Sunday, November 22, 2009

Berbakti kepada kedua IbuBapa

Siri 1
عن عبد الله بن مسعود رضى الله عنه قال : سألت النبي صلى الله عليه وسلم : أى العمل أحب إلى الله تعالى ؟ قال : الصلاة على وقتها, ثم أى ؟ قال : بر الوالدين, ثم أى ؟ قال : الجهاد فى سبيل الله. قال : حدثني بهن رسول الله صلى الله عليه وسلم ولو استزدته لزادني.
Maksubnya :” Daripada Abdullah bin Mas`ud r.a berkata : aku tanyakan kepada Nabi s.a.w : apakah amalan yang paling disukai oleh Allah taala? Sabdanya : Solat pada waktunya, Kemudian apa? Sabdanya : Berbuat baik kepada ibu bapa, Kemudian apa? Sabdanya : Jihad pada jalan Allah. Katanya : Rasulullah s.a.w memberitahu kepada aku perkara itu, jikalau aku tanyakan lagi, pasti Rasulullah s.a.w akan memberitahunya “.

Makna kalimah
( أي العمل أحب ) Apakah amalan yang disukai oleh Allah taala – di dalam riwayat lain “apakah amalan yang paling afdhal” ( أي العمل أفضل ) juga di dalam riwayat lain “ apakah amalan yang mendekatkan kita kepada syurga ( أي العمل أقرب إلى الجنة ) , lafaz-lafaz pada riwayat ini berbeza-beza tetapi mempunyai maksub yang sama iaitu apabila amalan itu afdhal daripada selainnya maka amalan itu disukai oleh Allah taala, dan apabila disukai oleh Allah taala maka sudah tentu amalan itu mendekatkan kita kepada syurga.
( بر الوالدين ) berbuat baik kepada ibu bapa – dibaca dengan baris bawahkan huruf Ba (ب) iaitu : berbuat Ihsan kepada keduanya dengan menunaikan hak-hak mereka dan meninggalkan penderhakaan kepada mereka. Manakala makna Ihsan ialah berbuat baik kepada mereka secara zahir dan batin. Iaitu tidak memadai dengan perbuatan luaran sahaja baik, tetapi hati membencinya.
( الجهاد فى سبيل الله ) Berjihad pada jalan Allah taala- pada makna syarak ialah gambaran kita memerangi golongan kafir bertujuan untuk menyebarkan agama Allah taala iaitu Islam dan makna ( سبيل ) merupakan kalimah yang umum dan pada makna ialah ( الطريق ) jalan. Maka semua amalan yang menurut sunnah dan ikhlas yang mana diniatkan oleh pembuatnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah taala.
Dan jihad pada bahasa ialah memerah segala kekuatan ( بزل قوة ), iaitu untuk berjihad kita perlu mengerah segala kekuatan dari sudut harta, tenaga, tubuh badan dan juga nyawa, maka inilah sebenar makna jihad pada Islam.
( ولو استزدته لزادني ) Kalaulah aku minta tambah, pasti Rasulullah s.a.w akan menambahnya, iaitu kalaulah Ibnu Mas`ud bertanyakan lagi soalan daripada 3 soalan kepada 4 atau banyak lagi, sudah pasti Rasulullah s.a.w akan menjawab soalan tersebut.

Syarah Hadis
1- Ketinggian Peribadi Sahabat r.a
Kita tidak akan pernah mendengan di dalam dunia ini golongan yang mencari-cari dan bersungguh-sungguh pada mencari kebaikan lebih daripada Sahabat Rasulullah s.a.w, dan sesungguhnya mereka mengetahui bahawa ilmu syariat adalah asas kepada segala kebaikan maka mereka mencarinya dan berusaha mengamalkan apa yang mereka dengar daripada Rasulullah s.a.w. Mereka adalah setahu-tahu manusia tentang kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan apa yang kurang jelas kepada mereka, maka mereka akan bertanya kepada Baginda.
Dan adalah mereka berusaha untuk melakukan amalan lebih daripada usaha mereka untuk mencari ilmu, ini adalah kerana tingginya keinginnan mereka kepada Pahala dan balasan yang baik daripada Allah taala. Mereka bertanyakan perkara tersebut adalah bertujuan untuk menambah lagi amalan mereka.
Adakah berbeza lafaz dan makna diantara hadis-hadis tersebut ?
Daripada Abu Musa :
أي أفضل الإسلام ؟ قال : من سلم المسلمون من لسانه ويده.
Maksudnya :” Apakah sebaik-baik ajaran Islam? Sabdanya : Sesiapa yang terselamat daripadanya kejahatan lidah dan tangannnya “.
Daripada Abu Zar :
أي العمل أفضل ؟ قال : إيمان بالله ورسوله, قيل : ثم ماذا ؟ قال : الجهاد فى سبيل الله, قيل : ثم ماذا ؟ قال : حج مبرور.
Maksudnya :” Apakah amalah yang paling baik? Sabdanya : Beriman kepada Allah dan RasulNYA, selepas itu apa? Sabdanya : berjihad pada jalan Allah, selepas itu apa? Sabdanya : Haji Mabrur “.
Dalam riwayat yang lain :
سئل أي الإسلام خير؟ قال : تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف
Maksudnya :” Ditanyakan apakah sebaik-baik ajaran Islam? Sabdanya : kamu memberi makanan dan member salam kepada orang yang kamu kenal dan tidak kenal “.
Dan ditanyakan oleh Ibnu Mas`ud sebagaimana matan hadis pertama di dalam perbincangan kita dalam bab ini.
Maka jawapan bagi soalan di atas adalah seperti berikut :-
i-                    Samada berbeza hal keadaan penanya soalan, dan di beritahu kepada setiap yang bertanya apa yang di kehendakinya.
ii-                  Atau samada berbeza waktu yang bertanya, kadang-kadang amalan itu afdhal pada waktu itu dan tidak afdhal pada waktu yang lain.
iii-                Atau seafdhal-afdhal amalan bukan pada bab ini tetapi pada ketentuan kalimah min ( من ) yang mana menunjukkan kepada 2 perkara :
1-      Ketinggian peribadi para sahabat dan besarnya keinginan mereka kepada syurga, maka mereka melakukan segala amalan yang diperintahkan dan istiqamah melakukannya dan mereka bertanya tentang amalan yang paling baik untuk menambahkan lagi amalan mereka.
2-      Ataupun perbuatan pertanyaan itu boleh dikatakan manfaatnya kembali kepada yang bertanya dan selainnya.
Manakala soalan tentang yang tidak ada kepentingan Ilmu padanya dan juga pegangan seperti bertanya tentang jenis pokok yang buahnya dimakan oleh nabi Adam a.s dan juga warna anjin ashabul Kahfi dan sebagainya.
2- Apakah Rahsia Tertib Amalan Di Dalam Hadis ?
Rasulullah s.a.w menyebut solat pertama adalah kerana Hak yang khusus kepada Allah taala, dan hak Allah adalah hak yang terutama diantara hak-hak yang lain, kerana demikian adalah perkara yang lazim ( wajib ) bagi Mukhalaf sepanjang kehidupannya dan tidak meninggalkannya melainkan mereka yang diberi keuzuran untuk meninggalkannya seperti Haid, Nifas, Wiladah dan selainnya. Dan juga manfaat solat akan kembali kepada orang yang menunaikannya.
Manakala berbuat baik kepada ibu bapa kedua adalah kerana mereka adalah sebabnya ada kita atas dunia ini dan hak keduanya adalah selepas hak Allah dan memberi manfaat kepada yang melaksanakannya dan juga kedua ibu bapa kerana dengan berbuat baik kepada mereka mendapat balasan baik dan pahala.
Manakala Jihad terakhir adalah kerana jihad terhenti pada keizinan kedua ibu bapa jikalau ia merupakan fardhu kifayyah dan jika fardhu Ain maka wajib dia keluar berjihad walaupun tanpa izin keduanya dan kembali manfaat kepada seluruh umat Islam.

3- Hukum
Berbuat Ihsan dan baik kepada kedua ibu bapa adalah wajib atas anak-anak, Allah mewajibkannya sebagaimana mewajibkan solat, puasa, zakat, haji dan lain-lainnya walaupun mereka berdua kafir.
Firman Allah taala :
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya :” Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, Maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik “. Surah Luqman 15.
Dan hadis Asma` binti Abu Bakar :
أن أسماء بنت أبي بكر سألت النبي صلى الله عليه وسلم : أفأصل أمي ؟ قال : نعم صل أمك. وكانت أمها مشركة
Maksudnya :” Bahawa sesungguhnya Asma binti Abu Bakar bertanya kepada Nabi s.a.w : Apakah aku perlu sambung (silaturahim) dengan ibuku? Sabda Nabi s.a.w : Ye, sambunglah silaturahim dengan Ibumu. Dan adalah ibunya itu musyrik “.
Firman Allah taala :
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya :” Dan sembahlah Allah dan jangan kamu syirikanNYa dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa “. Surah an-Nisa` 36.



No comments: