Monday, November 2, 2009

Ali Ibnu Madini

Bagi penuntut ilmu berkaitan Islam, terutama ilmu berkaitan hadith, pasti mereka akan mengenali Ali Bin al-Madini sebagai salah seorang tokoh terkemuka hadith salaf. Namun begitu, bagi sebahagian masyarakat yang kurang mengambil perhatian tentang ilmu hadith, nama Ali Bin al-Madini mungkin tidak begitu popular seperti nama-nama Imam hadith lain seperti al-Bukhari dan Muslim. Sedangkan Ali Bin al-Madini adalah di antara ulama tempat Imam Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan lain-lain lagi menuntut ilmu. Seperti biasa, terkadang murid lebih masyhur dari gurunya!


BIODATA RINGKAS
Nama penuh beliau ialah Ali Bin Abdullah. Namun begitu beliau lebih dikenali dengan gelaran Ali Bin al-Madini. Beliau dilahirkan pada tahun 161 Hijrah di Basrah, Iraq dan meninggal pada tahun 234 Hijrah di Samarrai juga di Iraq.
  GURU DAN MURID
Beliau menuntut ilmu daripada ulama-ulama hadith terkemuka pada zamannya seperti Sufyan Bin ‘Uyainah, Abd. Razzaq al-Shon’ani, Hammad Bin Zaid, Abd. Aziz al-Darawardi, Ghundar dan lain-lain lagi.
Manakala di antara murid-muridnya yang terkenal pula ialah Ahmad Bin Hanbal, al-Bukhari, Abu Hatim al-Razi, Abu Daud dan gurunya yang juga mengambil hadith daripada beliau iaitu Sufyan Bin ‘Uyainah.
            Hadith-hadith yang beliau riwayatkan boleh ditemui di dalam buku-buku hadith utama seperti Sahih al-Bukhari, Sunan Abu Daud, Jami’ al-Tirmidzi dan lain-lain lagi.
  PUJIAN ULAMA TERHADAP BELIAU
Menurut Ahmad Bin Hanbal : Ali Bin al-Madini merupakan tokoh besar dan agung dalam kajian hadith. Menurut gurunya Sufyan Bin ‘Uyainah: ‘Demi Allah, sesungguhnya apa yang aku pelajari darinya (Ali Bin al-Madini) lebih banyak daripada apa yang dia pelajari dariku’. Seorang lagi tokoh hadith salaf bernama Abd. Rahman Bin Mahdi pula berkata: ‘Ali Bin al-Madini adalah orang yang paling tahu tentang hadith Rasulullah SAW’. Al-Nasaai pula menyifatkan bahawa ‘seolah-olah Allah SWT mencipta Ali Bin al-Madini khusus untuk ilmu hadith’.
            Dikatakan bahawa beliau menjadi tumpuan para penuntut ilmu hadith sehinggakan mereka mencatat setiap gerak-geri beliau untuk mendapatkan ilmu dan akhlaknya.
            Kehebatan beliau dalam meriwayatkan hadith serta menilai kesahihan serta kedhaifannya telah menjadi sebutan para ulama hadith zaman berzaman. Ini termasuk ketinggian ilmunya berkaitan para periwayat hadith. Oleh itu penuntut ilmu hadith pada zaman moden seharusnya memberikan perhatian penuh kepada kata-kata serta hasil tulisan Ali Bin al-Madini kerana beliau merupakan sumber rujukan kaedah-kaedah hadith yang dipraktikkan oleh ulama salaf termasuk ulama-ulama lain.
  Al-Bukhari sendiri menyatakan bahawa ‘aku tidak merasakan diriku kerdil kecuali ketika berdepan dengan Ali Bin al-Madini’. Bayangkan ilmu dan kehebatan al-Bukhari lalu renungkan pula kata-kata al-Bukhari dalam menceritakan kehebatan gurunya Ali Bin al-Madini! Malah ketika beliau ditanya oleh salah seorang muridnya tentang perkara yang beliau ingini dalam hidup, al-Bukhari menjawab: ‘Aku ingin pergi ke Iraq dan Ali Bin al-Madini masih hidup, lalu aku ingin belajar darinya’.  
            Imam al-Nawawi juga pernah menyatakan bahawa semua ulama sepakat menobatkan Ali Bin al-Madini sebagai ulama hadith terkemuka mengatasi ahli hadith lain.
            Manakala al-Zahabi pula menyatakan bahawa Ali Bin al-Madini merupakan seorang tokoh yang tiada tandingan pada zamannya sedangkan kita mengetahui bahawa pada zaman beliau terdapat ramai lagi ulama hadith terkemuka.
  MUTIARA KATA BELIAU
Di antara kata-kata Ali Bin al-Madini ialah : ’Memahami maksud / fiqh hadith adalah separuh ilmu manakala separuh lagi ialah mengetahui tentang periwayat hadith’.
Beliau juga pernah mengakui bahawa beliau pernah menemui kesilapan yang tersembunyi pada kajian sesuatu hadith selepas empat puluh tahun! Ia menunjukkan ketekunan dan kesabaran beliau dalam mengkaji.
Beliau pernah memberi nasihat bahawa jika ingin mengkaji hadith dalam mana-mana tajuk atau topik, maka amat perlu dikumpulkan segala yang berkaitan hadith tersebut. Ia menunjukkan betapa kajian hadith bukanlah sesuatu yang ringkas malah ia perlukan ketelitian.
  HASIL PENULISAN
Seperti mana-mana ulama salaf, Ali Bin al-Madini mempunyai banyak buku khususnya dalam bidang hadith meliputi ilmu kajian yang begitu mendalam. Tetapi, yang didapati dicetak sehingga ke hari ini hanyalah buku al-Ilal sedangkan terdapat banyak lagi buku beliau yang tidak ditemui dan dicetak. Namun begitu, syukur pada Allah SWT kerana ilmu beliau telah pun diwarisi dan dipelihara dalam buku-buku ulama lain yang sezaman dan juga selepas zaman beliau.
  SUMBER RUJUKAN KEPADA KAJIAN HADITH
Jasa Ali Bin al-Madini amat besar dan ia diketahui oleh setiap penuntut ilmu hadith sejak zaman dahulu hingga kini. Segala ilmu beliau berkaitan periwayatan hadith dan kajiannya telah dijadikan asas utama oleh para ulama yang hidup sezaman dengan beliau dan seterusnya ulama selepas zaman itu.
  Menjadi satu kewajipan dan keperluan bagi setiap penuntut ilmu hadith masa kini agar mencari, mempelajari dan memahami pandangan serta hasil tulisan tokoh hadith salaf seperti Ali Bin al-Madini terutama dalam aspek kajian hadith dan periwayatannya. Hasil daripada kajian ulama seperti beliaulah yang menjadi pegangan para ulama terkemudian dalam menyusun kaedah kajian hadith sama ada ilmu kajian periwayat atau kajian Mustolah al-Hadith. Maka tidak wajar pandangan mereka diabaikan dengan hanya merujuk kepada kaedah-kaedah yang ringkas dan padat semata-mata.
Walaupun begitu, kita dapati beberapa pengkaji hadith moden menolak dengan mudah kata-kata Ali Bin al-Madini hanya kerana satu sebab – dirinya tidak memahami maksud kata-kata tokoh tersebut. Contohnya seorang pensyarah di negara Arab Saudi yang memiliki Phd dalam bidang hadith telah menolak pendapat Ali Bin al-Madini dengan menulis: ‘Bukan begini caranya engkau mendhaifkan hadith, wahai Ali Bin al-Madini’!
Begitu juga seorang lagi pengkaji hadith di negara arab pernah menukilkan kritikan Ali Bin al-Madini terhadap seorang periwayat lalu pengkaji moden itu menulis ‘dari manakah datangnya perkara ini?’ dalam keadaan tidak mahu menerima pandangan seorang tokoh hadith terkemuka salaf.
Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari tertipu dengan ilmu yang sedikit sehingga merasa takabur dan sombong lalu menganggap diri lebih tinggi dari orang lain.
 

Sunday, November 1, 2009

Yasin Hati al-Quran

Matan Hadis
ان لكل شيء قلبا وان قلب القرآن يس من قرأها فكأنما قرأ القرآن عشر مرات
Maksudnya :” Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hatinya, dan hati al-Quran ialah Surah Yasin, sesiapa yang membacanya seumpama membaca al-Quran 10 kali “.
Sanad Hadis utama
Diriwayatkan oleh Qutaibah dan Sufian Bin Waqi`, diriwayatkan kepada kami oleh Hamid Bin Abdul Rahman ar-Ruasy daripada al-Husin bin Soleh daripada Harun Abi Muhammad daripada Maqati bin Hayyan daripada Qatadah daripada Anas.
Kitab Yang mengeluarkan hadis ini
Diriwayatkan oleh ad-Darimy dalam sunannya juzuk 2 no.3416, at-Tirmizy dalam Jami`nya juzuk 5 no.2887, Abdul Razak dalam Musonafnya juzuk 3 no.6009, al-Baihaqi didalam Syu`bah Iman juzuk 2 no.2460. Musnad as-Syihad juzuk 2 no.1035 dan 1036.
Pendapat Ulama
Berkata Abu Isa ( imam Tirmizi ) di dalam kitabnya, bahawa hadis ini Gharib, tidak diketahui hadis ini melainkan melalui jalan Hamid Bin Abdul Rahman dan dengan penelitianku aku tidak dapati hadis ini daripada Qatadah kecuali dengan jalan ini, dan Harun seorang yang TIDAK DIKENALI. Dan didalam bab ini dikatakan diambil daripada Abu Bakar as-Sidik adalah tidak sah dan sanad hadis ini dhaif.
Pent- apabila dikatakan bahawa hadis ini Gharib, maka telah jatuh martabat hadis ini kepada Dhaif serta-merta kecuali perawinya Thiqah. Kecacatan lain yang terdapat didalam hadis ini juga seorang perawi yang Majhul ( tidak dikenali ) dan ini menambahkan lagi hadis ini kepada lebih Dhaif lagi.
Rujukan
1- Sunan at-Tirmizy, Muhammad bin Isa, Abu Isa al-Saimy tahkik Ahmad Muhammad Syakir dan yang lain, Dar Ihya at-Turas A`raby, Beirut, t.t.
2- Musonaf Abdul Razak, Abu Bakar Abdul Razak bin al-Hamam as-Son`any tahkik Habib ar-Rahman al-A`zony, al-Maktabah al-Islamy, Beirut, cet ke-3 1403H.
3- Sunan ad-Darimy, Abdullah bin Abdul Rahman Abu Muhammad ad-Darimy tahkik Fuad Ahmad Zamraly dan Khalid as-Sabie` al-ilmy, Dar al-Kitab al-A`raby, Beirut, cet pertama 1407H.
4- Musnad as-Syihad, Muhammad bin Salamah bin Jaafar Abu Abdullah al-Qadhaie` tahkik Hamdy bin Abdul al-Majid as-Salafy, Dar ar-Risalah,Beirut, Cet ke-2 1407H.
5- Syu`bah al-Imam, Abu Bakar Ahmad bin al-Husin al-Baihaqi tahkik Muhammad Said Basyuny Zaghuly, Dar al-Kitab al-Ilmy, Beirut, Cet pertama 1410H.

Monday, October 26, 2009

Kemanakah Dikau Pergi?






Muslim sejati dimanakan dikau pergi,
Muslimah misthali kemanakah kau menghilang diri,
Zaman perlukan dirimu,
Umat perlukan jiwamu,
Zaman perlukan dirimu,
Umat perlukan jiwamu,
Dimanakah dikau pergi,
Umahmu tercari-cari,
Dirimu oh muslim sejati,
Kemana kau menghilang diri,
Kemanakah dikau pergi,
Dirimu muslimah mithali,
Umah mu ternanti-nanti,
Kembalilah kembali,
Aku datang menyahut seruanMU,
Aku datang menyahut lambaianMU,
Aku datang menyahut kewajipan yang ditentukan,

Islamku,
Usah kau menangis lagi,
Usah kau merayu lagi,
Senyumlah kepadaku,
Kini aku datang kepadaMU,
Engkaulah kekasihku,
Ku setia hanya padaMU,
Reka ku bekorban demiMU oh islam Ku,


Monday, October 19, 2009

Siapa Aku?




Berhenti sejenak dan renungkan siapakah kita di
depanNYA.


Subuhnya
di mana aku berada
masih enak dalam kelambu rindu
sambil berpoya-poya dengan waktu
masa bagaikan menderu
langkah tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin dihujung waktu
siapa aku di depan Tuhan ku.

Zohornya
aku lebih memikirkan kelaparan
kehausan dan rehatku
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
aku bertolak ansur dengan waktu
aku gembira membilang keuntungan
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku mengadaikan sebuah ketaatan
siap aku di depan Tuhan ku.

Asarnya
aku lupa warna masa
cepat berubah bagaikan ditolak-tolak
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak dihujung kepala
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia dan si Jebat yang derhaka
siapa aku di depan Tuhan ku

Maghribnya
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berligar di sebalik tabirnya
mencari sisa-sisa keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalan yang bertongkat-tongkat
ruginya bertingkat-tingkat
siapa aku di depan Tuhan ku.

I
syaknya
kerana masanya yang panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan mengangguku
aku rela terlena sambil menarik selimut biru
bercumbu-cumbu dengan waktuku
siapa aku di depan Tuhan ku.

kini aku menjadi tertanya-tanya
sampai bila aku akan melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan Masjid menjadi sepi
kerana di hujung hidup ada mati
bagaimana jenazah akan dibawa sembahyang di sini
jika ruangku dibiarkan kosong
jika wajahku menjadi asing
pada mentari dan juga bintang-bintang.

SIAPA AKU DI DEPAN TUHANKU

Thursday, October 8, 2009

TERTAWA DI DUNIA MENANGIS DI AKHIRAT


Dalam satu hadith, Nabi saw bersabda 'Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati'.Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati tidak berfungsi lagi. Nabi Muhammad melarang ummatnya dari gelak-ketawa yang melampui batas. Menurut hadith, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. Barangsiapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.

Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi. Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita. Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh.

"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur". Demikian ditegaskan oleh Nabi saw. Kita sedia maklum, kubur ialah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang. Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga. Kubur adalah satu pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.


Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turun menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun.

Nabi saw pernah bersabda: "Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat."
Saidina Ali sentiasa mengeluh '....jauhnya perjalanan ... sedikitnya bekalan ....' Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, namun merasakan masih kurang lagi amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam.

Dalam hadith lain, Nabi saw bersabda "Barangsiapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan oleh api neraka." Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.
Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu. Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan. Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi saw. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.
Para sahabat pernah berkata "Ketawa segala nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."