Saturday, June 13, 2009

KEUNIKAN GERAKAN ISLAM TURKEY


KEUNIKAN GERAKAN ISLAM TURKEY
SETELAH tumbangnya Daulah Uthmaniyyah pada tahun 1924, muncul kerajaan Turki Moden yang ditubuhkan oleh Musthapa Kamal Ataturk yang mengamalkan dasar sekular. Sekular berasal daripada perkataan Latin ‘saeculum’ yang mempunyai pengertian masa dan tempat atau kedudukan. Menurut Syed Naquib al Attas, faham sekular merujuk makna pengasingan.
Syed Naquib menyimpulkan sekular sebagai idea yang lebih dekat dengan ideologi positivisme yang bertentangan dengan Islam kerana positivisme menyatakan bahawa wujudnya alam hanyalah fakta [fizik] dan tidak ada disebalik fakta [metafizik] sedangkan Islam mengakui kewujudan unsur fizik dan metafiziknya alam. Secara mudahnya, sekular telah memisahkan antara agama dengan urusan dunia.

Bagi menjamin keteguhan sekularisme, Musthapa Kamal telah mengubal perlembagaan negara Turki berteraskan ajaran sekular melalui Parti Republik Rakyat dan mengarahkan tentera sebagai pengawal kepada ideologi sekular. Musthapa Kamal adalah legasi yang dibentuk oleh Freemason Yahudi untuk mengucar-kacir perpaduan umat Islam. Beliau dididik oleh Freemason Yahudi yang berpusat di Salonika, Macedonia dan memasuki Islam untuk memusnahkan Islam dari dalam atau dikenali sebagai Dunmah. Beliau mempunyai seorang penasihat Yahudi yang bernama Hakham Yahudi Hasyim Nahun yang menasihat Ataturk dalam politik, ekonomi dan sosial. Islam telah dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan, dengan menggunakan slogan garbie doegeo [berarak menuju ke Barat], penggunaan bahasa Arab, pemakaian menutup aurat dan jawatan khalifah telah dihapuskan. Ataturk telah cuba menerapkan prinsip Kamalisme iaitu republik, nasional, populis, estatis, sekular dan revolusionari ke dalam pemikiran masyarakat Turki.

Kedurjanaan Ataturk dengan menggunakan sekularisme telah cuba menghancurkan ajaran Islam ditentang hebat oleh seorang ulama yang bernama Badiuzzaman Said Nursi. Walaupun ditindas dengan kejam, beliau telah berjuang melalui mata pena. Said Nursi menulis risalah yang dikenali Risalah-i Nur ialah himpunan surat yang mentafsir ayat al Quran. Risalah ini cuba membuktikan kebenaran dan kemantapan sistem hidup Islam dengan menggunakan nas al Quran, hadis, ilmu kalam, sains dan sejarah. Selain itu, Said Nursi juga pernah menganggotai parti al-Ittihad al-Muhammadi yang bertujuan mengembalikan ketuanan Daulah Uthmaniyyah dan pelaksanaan syariat selepas kebangkitan gerakan sekular melalui Parti Perpaduan dan Kemajuan sebelum Perang Dunia Pertama. Gerakan al-Nur yang dipelopori oleh Said Nursi ini merupakan asas kepada Jemaah Zaman yang diusahakan oleh murid-muridnya. Angin kebangkitan Islam yang ditiup oleh Risalah-i Nur terus bersemarak di Turki hingga hari ini.

Pada tahun 1946, Turki mengamalkan demokrasi liberal melalui pilihanraya yang memberi peluang golongan Islam menyertainya. Setelah sekian lamanya, parti sekular menguasai pilihanraya, Necmettin Erbakan seorang berkelulusan ijazah kedoktoran [PhD] dalam kejuteraan telah membentuk parti berlatar belakang Islam yang pertama iaitu National Order Party pada tahun 1970 tetapi diharamkan oleh mahkamah perlembagaan pada 20 Mei 1971 atas desakan tentera. Pada 11 Oktober 1971, Erbakan menubuhkan sebuah parti baru iaitu National Selvation Party [NSP] yang telah menyertai pilihanraya pada tahun 1973 dan menang sebanyak 48 kerusi atau 11.8 peratus. Kejayaan ini membolehkan Erbakan membentuk kerajaan campuran dengan parti sekular, Republican People Party.
Dengan kepintaran politik Erbakan, golongan Islamis berjaya memperolehi beberapa jawatan politik seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman. Pada tahun 1974, NSP bergabung parti Justice Party dalam kerajaan campuran ekoran tentera Turki menyerang Cyprus. Dalam pilihanraya 1977, NSP mendapat 8.6 peratus undi atau 27 kerusi. Peratusan yang kecil ini masih menghidupkan peluang NSP menyertai kerajaan campuran Justice Party. Kerajaan campuran telah dibubarkan oleh rampasan kuasa tentera pada tahun 1980 ekoran kebimbangan impak negatif daripada Revolusi Iran pada tahun 1979.

Turki kembali kepada pemerintahan demokrasi pada tahun 1982, Erbakan melalui pengikutnya, Ali Tukmen telah menubuhkan Parti Refah pada 19 Julai 1983. Dalam pilihanraya 1984, Parti Refah telah berjaya mendapat 7.8 peratus tetapi 10 tahun kemudian Parti Refah mendapat 21.38 peratus atau 158 kerusi yang diadakan pada 25 Disember 1995. Sebelum itu dalam pilihanraya bandaran pada 27 Mac 1994, Parti Refah berjaya menguasai 327 majlis bandaran termasuk Istanbul dan Ankara. Dalam pilihanraya ini juga Parti Refah berjaya menguasai 28 daripada 76 wilayah di seluruh Turki. Parti Refah telah mengadakan kerajaan campuran dengan parti sekular True Party pimpinan Tansu Ciller. Erbakan telah dilantik sebagai Perdana Menteri Turki.

Dasar pro-Islam Erbakan menyebabkan pemerintahannya ditekan oleh tentera dan Erbakan terpaksa meletakkan jawatan pada tahun 1997. Mahkamah Perlembagaan Turki telah mengharamkan Parti Refah pada bulan Januari 1998 kerana mengancam prinsip sekular dan Erbakan dilarang bergiat dalam politik. Berikutan pengharaman ini, Virtue Party ditubuhkan oleh pengikut Erbakan, Rejai Kutan pada akhir tahun tahun 1997 tetapi parti diharamkan pada tahun 2001. Setelah pengharaman parti Virtue, Rejai Kutan telah menubuhkan parti Saadet manakala golongan reformis dalam Parti Refah yang dipimpin oleh Recep Tayyip Erdogan dan Abdullah Gul menubuhkan Justice and Development Party [AKP] pada tahun 2001.
Dalam pilihanraya yang diadakan pada 3 November 2002, AKP telah berjaya memperolehi 34.28 peratus atau 365 kerusi telah membolehkan AKP menubuhkan kerajaan Turki sehingga kini. Erdogan telah dilantik sebagai Perdana Menteri setelah AKP meminda perlembagaan agar Erdogan dibenar bergiat aktif dalam politik. Sebelum ini, Erdogan adalah Dato Bandar Istanbul yang pernah dipenjara dan dilarang berpolitik kerana membaca puisi Mehmet Akif yang dianggap menghina prinsip sekular Turki. AKP semampu yang mungkin cuba menerapkan semangat Islami dalam pentadbiran dan cuba menggelak konflik dengan tentera yang mengawal prinsip sekular.

Walaupun Turki mengamalkan sekularisme secara total, parti berakar-tunjangkan Islam berjaya menjadi kuasa penentu dalam proses penubuhan kerajaan di Turki kerana kelemahan prinsip populis Kamalisme iaitu siapa yang lebih popular akan berkuasa. Erdogan merupakan Dato Bandar Istanbul yang popular telah berjaya menyediakan kemudahan untuk rakyat Turki semasa pemerintahan Parti Refah. Parti Refah sendiri pernah menyelesaikan masalah hutang bandar-bandar dikuasainya yang berjumlah USD16 bilion dan meningkat pendapatan daripada USD 150 juta pada tahun1994 kepada USD1.87 bilion dalam tahun 1997.
Menurut Perlembagaan Turki setiap warganegara yang berusia 18 tahun ke atas mempunyai hak menubuhkan parti politik, menyertai parti politik atau meninggalkan mana-mana parti politik. Peluang ini memudahkan parti berlatar belakang Islam yang diharamkan menubuhkan kembali organisasi mereka dengan hanya menukar nama baru. Sistem pilihanraya berasaskan peratusan undi popular juga membantu parti berasaskan Islam. Dalam sistem ini, setiap parti perlu mendapat 10 peratus undi bagi mendapat kerusi. Setiap wilayah akan diberi satu kerusi parlimen dan bakinya akan dibahagikan kepada parti yang mendapat lebih daripada 10 peratus undi.

Cabaran parti Islam dalam pemerintahan di Turki adalah menghadapi 3 institusi yang melindungi ideologi sekular iaitu tentera, badan birokrasi dan badan politik. Perlembagaan Turki telah menetapkan negara tersebut adalah sebuah negara sekular dan tiada kuasa yang dibenarkan menggugatnya. Ideologi sekular ini dilindungi oleh tentera yang bertindak seganas mungkin termasuk merampas kuasa jika ada pihak yang cuba mencerobohi ideologi sekular. Erbakan sendiri beberapa kali ditekan sehingga beliau dibersarakan daripada kancah politik. Kebangkitan generasi muda untuk memperjuangkan Islamisasi diharapkan membawa perubahan baru kepada gerakan Islam. Selama ini rakyat Turki dididik secara sekular sehingga mereka bersifat lebih Barat daripada orang Barat dan bersifat anti-Islam yang dianggap agama anti-pembangunan dan mundur.

Kebijaksanaan Erbakan dapat dilihat apabila beliau telah melatih kadernya melalui sekolah Iman Hatip supaya dilahirkan profesional berjiwa Islam dan menubuhkan jaringan perdagangan Islam yang dikenali MUSIAD [Persatuan Peniaga dan Pengusaha Bebas] pada 5 Mei 1990. Persatuan ini menyatukan usahawan pro-Islam dalam pelbagai bidang. Pada tahun 1991 sebanyak 400 orang telah menyertai MUSIAD dan jumlah ini bertambah kepada 1700 orang pada tahun 1993. Jumlah ini bertambah kepada 3000 orang pada tahun 1998 dengan anggaran pendapatan $ 2.97 bilion. Kedudukan ekonomi yang kukuh membolehkan MUSIAD pimpinan Ali Bayramoglu membantu parti politik berlatar belakang Islam di sebalik tabir.
Selain gerakan politik Islam dan ekonomi, gerakan sosial berasaskan Islam turut memainkan peranan penting di Turki. Gerakan sosial Islam Turki ini dipimpin oleh Fethullah Gulen seorang pemikir yang terpengaruh dengan pemikiran Said Nursi. Gerakan Gulen menggunakan pendekatan non-politik berasaskan semangat dialog dan toleransi. Gulen sering berbicara tentang sains dan Islam, demokrasi, pemodenan, agama dan semangat toleransi. Gulen sendiri kerap kali mengkritik dan menyokong cadangan sama ada daripada pihak sekular atau Islamis. Gulen cuba merapati semua pihak di Turki dengan menggunakan kesederhanaan tanpa terlalu pro atau kontra terhadap mana-mana pihak. Penyertaan non-muslim dalam gerakannya membuktikan Gulen mementingkan dialog antara agama bagi mendekatkan ajaran Islam dengan non-muslim.

Gerakan Gulen bukanlah satu gerakan yang mempunyai institusi khas atau lambang rasmi tertentu. Pembabitan gerakan ini dapat difahami dalam kerangka kumpulan kepentingan [intrest group]. Ia digerakkan oleh Yayasan Guru Turki dan Yayasan Penulis dan Wartawan yang bergiat dalam aktiviti pendidikan dan media massa. Gerakan Gulen memiliki hampir 200 buah sekolah daripada Tanzania ke China dan 100 buah sekolah di Turki. Dalam media massa, gerakan Gulen memiliki akhbar Zaman, saluran TV Samanyolu dan stesen radio Burc. Kekuatan ini membolehkan Gerakan Gulen menjadi pengimbang kuasa antara pihak Islamis dan sekular sehingga cuba didekati oleh semua pihak di Turki. Sokongan Gerakan Gulen dapat mempengaruhi keputusan-keputusan dalam pemerintahan di negara Turki.

Begitulah keunikan gerakan Islam di Turki, sebuah negara mengamalkan ideologi sekular secara total. Secara keseluruhannya, gerakan Islam haruslah menggunakan kebijaksanaan bagi mendepani setiap cabaran berdasarkan suasana tempatan. Kebolehan gerakan Islam di Turki mendepani cabaran pihak sekular perlu ditauladani oleh gerakan Islam di seluruh dunia. Oleh sebab itu, keupayaan menggunakan strategi san jieche [gabungan tiga] iaitu penyatuan kekuatan politik daripada dalam kerajaan, luar kerajaan dan gerakan non-politik perlu digembleng bagi memperkasakan sesebuah gerakan Islam.

No comments: