang diciptakan. Rasulullah pula adalah utusanNya dari langit yang sengaja disucikan daripada noda demi sebuah pengajaran, qudwah dan ikutan yang sempurna.
Tiada yang mengenal manusia selain Allah. Dia menciptakan manusia dan alam yang mengelilinginya dan mempengaruhinya. Manusia tewas kepada apa yang mempengaruhinya dalam hidupnya. Ia terumbang ambing di antara unsur baik dan unsur jahat yang mengasak kehidupannya. Hasilnya, lahir insan yang begitu tinggi peribadinya dan lahir juga insan yang begitu rendah peribadinya. Kemudian bayangkanlah betapa luasnya ruang yang menjarakkan antara lapisan - lapisan di antara kedua - duanya yang menjadi petunjuk kemulian dan kehinaan manusia.
Bagaimana manusia mampu hidup dalam dunia yang serba asing ini? Manusia hanya bertahan hidup 70 tahun dalam kehidupan raya yang umurnya telah melangkau juta - juta tahun. Banjaran Titiwangsa itu telah menyaksikan datuk kita yang pertama menjejak Tanah Melayu ini beribu tahun dulu sedang kita ini mujurlah sempat melihat Tok Janggut pada potret syahidnya yang mulia. Mana ilmu kita yang ‘tinggi’ itu untuk mengenal erti kehidupan semesta raya ini?
Manusia karam dalam kegelapan kejahilan. Mereka mewarisi kejahilan temurun jauh ke depan mendahului pusaka ilmu yang sedikit. Di mana harus dimulakan ilmu ini? Pastinya ia mesti bermula dari mula iaitu dari mula Adam alaihis salam diciptakan atau dari mula beruk kera ‘datuk Darwin’ diciptakan. Inilah ilmu pertama yang didambakan setiap kita iaitu dari mana kita, mengapa kita di sini dan ke mana kita selepas ini? Siapa Darwin untuk menjawab soalan ini? Adakah dia disemat sakti untuk kembali ke perut ibunya untuk menyelami kehidupan di alam rahim lalu menerobos laluan malaikat ke alam ruh sebelum ditiupkan ke rahim ibu? Itukah Darwin dalam pengenalannya?
Maksudnya adalah pencarian dalam kegelapan. Berani yang membuta tuli. Apa ertinya selain kesesatan yang bertambah dan kekalahan yang mengecewakan.
Tetapi manusia tidak dibiarkan begitu selamanya. Ada tangan yang menghulur. Ada pertolongan yang tiba. Ada keajaiban yang hebat. Maka lahir manusia yang tidak dilihat kekecewaannya lantaran pengetahuannya yang hebat mengenai kehidupan. Dia hidup dalam dunia yang benar. Pegangannya benar. Pendiriannya benar. Cakapannya benar. Tindakannya benar dan ajakannya adalah benar. Benar adalah kebenaran dan kebenaran itulah al haq. Al-haq adalah mutiara kehidupan dan tiangnya.
Mengapa lahir manusia seperti ini dalam kelam duniawi ini? Itulah kerana keajaiban yang dimaksudkan. Kerana pertolongan yang tiba dari pencipta manusia yang mengetahui segalanya mengenai manusia. Dialah Allah tuhan yang menciptakan segalanya. Tiada sesiapa sebelum dan selepasNya.
Allah memberi kita sinar yang memancar. Dialah cahaya langit dan bumi. Sinar itulah Al-Quran dan tubuh qudwah sallaLlahu alaihi wasallam.
Al-Quran adalah isi yang penuh. Di dalamnya pengajaran yang penuh kebenaran yang berguna. Rasulullah adalah utusanNya. Baginda membacanya, mengajarnya dan menyucikan manusia daripada kelam kejahilan dan dosa.
Manusia adalah ruh yang dibalut tanah. Ruh adalah dari sisi Allah, diturunkan lalu ditiupkan ke dalam kerangka dari tanah yang diuji kesempunaannya sebagai ciptaan terbaik. Manusia adalah ruh langit yang bertandang buat sementara di bumi ini.
Ia mulia kerana ia adalah dari sisi Allah. Maka, mengenali ruh adalah sebaik - baik ilmu untuk manusia. Allah memberi kita ilmu yang sedikit tetapi mencukupi untuk mengenal diri dan kehidupan secara yang benar dan membahagiakan.
Jika kita memahami ini, kita akan lebih mudah untuk mengerti mengapa ilmu pendidikan hati dan jiwa menjadi begitu penting dan mesti. Tarbiyyah adalah inti pengajaran Al-Quran yang melengkapkan pengajaran akidah dan syariat. Kita bergerak dan berfikir pada laluan dan lenggok hati yang berbagai - bagai. Di situlah jatuh bangun mausia berterusan.

Thursday, July 2, 2009

Aku Di Kampus Baru

Assalamualaikum buat semua teman-2 mayaku..sory lama xupdate blog..sekarang ni ana baru sahaja mendaftar di tempat baru untuk menyambung pengajian..agak letih juga kena denda pad minggu orentasi ari 2,tp best tak terkata,sebab biasanya kita denda orang, tp ni kt pula yg kena denda..

memang best dok kat cni,tp gak xleh sambung luar negara lagi la nampaknye..tp xpe,hajat di hati tamat sahaja belajar kat sini nak sambung terus master kat luar negara..belajar setakat ijazah xnampak sangat ilmunya..perlu juga seorang yang berjuang untuk mencapai apa yang di cita-citakan didalam hidup sebelum membina sebuah keluarga muslim...

nanti kalau nak tahu apa-apa info terbaru kat cni bagi tahu je kat ana..insyaAllah ana infokan kepada semua

Saturday, June 13, 2009

KEUNIKAN GERAKAN ISLAM TURKEY


KEUNIKAN GERAKAN ISLAM TURKEY
SETELAH tumbangnya Daulah Uthmaniyyah pada tahun 1924, muncul kerajaan Turki Moden yang ditubuhkan oleh Musthapa Kamal Ataturk yang mengamalkan dasar sekular. Sekular berasal daripada perkataan Latin ‘saeculum’ yang mempunyai pengertian masa dan tempat atau kedudukan. Menurut Syed Naquib al Attas, faham sekular merujuk makna pengasingan.
Syed Naquib menyimpulkan sekular sebagai idea yang lebih dekat dengan ideologi positivisme yang bertentangan dengan Islam kerana positivisme menyatakan bahawa wujudnya alam hanyalah fakta [fizik] dan tidak ada disebalik fakta [metafizik] sedangkan Islam mengakui kewujudan unsur fizik dan metafiziknya alam. Secara mudahnya, sekular telah memisahkan antara agama dengan urusan dunia.

Bagi menjamin keteguhan sekularisme, Musthapa Kamal telah mengubal perlembagaan negara Turki berteraskan ajaran sekular melalui Parti Republik Rakyat dan mengarahkan tentera sebagai pengawal kepada ideologi sekular. Musthapa Kamal adalah legasi yang dibentuk oleh Freemason Yahudi untuk mengucar-kacir perpaduan umat Islam. Beliau dididik oleh Freemason Yahudi yang berpusat di Salonika, Macedonia dan memasuki Islam untuk memusnahkan Islam dari dalam atau dikenali sebagai Dunmah. Beliau mempunyai seorang penasihat Yahudi yang bernama Hakham Yahudi Hasyim Nahun yang menasihat Ataturk dalam politik, ekonomi dan sosial. Islam telah dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan, dengan menggunakan slogan garbie doegeo [berarak menuju ke Barat], penggunaan bahasa Arab, pemakaian menutup aurat dan jawatan khalifah telah dihapuskan. Ataturk telah cuba menerapkan prinsip Kamalisme iaitu republik, nasional, populis, estatis, sekular dan revolusionari ke dalam pemikiran masyarakat Turki.

Kedurjanaan Ataturk dengan menggunakan sekularisme telah cuba menghancurkan ajaran Islam ditentang hebat oleh seorang ulama yang bernama Badiuzzaman Said Nursi. Walaupun ditindas dengan kejam, beliau telah berjuang melalui mata pena. Said Nursi menulis risalah yang dikenali Risalah-i Nur ialah himpunan surat yang mentafsir ayat al Quran. Risalah ini cuba membuktikan kebenaran dan kemantapan sistem hidup Islam dengan menggunakan nas al Quran, hadis, ilmu kalam, sains dan sejarah. Selain itu, Said Nursi juga pernah menganggotai parti al-Ittihad al-Muhammadi yang bertujuan mengembalikan ketuanan Daulah Uthmaniyyah dan pelaksanaan syariat selepas kebangkitan gerakan sekular melalui Parti Perpaduan dan Kemajuan sebelum Perang Dunia Pertama. Gerakan al-Nur yang dipelopori oleh Said Nursi ini merupakan asas kepada Jemaah Zaman yang diusahakan oleh murid-muridnya. Angin kebangkitan Islam yang ditiup oleh Risalah-i Nur terus bersemarak di Turki hingga hari ini.

Pada tahun 1946, Turki mengamalkan demokrasi liberal melalui pilihanraya yang memberi peluang golongan Islam menyertainya. Setelah sekian lamanya, parti sekular menguasai pilihanraya, Necmettin Erbakan seorang berkelulusan ijazah kedoktoran [PhD] dalam kejuteraan telah membentuk parti berlatar belakang Islam yang pertama iaitu National Order Party pada tahun 1970 tetapi diharamkan oleh mahkamah perlembagaan pada 20 Mei 1971 atas desakan tentera. Pada 11 Oktober 1971, Erbakan menubuhkan sebuah parti baru iaitu National Selvation Party [NSP] yang telah menyertai pilihanraya pada tahun 1973 dan menang sebanyak 48 kerusi atau 11.8 peratus. Kejayaan ini membolehkan Erbakan membentuk kerajaan campuran dengan parti sekular, Republican People Party.
Dengan kepintaran politik Erbakan, golongan Islamis berjaya memperolehi beberapa jawatan politik seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman. Pada tahun 1974, NSP bergabung parti Justice Party dalam kerajaan campuran ekoran tentera Turki menyerang Cyprus. Dalam pilihanraya 1977, NSP mendapat 8.6 peratus undi atau 27 kerusi. Peratusan yang kecil ini masih menghidupkan peluang NSP menyertai kerajaan campuran Justice Party. Kerajaan campuran telah dibubarkan oleh rampasan kuasa tentera pada tahun 1980 ekoran kebimbangan impak negatif daripada Revolusi Iran pada tahun 1979.

Turki kembali kepada pemerintahan demokrasi pada tahun 1982, Erbakan melalui pengikutnya, Ali Tukmen telah menubuhkan Parti Refah pada 19 Julai 1983. Dalam pilihanraya 1984, Parti Refah telah berjaya mendapat 7.8 peratus tetapi 10 tahun kemudian Parti Refah mendapat 21.38 peratus atau 158 kerusi yang diadakan pada 25 Disember 1995. Sebelum itu dalam pilihanraya bandaran pada 27 Mac 1994, Parti Refah berjaya menguasai 327 majlis bandaran termasuk Istanbul dan Ankara. Dalam pilihanraya ini juga Parti Refah berjaya menguasai 28 daripada 76 wilayah di seluruh Turki. Parti Refah telah mengadakan kerajaan campuran dengan parti sekular True Party pimpinan Tansu Ciller. Erbakan telah dilantik sebagai Perdana Menteri Turki.

Dasar pro-Islam Erbakan menyebabkan pemerintahannya ditekan oleh tentera dan Erbakan terpaksa meletakkan jawatan pada tahun 1997. Mahkamah Perlembagaan Turki telah mengharamkan Parti Refah pada bulan Januari 1998 kerana mengancam prinsip sekular dan Erbakan dilarang bergiat dalam politik. Berikutan pengharaman ini, Virtue Party ditubuhkan oleh pengikut Erbakan, Rejai Kutan pada akhir tahun tahun 1997 tetapi parti diharamkan pada tahun 2001. Setelah pengharaman parti Virtue, Rejai Kutan telah menubuhkan parti Saadet manakala golongan reformis dalam Parti Refah yang dipimpin oleh Recep Tayyip Erdogan dan Abdullah Gul menubuhkan Justice and Development Party [AKP] pada tahun 2001.
Dalam pilihanraya yang diadakan pada 3 November 2002, AKP telah berjaya memperolehi 34.28 peratus atau 365 kerusi telah membolehkan AKP menubuhkan kerajaan Turki sehingga kini. Erdogan telah dilantik sebagai Perdana Menteri setelah AKP meminda perlembagaan agar Erdogan dibenar bergiat aktif dalam politik. Sebelum ini, Erdogan adalah Dato Bandar Istanbul yang pernah dipenjara dan dilarang berpolitik kerana membaca puisi Mehmet Akif yang dianggap menghina prinsip sekular Turki. AKP semampu yang mungkin cuba menerapkan semangat Islami dalam pentadbiran dan cuba menggelak konflik dengan tentera yang mengawal prinsip sekular.

Walaupun Turki mengamalkan sekularisme secara total, parti berakar-tunjangkan Islam berjaya menjadi kuasa penentu dalam proses penubuhan kerajaan di Turki kerana kelemahan prinsip populis Kamalisme iaitu siapa yang lebih popular akan berkuasa. Erdogan merupakan Dato Bandar Istanbul yang popular telah berjaya menyediakan kemudahan untuk rakyat Turki semasa pemerintahan Parti Refah. Parti Refah sendiri pernah menyelesaikan masalah hutang bandar-bandar dikuasainya yang berjumlah USD16 bilion dan meningkat pendapatan daripada USD 150 juta pada tahun1994 kepada USD1.87 bilion dalam tahun 1997.
Menurut Perlembagaan Turki setiap warganegara yang berusia 18 tahun ke atas mempunyai hak menubuhkan parti politik, menyertai parti politik atau meninggalkan mana-mana parti politik. Peluang ini memudahkan parti berlatar belakang Islam yang diharamkan menubuhkan kembali organisasi mereka dengan hanya menukar nama baru. Sistem pilihanraya berasaskan peratusan undi popular juga membantu parti berasaskan Islam. Dalam sistem ini, setiap parti perlu mendapat 10 peratus undi bagi mendapat kerusi. Setiap wilayah akan diberi satu kerusi parlimen dan bakinya akan dibahagikan kepada parti yang mendapat lebih daripada 10 peratus undi.

Cabaran parti Islam dalam pemerintahan di Turki adalah menghadapi 3 institusi yang melindungi ideologi sekular iaitu tentera, badan birokrasi dan badan politik. Perlembagaan Turki telah menetapkan negara tersebut adalah sebuah negara sekular dan tiada kuasa yang dibenarkan menggugatnya. Ideologi sekular ini dilindungi oleh tentera yang bertindak seganas mungkin termasuk merampas kuasa jika ada pihak yang cuba mencerobohi ideologi sekular. Erbakan sendiri beberapa kali ditekan sehingga beliau dibersarakan daripada kancah politik. Kebangkitan generasi muda untuk memperjuangkan Islamisasi diharapkan membawa perubahan baru kepada gerakan Islam. Selama ini rakyat Turki dididik secara sekular sehingga mereka bersifat lebih Barat daripada orang Barat dan bersifat anti-Islam yang dianggap agama anti-pembangunan dan mundur.

Kebijaksanaan Erbakan dapat dilihat apabila beliau telah melatih kadernya melalui sekolah Iman Hatip supaya dilahirkan profesional berjiwa Islam dan menubuhkan jaringan perdagangan Islam yang dikenali MUSIAD [Persatuan Peniaga dan Pengusaha Bebas] pada 5 Mei 1990. Persatuan ini menyatukan usahawan pro-Islam dalam pelbagai bidang. Pada tahun 1991 sebanyak 400 orang telah menyertai MUSIAD dan jumlah ini bertambah kepada 1700 orang pada tahun 1993. Jumlah ini bertambah kepada 3000 orang pada tahun 1998 dengan anggaran pendapatan $ 2.97 bilion. Kedudukan ekonomi yang kukuh membolehkan MUSIAD pimpinan Ali Bayramoglu membantu parti politik berlatar belakang Islam di sebalik tabir.
Selain gerakan politik Islam dan ekonomi, gerakan sosial berasaskan Islam turut memainkan peranan penting di Turki. Gerakan sosial Islam Turki ini dipimpin oleh Fethullah Gulen seorang pemikir yang terpengaruh dengan pemikiran Said Nursi. Gerakan Gulen menggunakan pendekatan non-politik berasaskan semangat dialog dan toleransi. Gulen sering berbicara tentang sains dan Islam, demokrasi, pemodenan, agama dan semangat toleransi. Gulen sendiri kerap kali mengkritik dan menyokong cadangan sama ada daripada pihak sekular atau Islamis. Gulen cuba merapati semua pihak di Turki dengan menggunakan kesederhanaan tanpa terlalu pro atau kontra terhadap mana-mana pihak. Penyertaan non-muslim dalam gerakannya membuktikan Gulen mementingkan dialog antara agama bagi mendekatkan ajaran Islam dengan non-muslim.

Gerakan Gulen bukanlah satu gerakan yang mempunyai institusi khas atau lambang rasmi tertentu. Pembabitan gerakan ini dapat difahami dalam kerangka kumpulan kepentingan [intrest group]. Ia digerakkan oleh Yayasan Guru Turki dan Yayasan Penulis dan Wartawan yang bergiat dalam aktiviti pendidikan dan media massa. Gerakan Gulen memiliki hampir 200 buah sekolah daripada Tanzania ke China dan 100 buah sekolah di Turki. Dalam media massa, gerakan Gulen memiliki akhbar Zaman, saluran TV Samanyolu dan stesen radio Burc. Kekuatan ini membolehkan Gerakan Gulen menjadi pengimbang kuasa antara pihak Islamis dan sekular sehingga cuba didekati oleh semua pihak di Turki. Sokongan Gerakan Gulen dapat mempengaruhi keputusan-keputusan dalam pemerintahan di negara Turki.

Begitulah keunikan gerakan Islam di Turki, sebuah negara mengamalkan ideologi sekular secara total. Secara keseluruhannya, gerakan Islam haruslah menggunakan kebijaksanaan bagi mendepani setiap cabaran berdasarkan suasana tempatan. Kebolehan gerakan Islam di Turki mendepani cabaran pihak sekular perlu ditauladani oleh gerakan Islam di seluruh dunia. Oleh sebab itu, keupayaan menggunakan strategi san jieche [gabungan tiga] iaitu penyatuan kekuatan politik daripada dalam kerajaan, luar kerajaan dan gerakan non-politik perlu digembleng bagi memperkasakan sesebuah gerakan Islam.